YESAYA 30:15-19
YESAYA 30:15-19 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN Raja, Allah Israel, Allah yang suci, berfirman kepada umat-Nya, “Kembalilah kepada-Ku dan percayalah kepada-Ku dengan hati yang tenteram. Maka kamu akan Kukuatkan dan Kuselamatkan.” Tetapi kamu tidak mahu. Sebaliknya kamu merancang untuk lari daripada musuh dengan menunggang kuda yang laju. Memang kamu perlu lari! Pada sangka kamu kuda kamu cukup laju, tetapi pengejar-pengejar kamu lebih cepat! Seribu orang akan lari apabila melihat seorang musuh, dan lima orang musuh cukup untuk menyebabkan kamu semua lari. Tentera kamu akan lenyap, dan yang tinggal hanya sebatang tiang bendera di atas bukit. Namun TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Allah yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN. Kamu yang tinggal di Yerusalem tidak akan menangis lagi. TUHAN berbelas kasihan. Manakala kamu berseru minta tolong kepada-Nya, Dia akan menjawab.
YESAYA 30:15-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beginilah firman Tuhan ALLAH, Yang Maha Suci, Allah Israel, “Dengan bertaubat dan bertenang, kamu akan diselamatkan. Dengan berdiam diri dan percaya, terdapatnya kekuatanmu.” Tetapi kamu tidak mahu! Sebaliknya, kamu berkata, “Tidak, kami akan lari menaiki kuda.” Oleh sebab itu kamu akan melarikan diri! “Kami akan menunggang kuda yang tangkas.” Oleh sebab itu para pengejarmu pun memang tangkas! Seribu orang akan lari kerana gertakan seorang. Dengan gertakan lima orang kamu semua akan melarikan diri, sampai kamu ditinggalkan seperti tiang di puncak gunung dan seperti panji-panji di atas bukit. Itulah sebabnya TUHAN menanti-nantikan saat untuk mengasihani kamu, itulah sebabnya Dia bangkit untuk menyayangi kamu, kerana TUHAN sememangnya Allah yang adil. Berbahagialah semua orang yang menanti-nantikan Dia! Sungguh, wahai rakyat Sion yang tinggal di Yerusalem, kamu tidak akan menangis lagi. Dia pasti mengasihani engkau apabila Dia mendengar suara engkau berseru-seru, dan Dia akan menjawab engkau apabila Dia mendengarnya.