YESAYA 45:20-25
YESAYA 45:20-25 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Berhimpunlah dan datanglah bersama-sama, kamu semua yang terselamat antara bangsa-bangsa. Bodohlah orang yang berarak dengan membawa berhala daripada kayu, dan berdoa kepada dewa yang tidak dapat menyelamatkan mereka. Marilah ajukan perkara kamu, biarlah pembela kamu berunding bersama-sama. Siapakah yang sejak dahulu bernubuat tentang hal yang akan berlaku? Bukankah Aku, TUHAN? Tiada tuhan-tuhan lain kecuali Aku. Akulah Allah yang adil dan yang menyelamatkan, tiada yang lain kecuali Aku. Berpalinglah kepada-Ku sekarang hai bangsa-bangsa di seluruh dunia, supaya kamu diselamatkan! Akulah satu-satunya Allah, selain Aku, tiada yang lain. Janji-Ku benar, dan tidak akan batal. Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri: tiap-tiap orang akan berlutut di hadapan-Ku, dan dalam bahasa masing-masing bersumpah untuk setia kepada-Ku. Mereka akan berkata bahawa kemenangan dan keadilan hanya daripada Aku; tetapi semua orang yang membenci Aku akan dipermalukan di hadapan-Ku. Aku, TUHAN akan menyelamatkan semua keturunan Yakub, dan mereka akan memuji Aku.
YESAYA 45:20-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Berkumpullah dan datanglah! Ke marilah bersama-sama, wahai kamu yang terselamat di antara bangsa! Tidak berpengetahuan orang yang mengarak patung ukiran daripada kayu, yang berdoa kepada tuhan yang tidak dapat menyelamatkan. Beritahulah dan kemukakanlah alasanmu! Ya, biarlah mereka berunding bersama-sama. Siapakah yang mengkhabarkan hal ini sejak zaman dahulu, yang memberitahukannya sejak dahulu? Bukankah Aku, TUHAN? Tidak ada tuhan lain selain Aku, Allah yang benar dan Penyelamat. Tidak ada yang lain selain Aku. Berpalinglah kepada-Ku dan biarlah kamu diselamatkan, wahai segala hujung bumi, kerana Akulah Allah dan tidak ada yang lain. Aku sudah bersumpah demi diri-Ku, firman yang benar telah Kusampaikan sendiri dan tidak akan ditarik kembali: sesungguhnya, setiap lutut akan bertelut kepada-Ku dan setiap lidah akan bersumpah setia. Tentang Aku orang akan berkata, ‘Hanya dalam TUHAN ada perbenaran dan kekuatan.’ Semua orang yang marah kepada-Nya akan datang menghampiri Dia dan mendapat malu. Dalam TUHAN semua keturunan Israel akan dinyatakan benar dan akan bermegah.”