YESAYA 38:1-20

YESAYA 38:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Kira-kira pada masa itu, Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja dan berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.” Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa, “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu. Kemudian TUHAN menyuruh Yesaya kembali kepada Raja Hizkia dan menyampaikan pesan ini, “Aku, TUHAN, Allah yang disembah Daud, nenek moyangmu, telah mendengar doamu dan melihat air matamu. Aku akan menambah usiamu dengan lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem daripada raja Asyur. Aku akan terus melindungi kota ini.” Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan membubuhkannya pada bisul raja supaya raja sembuh. Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa beta akan dapat pergi ke Rumah TUHAN lagi?” Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberi tuanku satu tanda untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya. TUHAN akan membuat bayangan penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas, undur sepuluh garis.” Maka undurlah bayangan itu sepuluh garis. Selepas Raja Hizkia sembuh, baginda menulis lagu pujian ini: Kufikir, pada puncak hidupku, aku akan pergi ke dunia orang mati, dan hari tua tidak dapat kualami. Kufikir, di dunia orang hidup aku tidak akan memandang TUHAN lagi, atau sesiapa orang yang masih hidup. Nyawaku putus, nafas terakhir kuhembus, seperti khemah gembala digulung, seperti kain dipotong dari alat penenun. Kusangka Allah akan mengakhiri hidupku. Sepanjang malam aku berteriak kesakitan, seolah-olah singa sedang mematahkan tulangku. Kufikir Allah akan mengakhiri hidupku. Suaraku redam dan lemah, aku mengeluh seperti burung merpati. Mataku penat kerana memandang ke langit. Ya Tuhan, selamatkan aku daripada segala kesusahan ini. Apakah yang dapat kukatakan? TUHAN telah melakukannya. Hatiku pedih dan aku tidak dapat lena. Ya Tuhan, aku rela hidup untuk-Mu, dan untuk-Mu sahaja. Sembuhkanlah aku dan biarlah aku hidup. Lalu kepedihanku akan menjadi ketenteraman. Engkau menyelamatkan aku daripada segala bahaya; Engkau mengampunkan segala dosaku. Tiada sesiapa pun di alam maut yang dapat memuji-Mu; orang mati tidak dapat mengharapkan kesetiaan-Mu. Hanya orang hidup yang memuji Engkau, seperti sekarang aku memuji Engkau. Bapa menceritakan kesetiaan-Mu kepada anak mereka. Engkau telah menyembuhkan aku, ya TUHAN. Kami akan memainkan kecapi dan menyanyikan pujian, seumur hidup kami di Rumah TUHAN.

YESAYA 38:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu itu, Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Datanglah Nabi Yesaya anak Amos datang menemuinya dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Uruskanlah rumah tanggamu, kerana engkau akan mati, dan tidak akan sembuh lagi.’ ” Kemudian Hizkia memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN, katanya, “Ya TUHAN, semoga Engkau ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati, serta melakukan apa yang baik di mata-Mu.” Lalu Hizkia menangis tersedu-sedu. Maka firman TUHAN datang kepada Yesaya demikian, “Pergilah dan katakanlah kepada Hizkia, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Daud, leluhurmu, “Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya, Aku akan menambahkan umurmu lima belas tahun lagi. Aku akan melepaskan engkau dan kota ini daripada tangan raja Asyur. Aku akan melindungi kota ini. Inilah tanda bagimu daripada TUHAN, bahawa TUHAN akan melaksanakan firman yang telah disampaikan-Nya itu: Sesungguhnya, Aku akan memundurkan bayang-bayang penanda yang jatuh di jenjang matahari buatan Ahas, sepuluh jenjang ke belakang.” ’ ” Maka mundurlah matahari sepuluh anak tangga dari jarak yang telah ditempuhnya. Tulisan Hizkia, raja Yehuda, setelah dia sakit dan sembuh daripada penyakitnya itu. Aku berkata, “Pada pertengahan umurku aku harus memasuki pintu gerbang alam kubur dan kehilangan tahun-tahunku yang masih berbaki.” Aku berkata, “Aku tidak akan melihat TUHAN lagi; ya, TUHAN, di negeri orang hidup. Aku tidak akan memandang manusia lagi serta penduduk dunia. Kediamanku dibongkar dan dibuka seperti khemah seorang gembala. Seperti tukang tenun aku menggulung hidupku. Dia memutuskan nyawaku daripada benang lungsin. Dari siang sampai malam Engkau menghancurkan aku. Aku menenangkan diriku sampai pagi hari, tetapi seperti singa, demikianlah Dia mematahkan semua tulangku. Dari siang sampai malam Engkau membawaku ke akhir hidupku. Seperti burung layang-layang atau burung bangau, demikianlah aku mencicit. Aku merintih seperti burung merpati, mataku redup kerana terus menengadah. Ya Tuhan, aku tertekan! Jadilah jaminan bagiku! Apakah yang dapat kukatakan? Dia sudah berfirman kepadaku dan Dia sendiri sudah melakukannya. Aku akan berjalan perlahan-lahan sepanjang usia hidupku, kerana kepahitan jiwaku. Ya Tuhan, oleh hal-hal tertentu manusia hidup, dan oleh semua itu pula rohku hidup. Sembuhkanlah aku dan hidupkanlah aku. Sesungguhnya, kepahitan yang dalam mendatangkan kesejahteraan bagiku. Kerana kasih-Mu kepada jiwaku, Engkau telah melepaskannya daripada lubang kebinasaan. Engkau telah melemparkan segala dosaku ke belakang-Mu. Alam kubur tidak dapat mengucap syukur kepada-Mu, maut tidak dapat memuji-muji Engkau; orang yang turun ke liang kubur tidak dapat lagi mengharapkan kesetiaan-Mu. Orang hidup, ya, orang hiduplah yang mengucap syukur kepada-Mu, seperti yang kulakukan pada hari ini. Para bapa akan bercerita kepada anak mereka tentang kesetiaan-Mu. TUHAN telah menyelamatkan aku, sebab itu kita hendak memainkan muzik kecapi seumur hidup kita di dalam Bait TUHAN.”