YESAYA 44:9-11,21-23
YESAYA 44:9-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Semua orang yang membuat berhala tidak berguna, dan dewa-dewa yang dipuja mereka pun tidak berguna. Mereka yang menyembah dewa-dewa itu buta dan tidak tahu apa-apa; oleh itu mereka akan dipermalukan. Sia-sia sahaja membuat patung daripada logam lalu menyembahnya sebagai dewa! Tiap-tiap orang yang menyembah patung itu akan dipermalukan. Orang yang membuat berhala itu manusia belaka. Suruhlah mereka menghadap Aku; pasti mereka akan takut dan dipermalukan.
YESAYA 44:21-23 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Ingatlah, hai Israel; ingatlah bahawa kamu hamba-Ku. Aku menciptakan kamu untuk menjadi hamba-Ku; Aku tidak akan melupakan kamu. Aku telah menghapus segala dosa kamu seperti awan dibawa angin. Kembalilah kepada-Ku, kerana Akulah yang menyelamatkan kamu.” Bersoraklah dengan ria, hai langit! Bersoraklah, hai tempat-tempat dalam di bumi! Bersoraklah dengan ria, hai gunung-ganang, dan hutan serta segala pokoknya! TUHAN telah menunjukkan kebesaran-Nya dengan menyelamatkan umat-Nya Israel.
YESAYA 44:9-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sia-sia sahaja semua orang yang membentuk patung ukiran. Benda-benda kegemaran mereka itu tidak berfaedah. Para pemujanya tidak melihat dan tidak tahu apa-apa, sehingga mereka akan berasa malu. Siapakah yang membentuk susuk tuhan atau menuang patung ukiran yang tidak berfaedah itu? Sesungguhnya, semua pengikutnya akan mendapat malu. Tukang-tukangnya ialah manusia belaka. Biarlah mereka semua berkumpul lalu berdiri! Mereka akan berasa takut dan malu bersama-sama.
Yesaya 44:21-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Ingatlah hal-hal ini, wahai Yakub, kerana engkaulah hamba-Ku, wahai Israel. Aku telah membentukmu, engkau hamba-Ku! Wahai Israel, engkau tidak akan Kulupakan. Aku sudah menghilangkan segala pelanggaranmu seperti awan dan dosa-dosamu seperti kabus. Kembalilah kepada-Ku, kerana Aku sudah menebus engkau.” Bersorak-sorailah, wahai langit, kerana TUHAN telah melakukan hal itu! Bersorak rianglah, wahai bahagian-bahagian bumi yang terbawah! Bergembiralah dengan sorak-sorai, wahai gunung-gunung, wahai hutan dan segala pokok di dalamnya, kerana TUHAN telah menebus Yakub dan memuliakan diri-Nya di Israel.