YESAYA 43:18-25
YESAYA 43:18-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi TUHAN berfirman, “Jangan ingat akan peristiwa lalu, jangan kenang perkara yang sudah-sudah. Perhatikanlah perkara baru yang akan segera Kulakukan. Lihatlah, Aku sudah pun memulakannya. Aku akan membina jalan di padang gurun, dan memberi kamu anak-anak sungai di padang pasir. Bahkan haiwan liar akan menghormati Aku, serigala dan burung unta akan memuji Aku apabila Aku mengalirkan anak-anak sungai di padang gurun, untuk memberikan minuman kepada umat pilihan-Ku. Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri, mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.” TUHAN berfirman, “Namun hai Israel, kamu telah bosan dengan Aku, kamu tidak lagi menyembah Aku. Kamu tidak membawa domba sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku; kamu tidak menghormati Aku dengan korban yang kamu persembahkan. Padahal Aku tidak membebani kamu dengan meminta persembahan atau menyusahkan kamu dengan menuntut kemenyan. Kamu tidak membeli dupa harum bagi-Ku, ataupun memuaskan Aku dengan lemak binatang yang kamu persembahkan. Sebaliknya kamu membebani Aku dengan dosa kamu; kamu menyusahkan Aku dengan kesalahan kamu. Namun Aku ini Allah yang mengampunkan dosa kamu, dan Aku berbuat demikian kerana begitulah sifat-Ku. Aku tidak akan mengingat dosa kamu.
YESAYA 43:18-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Jangan ingat-ingatkan hal-hal yang dahulu, jangan perhatikan hal-hal yang silam. Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru, sekarang hal itu sedang muncul, tidakkah kamu mengetahuinya? Ya, Aku hendak membuat jalan di tanah tandus dan sungai-sungai di gurun. Binatang-binatang liar akan memuliakan Aku, serigala dan burung unta, kerana Aku mengurniakan air di tanah tandus serta sungai-sungai di gurun untuk memberikan minum umat pilihan-Ku, iaitu umat yang Kubentuk bagi-Ku untuk menceritakan kemasyhuran-Ku.” “Tetapi engkau tidak berseru kepada-Ku, wahai Yakub, malah engkau berasa penat menghadapi Aku, wahai Israel! Engkau tidak membawa bagi-Ku domba korban bakaran kamu dan tidak memuliakan Aku dengan korban sembelihanmu. Aku tidak membebani kamu dengan menuntut persembahan bahan makanan, dan tidak membuatmu penat dengan menuntut kemenyan. Engkau tidak membeli tebu wangi bagi-Ku dengan wangmu, dan tidak memuaskan Aku dengan lemak korban sembelihanmu. Sebaliknya, engkau membebani Aku dengan dosa-dosamu, dan membuat-Ku penat dengan kesalahan-kesalahanmu. Aku, Akulah Dia yang menghapuskan segala pelanggaranmu demi diri-Ku sendiri, dan tidak lagi mengingat dosa-dosamu.