YESAYA 40:21-28
YESAYA 40:21-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu diberitahu sejak dahulu? Bukankah Allah yang mencipta bumi? Dialah yang menguasai seluruh bumi; penduduk bumi kelihatan kecil seperti belalang. Dia membentangkan langit seperti kain, dan memasangnya seperti khemah untuk didiami. Dia menjatuhkan pemerintah yang berkuasa, dan meniadakan kuasa mereka. Mereka itu seperti tanaman muda, yang baru tumbuh akarnya. Apabila TUHAN menghembuskan angin, mereka kering dan diterbangkan seperti jerami. Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah Yang Maha Suci? Adakah sesiapa yang seperti Dia? Pandanglah ke langit dan perhatikanlah! Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dia yang menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang! Kuasa-Nya amat besar - tidak satu bintang pun yang hilang! Jika demikian, hai Israel, mengapakah kamu mengeluh, bahawa TUHAN tidak tahu akan kesusahan kamu, dan tidak mempedulikan hak kamu? Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu. Tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya.
YESAYA 40:21-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu dengar? Tidakkah diberitahukan kepadamu sejak mula-mula lagi? Tidakkah kamu mengerti sejak bumi diletakkan dasarnya? Dialah yang bertakhta di atas bulatan bumi, yang penduduknya seperti belalang. Dialah yang membentangkan langit seperti tirai dan merentangkannya seperti khemah kediaman. Dialah yang meniadakan para penguasa dan yang membuat para hakim di bumi seperti sia-sia sahaja. Belum lama mereka ditanam, belum lama mereka ditabur, belum lama batangnya berakar di tanah, Dia pun menghembus mereka sehingga mereka layu dan diterbangkan badai seperti tunggul jerami. “Dengan siapa kamu hendak menyamakan Aku sehingga Aku sejajar dengannya?” demikianlah firman Yang Maha Suci. Layangkanlah pandang ke langit dan lihatlah: siapakah yang mencipta benda-benda itu? Dialah yang mengeluarkan cakerawala angkasa menurut jumlahnya dan menyebutkan nama kesemuanya. Kerana besar keperkasaan-Nya dan hebat kuasa-Nya, tidak ada satu pun yang hilang. Mengapakah engkau berkata begini, wahai Yakub, dan berbicara begini, wahai Israel, “Jalan hidupku tersembunyi daripada TUHAN dan hak aku dijauhkan Allahku”? Tidakkah kautahu, tidakkah kaudengar? TUHAN ialah Allah yang kekal, yang menciptakan hujung-hujung bumi. Dia tidak akan menjadi letih ataupun penat, pengertian-Nya tiada hadnya.