YESAYA 40:26-31
YESAYA 40:26-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Pandanglah ke langit dan perhatikanlah! Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dia yang menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang! Kuasa-Nya amat besar - tidak satu bintang pun yang hilang! Jika demikian, hai Israel, mengapakah kamu mengeluh, bahawa TUHAN tidak tahu akan kesusahan kamu, dan tidak mempedulikan hak kamu? Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu. Tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya. Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya. Orang muda pun menjadi letih dan lesu; anak muda pun jatuh kerana keletihan. Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah.
YESAYA 40:26-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Layangkanlah pandang ke langit dan lihatlah: siapakah yang mencipta benda-benda itu? Dialah yang mengeluarkan cakerawala angkasa menurut jumlahnya dan menyebutkan nama kesemuanya. Kerana besar keperkasaan-Nya dan hebat kuasa-Nya, tidak ada satu pun yang hilang. Mengapakah engkau berkata begini, wahai Yakub, dan berbicara begini, wahai Israel, “Jalan hidupku tersembunyi daripada TUHAN dan hak aku dijauhkan Allahku”? Tidakkah kautahu, tidakkah kaudengar? TUHAN ialah Allah yang kekal, yang menciptakan hujung-hujung bumi. Dia tidak akan menjadi letih ataupun penat, pengertian-Nya tiada hadnya. Dia memberikan kekuatan kepada yang letih, dan menambah tenaga kepada mereka yang tidak berdaya. Orang muda menjadi letih dan penat, para teruna jatuh tersandung. Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu.