YESAYA 43:1-21

YESAYA 43:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Hai Israel, demikianlah firman TUHAN yang telah menciptakan kamu, “Janganlah takut! Aku akan menyelamatkan kamu. Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku. Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku akan menyertai kamu; kamu tidak akan tenggelam dalam kesusahan. Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar; kamu tidak akan dicelakakan oleh cubaan yang berat. Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci, yang telah menyelamatkan kamu. Aku akan menyerahkan Mesir untuk menebus kamu; Aku akan menyerahkan Etiopia dan Seba untuk membebaskan kamu. Aku akan menyerahkan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawa kamu, kerana kamu berharga bagi-Ku, dan kerana Aku mengasihi serta mengendahkan kamu. Janganlah takut, kerana Aku menyertai kamu. Dari timur dan barat Aku akan membawa anak cucu kamu pulang. Aku akan menyuruh negeri di utara melepaskan mereka, dan negeri di selatan membebaskan mereka. Biarlah umat-Ku pulang dari negeri-negeri jauh, dari segala pelosok dunia. Merekalah umat-Ku, Aku telah menciptakan mereka untuk memuliakan Aku.” Allah berfirman, “Perintahlah umat-Ku datang menghadap. Mereka mempunyai mata, tetapi buta; mereka mempunyai telinga, tetapi pekak! Perintahlah semua bangsa dan suku berhimpun. Siapakah antara mereka dapat meramalkan masa depan, dan memberitahukan apa yang berlaku sekarang? Biarlah mereka menghadapkan saksi-saksi untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah, dan bahawa kata-kata mereka benar. Hai umat Israel, kamulah saksi-Ku; Aku memilih kamu menjadi hamba-Ku supaya kamu mengenal Aku serta percaya kepada-Ku, dan mengerti bahawa Aku satu-satunya Allah. Selain Aku, tidak ada tuhan-tuhan lain; baik pada masa dahulu, mahupun pada masa akan datang. Hanya Akulah TUHAN, Aku sahaja yang dapat menyelamatkan kamu. Aku bernubuat tentang hal-hal yang akan berlaku, lalu Aku datang menolong kamu. Tiada dewa asing yang pernah berbuat hal seperti itu; kamulah saksi-Ku. Akulah Allah, dan Aku tetap Allah selama-lamanya. Tiada seorang pun dapat melepaskan diri daripada kuasa-Ku; tiada sesiapa pun dapat menghalang Aku bertindak.” Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN yang menyelamatkan kamu berfirman, “Aku akan mengirim tentera untuk menyelamatkan kamu dari Babel; Aku akan merobohkan pintu-pintu gerbang, lalu sorak-sorai penduduk Babel akan berubah menjadi tangisan. Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah yang suci. Akulah pencipta kamu, hai Israel, Akulah raja kamu.” Dahulu TUHAN membuat jalan melalui laut, jalan melalui air yang bergelora. Dia membinasakan pasukan tentera yang besar: pasukan berkereta kuda dan pasukan berkuda. Mereka jatuh, tidak dapat bangkit lagi; mereka mati seperti sumbu yang padam. Tetapi TUHAN berfirman, “Jangan ingat akan peristiwa lalu, jangan kenang perkara yang sudah-sudah. Perhatikanlah perkara baru yang akan segera Kulakukan. Lihatlah, Aku sudah pun memulakannya. Aku akan membina jalan di padang gurun, dan memberi kamu anak-anak sungai di padang pasir. Bahkan haiwan liar akan menghormati Aku, serigala dan burung unta akan memuji Aku apabila Aku mengalirkan anak-anak sungai di padang gurun, untuk memberikan minuman kepada umat pilihan-Ku. Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri, mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.”

YESAYA 43:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sekarang, beginilah firman TUHAN, yang menciptakan engkau, wahai Yakub, dan yang membentuk engkau, wahai Israel, “Jangan takut, kerana Aku telah menebus engkau. Aku telah memanggil engkau dengan namamu, engkau milik-Ku. Apabila engkau mengharungi air, Aku akan menyertaimu, dan engkau tidak akan dihanyutkan saat mengharungi sungai. Apabila engkau berjalan melalui api, engkau tidak akan dihanguskan, dan nyala api tidak akan membakarmu, kerana Akulah TUHAN, Allahmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, Penyelamatmu. Aku memberikan Mesir sebagai tebusanmu, Kush dan Seba sebagai gantimu. Kerana engkau berharga dan mulia di mata-Ku, dan Aku ini mengasihi engkau, maka Aku memberikan manusia sebagai gantimu, dan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawamu. Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Aku akan membawa keturunanmu dari timur dan menghimpun engkau dari barat. Aku akan berfirman kepada utara, ‘Berikanlah!’ dan kepada selatan, ‘Jangan tahan!’ Bawalah anak-anak lelaki-Ku dari jauh dan anak-anak perempuan-Ku dari hujung bumi, iaitu semua orang yang disebutkan dengan nama-Ku, yang Kuciptakan untuk kemuliaan-Ku, yang Kubentuk, dan yang Kujadikan.” Bawalah ke mari bangsa yang buta sekalipun bermata, dan yang tuli sekalipun bertelinga. Biarlah segala bangsa berhimpun bersama-sama, dan biarlah suku-suku bangsa berhimpun. Siapakah antara mereka yang dapat memberitahukan hal ini atau mengkhabarkan hal-hal yang dahulu kepada kita? Biarlah mereka mengajukan saksi-saksi supaya mereka dapat dinyatakan benar. Biarlah orang mendengarnya dan berkata, “Itu benar.” “Kamulah para saksi-Ku,” demikianlah firman TUHAN, “dan hamba-Ku yang telah Kupilih, supaya kamu mengenal dan mempercayai Aku serta mengerti bahawa Akulah Dia. Sebelum Aku, tidak ada tuhan terbentuk dan sesudah Aku pun tidak ada. Aku, Akulah TUHAN. Tidak ada penyelamat selain Aku. Akulah yang telah memberitahu, menyelamatkan, dan mengkhabarkan, bukan tuhan bangsa asing yang ada antara kamu. Kamulah saksi-saksi-Ku,” demikianlah firman TUHAN, “dan Akulah Allah.” “Ya, sejak zaman dahulu Aku tetap Dia! Tidak ada yang dapat terlepas daripada tangan-Ku. Apabila Aku bertindak, siapakah yang dapat mengubahnya?” Beginilah firman TUHAN, Penebusmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, “Demi kamu Aku akan mengutus orang ke Babel dan membawa mereka semua sebagai pelarian, iaitu orang Kasdim di kapal-kapal yang dibanggakan mereka. Akulah TUHAN, Allahmu Yang Maha Suci, Pencipta Israel, Rajamu.” Beginilah firman TUHAN, yang membuat jalan di laut dan lorong di air yang deras, yang membawa keluar rata dan kuda, bala tentera dan orang gagah — mereka rebah bersama-sama dan tidak dapat bangkit lagi, mereka mati, padam seperti sumbu — “Jangan ingat-ingatkan hal-hal yang dahulu, jangan perhatikan hal-hal yang silam. Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru, sekarang hal itu sedang muncul, tidakkah kamu mengetahuinya? Ya, Aku hendak membuat jalan di tanah tandus dan sungai-sungai di gurun. Binatang-binatang liar akan memuliakan Aku, serigala dan burung unta, kerana Aku mengurniakan air di tanah tandus serta sungai-sungai di gurun untuk memberikan minum umat pilihan-Ku, iaitu umat yang Kubentuk bagi-Ku untuk menceritakan kemasyhuran-Ku.”

YESAYA 43:1-21

YESAYA 43:1-21 BMYESAYA 43:1-21 BMYESAYA 43:1-21 BMYESAYA 43:1-21 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami