YESAYA 51:1-6
YESAYA 51:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Dengarlah Aku, hai kamu yang mahu diselamatkan, kamu yang datang kepada-Ku minta pertolongan. Ingatlah akan bukit batu tempat kamu dipahat, dan kuari tempat kamu digali. Ingatlah akan nenek moyang kamu, Abraham, dan Sara yang melahirkan kamu. Ketika Aku memanggil Abraham, dia tidak mempunyai anak, tetapi Aku memberkati dia dan memberi dia keturunan yang banyak. Aku akan menghibur Yerusalem, dan semua orang yang tinggal di runtuhannya. Walaupun negeri itu padang gurun, Aku akan menjadikannya sebuah taman, seperti taman-Ku di Eden. Penduduknya akan bersukacita dan bersukaria, mereka akan beryanyi dan bersyukur kepada-Ku. Dengarlah Aku, hai umat-Ku, dengarlah firman-Ku: Aku memberikan ajaran-Ku kepada bangsa-bangsa, dan hukum-Ku akan menerangi mereka. Aku akan segera datang untuk menyelamatkan mereka; masa kemenangan-Ku hampir tiba. Aku sendiri akan memerintah bangsa-bangsa. Negeri-negeri yang jauh menanti-nantikan kedatangan-Ku; mereka mengharapkan Aku untuk menyelamatkan mereka. Pandanglah langit dan lihatlah bumi! Langit akan lenyap seperti asap, dan bumi akan lapuk bagaikan kain usang, semua penduduknya akan mati seperti lalat. Tetapi penyelamatan daripada-Ku akan kekal selama-lamanya; kemenangan-Ku tidak akan berakhir.
YESAYA 51:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Dengarlah Aku, wahai kamu yang mengejar perbenaran, wahai kamu yang mencari hadirat TUHAN! Pandanglah batu pejal tempat asal kamu terpahat dan lubang galian tempat asal kamu digali. Pandanglah Abraham, nenek moyangmu, dan Sarah yang melahirkan kamu. Aku memanggil Abraham apabila dia seorang diri. Aku memberkati dia dan meramaikan keturunannya. Sungguh, TUHAN akan menghiburkan Sion. Dia akan menghiburkan segala reruntuhannya. Dia akan menjadikan tanah gersangnya seperti Eden dan gurunnya seperti taman TUHAN. Kegirangan dan kesukaan akan didapati di dalamnya, begitu jugalah ucapan syukur dan bunyi muzik. Berikanlah perhatian dan lihat Aku, wahai umat-Ku! Pasanglah telingamu, wahai bangsa-Ku! Penghakiman akan keluar daripada-Ku dan Aku menetapkan keadilan-Ku menjadi cahaya bagi bangsa-bangsa. Perbenaran daripada-Ku sudah dekat, penyelamatan daripada-Ku sudah terbit, dan tangan-Ku akan menghakimi bangsa-bangsa. Pulau-pulau menantikan Aku, mereka mengharapkan tindakan tangan-Ku. Layangkanlah pandangan ke langit dan tengoklah bumi di bawah. Langit akan lenyap seperti asap, bumi akan menjadi usang seperti pakaian, dan penduduknya akan mati seperti nyamuk, tetapi penyelamatan daripada-Ku kekal adanya dan kebenaran daripada-Ku tidak akan berakhir.