YESAYA 55:1-6
YESAYA 55:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Marilah, setiap orang yang haus, minumlah air yang tersedia. Marilah, kamu yang tidak mempunyai wang, terimalah gandum dan makanlah. Mari! Terimalah wain dan susu, tanpa membayar apa-apa. Mengapakah kamu membeli sesuatu yang tidak memuaskan? Mengapakah kamu bekerja untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan? Dengarlah firman-Ku dan turutlah perintah-Ku, maka kamu akan menikmati makanan yang terbaik. Sekarang dengarlah, hai umat-Ku; datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup. Aku akan mengadakan perjanjian yang kekal dengan kamu, dan memberi kamu berkat yang Kujanjikan kepada Daud. Aku menjadikan dia seorang pemimpin dan panglima bangsa-bangsa, dan melalui dia, Aku menunjukkan kuasa-Ku kepada mereka. Kamu akan memanggil bangsa-bangsa asing untuk menghadap; pada suatu masa dahulu mereka tidak mengenal kamu, tetapi sekarang mereka berlari kepada kamu. Aku, TUHAN Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci akan melaksanakan segala perkara ini; Aku akan mengagungkan kamu.” Kembalilah kepada TUHAN semasa masih dapat; berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat.
YESAYA 55:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Wahai semua orang yang dahaga, mari, ambillah air! Wahai orang yang tidak punya wang, mari, belilah makanan dan makanlah! Mari, belilah air anggur dan susu tanpa wang dan tanpa bayaran! Mengapakah kamu membelanjakan wang untuk sesuatu yang bukan makanan, dan hasil jerih lelahmu untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan? Dengarlah Aku baik-baik dan makanlah apa yang baik. Biarlah kamu bersenang-senang dengan hidangan yang kaya khasiatnya. Pasanglah telingamu dan datanglah kepada-Ku, dengarlah, maka kamu akan hidup. Aku akan mengikat perjanjian yang kekal dengan kamu, menurut kasih abadi yang teguh kepada Daud. Sesungguhnya, Aku menetapkan dia menjadi saksi bagi bangsa-bangsa, menjadi seorang pemimpin dan pemerintah bagi bangsa-bangsa. Sesungguhnya, engkau akan memanggil bangsa yang tidak kaukenal, dan bangsa-bangsa yang tidak mengenal engkau akan berlari kepadamu kerana TUHAN, Allahmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, oleh sebab Dia telah memuliakan engkau.” Carilah hadirat TUHAN selagi Dia dapat ditemui, berserulah kepada-Nya selagi Dia dekat.