YESAYA 40:12-31
YESAYA 40:12-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Siapakah dapat menyukat air laut dengan lekuk tangannya, atau mengukur langit dengan jengkal? Siapakah yang dapat menyukat tanah bumi ini dengan cawan, atau menimbang berat gunung dan bukit dengan dacing? Siapakah dapat mengarahkan TUHAN, dan siapakah dapat mengajar dan menasihatkan Dia? Dengan siapakah Dia berunding supaya mendapat pengetahuan dan pengertian? Siapakah yang memberi Dia petunjuk untuk bertindak dengan adil? Bagi TUHAN, bangsa-bangsa seperti setitis air dalam timba, seperti sebutir debu pada neraca; pulau-pulau sama ringan dengan debu halus. Semua binatang di hutan Lebanon tidak cukup untuk dijadikan korban untuk menyenangkan hati Allah kita, dan pokok-pokok di sana tidak cukup untuk dijadikan kayu api. Bangsa-bangsa tidak bererti bagi-Nya, seolah-olah tidak wujud di hadapan-Nya. Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah? Siapakah yang kamu anggap serupa dengan Dia? Dia tidak sama dengan patung yang dibuat oleh tangan manusia, yang disaluti emas oleh tukang emas, lalu ditegakkan di atas alas perak. Orang yang tidak mampu membeli perak atau emas, memilih kayu yang tidak mudah reput. Dia mencari tukang yang pandai untuk membuat patung yang tidak akan jatuh. Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu diberitahu sejak dahulu? Bukankah Allah yang mencipta bumi? Dialah yang menguasai seluruh bumi; penduduk bumi kelihatan kecil seperti belalang. Dia membentangkan langit seperti kain, dan memasangnya seperti khemah untuk didiami. Dia menjatuhkan pemerintah yang berkuasa, dan meniadakan kuasa mereka. Mereka itu seperti tanaman muda, yang baru tumbuh akarnya. Apabila TUHAN menghembuskan angin, mereka kering dan diterbangkan seperti jerami. Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah Yang Maha Suci? Adakah sesiapa yang seperti Dia? Pandanglah ke langit dan perhatikanlah! Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dia yang menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang! Kuasa-Nya amat besar - tidak satu bintang pun yang hilang! Jika demikian, hai Israel, mengapakah kamu mengeluh, bahawa TUHAN tidak tahu akan kesusahan kamu, dan tidak mempedulikan hak kamu? Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu. Tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya. Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya. Orang muda pun menjadi letih dan lesu; anak muda pun jatuh kerana keletihan. Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah.
YESAYA 40:12-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Siapakah yang menyukat air di telapak tangannya, yang mengukur langit dengan jengkal, yang memuat debu tanah di dalam takaran, yang menimbang gunung-gunung dengan timbangan dan bukit-bukit dengan neraca? Siapakah yang mengetahui fikiran TUHAN, atau mengarahkan-Nya sebagai penasihat-Nya? Kepada siapakah Dia meminta nasihat untuk mendapat pemahaman dan siapakah yang mengajar-Nya jalan keadilan? Siapakah yang mengajar-Nya pengetahuan dan memberitahukan jalan pengertian kepada-Nya? Sesungguhnya, bangsa-bangsa seperti setitik air dalam timba dan dianggap seperti debu pada neraca. Sesungguhnya, Dia mengangkat pulau-pulau seperti debu halus. Lebanon tidak cukup untuk dijadikan kayu api dan binatang-binatangnya tidak cukup untuk dijadikan korban bakaran. Segala bangsa seperti tidak ada di hadapan-Nya, mereka dianggap-Nya hampa dan sia-sia. Dengan siapakah kamu hendak menyamakan Allah? Dengan gambaran apakah kamu hendak membandingkan Dia? Patung ukiran? Tukang besi menuangnya, lalu tukang emas menyalutnya dengan emas dan membuat rantai perak untuknya. Orang yang terlalu miskin untuk memberikan persembahan semacam itu memilih kayu yang tidak lekas lapuk. Dicarinya tukang yang ahli untuk menegakkan patung ukiran yang tidak akan goyah. Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu dengar? Tidakkah diberitahukan kepadamu sejak mula-mula lagi? Tidakkah kamu mengerti sejak bumi diletakkan dasarnya? Dialah yang bertakhta di atas bulatan bumi, yang penduduknya seperti belalang. Dialah yang membentangkan langit seperti tirai dan merentangkannya seperti khemah kediaman. Dialah yang meniadakan para penguasa dan yang membuat para hakim di bumi seperti sia-sia sahaja. Belum lama mereka ditanam, belum lama mereka ditabur, belum lama batangnya berakar di tanah, Dia pun menghembus mereka sehingga mereka layu dan diterbangkan badai seperti tunggul jerami. “Dengan siapa kamu hendak menyamakan Aku sehingga Aku sejajar dengannya?” demikianlah firman Yang Maha Suci. Layangkanlah pandang ke langit dan lihatlah: siapakah yang mencipta benda-benda itu? Dialah yang mengeluarkan cakerawala angkasa menurut jumlahnya dan menyebutkan nama kesemuanya. Kerana besar keperkasaan-Nya dan hebat kuasa-Nya, tidak ada satu pun yang hilang. Mengapakah engkau berkata begini, wahai Yakub, dan berbicara begini, wahai Israel, “Jalan hidupku tersembunyi daripada TUHAN dan hak aku dijauhkan Allahku”? Tidakkah kautahu, tidakkah kaudengar? TUHAN ialah Allah yang kekal, yang menciptakan hujung-hujung bumi. Dia tidak akan menjadi letih ataupun penat, pengertian-Nya tiada hadnya. Dia memberikan kekuatan kepada yang letih, dan menambah tenaga kepada mereka yang tidak berdaya. Orang muda menjadi letih dan penat, para teruna jatuh tersandung. Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu.