YESAYA 46:3-10
YESAYA 46:3-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengarlah Aku, hai keturunan Yakub, semua umat-Ku yang terselamat. Aku telah memelihara kamu sejak kamu dilahirkan. Aku tetap Allah kamu sampai kamu tua; Aku akan memelihara kamu sampai kamu beruban. Aku telah menciptakan kamu dan tetap akan menjaga kamu. Aku akan menolong dan menyelamatkan kamu. Dengan siapakah kamu akan membandingkan Aku? Adakah sesiapa yang sama dengan Aku? Orang mengeluarkan emas dari kantung; mereka menimbang perak dengan dacing. Mereka mengupah tukang emas untuk membuat berhala; lalu mereka sujud menyembah berhala itu! Mereka mengangkat lalu memikul berhala itu di atas bahu, mereka menegakkan berhala itu di tempatnya, dan berhala itu tidak dapat bergerak dari situ. Jika orang berdoa kepadanya, berhala itu tidak dapat menjawab, dan tidak dapat menyelamatkan orang daripada malapetaka. Ingatlah hal ini, hai orang berdosa; pertimbangkanlah hal yang telah Aku lakukan. Ingatlah hal yang berlaku dahulu kala, akuilah bahawa Aku satu-satunya Allah, dan tiada sesiapa pun sama seperti Aku. Sejak permulaan Aku telah menubuatkan hal yang akan datang; dari dahulu Aku telah meramalkan hal yang akan berlaku. Aku berfirman bahawa rancangan-Ku tidak akan gagal, bahawa Aku pasti melakukan segala kehendak-Ku.
YESAYA 46:3-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Dengarlah Aku, wahai keturunan kaum Yakub, wahai semua saki-baki umat daripada keturunan kaum Israel, yang Kudukung sejak dalam kandungan, yang Kujunjung sejak dalam rahim. Sampai masa tuamu Aku tetap Dia dan sampai masa rambutmu beruban Aku akan menanggung kamu. Aku telah menjadikan kamu dan Aku akan terus mendukung kamu. Aku akan menanggung dan menyelamatkan kamu. Dengan siapakah kamu hendak menyamakan Aku, menyejajarkan atau mengibaratkan Aku sehingga kami sama? Orang memboroskan emas daripada pundi-pundinya dan menimbang perak dengan neraca. Mereka mengupah tukang emas untuk membuatnya jadi tuhan, lalu mereka sujud kepadanya, bahkan menyembahnya. Mereka mendukungnya di atas bahu, menanggungnya, lalu meletakkannya pada tempatnya. Di situ ia berdiri, tidak dapat berpindah dari tempatnya. Sekalipun orang berseru kepadanya, ia tidak menjawab. Dia tidak dapat menyelamatkan orang itu daripada kesesakannya. Ingatlah hal ini dan bersikap beranilah. Pertimbangkanlah dalam hati, wahai orang derhaka! Ingatlah hal-hal yang dahulu, sejak purbakala. Akulah Allah dan tidak ada yang lain! Akulah Allah dan tidak ada yang seperti Aku! Akulah yang memberitahukan akhir sesuatu sejak awalnya, dan hal-hal yang belum terjadi sejak zaman dahulu. Firman-Ku, ‘Rancangan-Ku akan terlaksana. Aku akan melakukan segala kehendak-Ku.’