YESAYA 51:12-16
YESAYA 51:12-16 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Akulah yang menghibur kamu. Mengapakah kamu takut terhadap manusia fana? Manusia seperti rumput yang cepat layu. Adakah kamu sudah lupa akan TUHAN Pencipta kamu, yang membentangkan langit, dan meletakkan asas bumi? Mengapakah kamu sentiasa takut terhadap keganasan penindas, yang mahu membinasakan kamu? Keganasan mereka tidak dapat menyentuh kamu lagi. Mereka yang sekarang ditawan akan segera dibebaskan; mereka tidak akan mati dan dikubur, dan tidak akan kekurangan makanan. Akulah TUHAN, Allah kamu; Akulah yang menggelorakan laut sehingga ombaknya berderu. Nama-Ku TUHAN Yang Maha Kuasa! Aku membentangkan langit, dan meletakkan asas bumi; Aku berfirman kepada Yerusalem, ‘Kamulah umat-Ku! Aku telah memberi kamu ajaran-Ku dan melindungi kamu dengan kuasa-Ku.’ ”
YESAYA 51:12-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Aku, Akulah yang menghiburkan kamu. Siapakah engkau sehingga engkau takut kepada manusia yang akan mati, kepada anak manusia yang seperti rumput belaka? Engkau melupakan TUHAN yang menjadikan kamu, yang membentangkan langit, dan yang meletakkan dasar bumi. Engkau terus ketakutan sepanjang hari kerana amarah si penganiaya, apabila dia merancangkan kemusnahan. Tetapi di manakah gerangan amarah si penganiaya itu? Tawanan yang meringkuk itu akan segera dilepaskan. Dia tidak akan mati di lubang tutupan dan tidak akan kekurangan makanan. Akulah TUHAN, Allahmu, yang menggelorakan laut sehingga gelombangnya menderu-deru. TUHAN alam semesta ialah nama-Nya. Aku telah memberitahukan firman-Ku kepadamu dan melindungi engkau di bawah naungan tangan-Ku supaya Aku kembali membentangkan langit dan meletakkan dasar bumi, sambil berfirman kepada Sion, ‘Engkaulah umat-Ku.’ ”