YESAYA 30:1-5,15-18
YESAYA 30:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Malanglah mereka yang memerintah Yehuda, kerana mereka memberontak terhadap Aku. Mereka melaksanakan rancangan-rancangan yang bukan rancangan-Ku, dan mengikat perjanjian yang menentang kehendak-Ku. Maka bertimbun-timbunlah dosa mereka. Mereka minta tolong daripada Mesir tanpa mohon nasihat-Ku. Mereka bernaung di bawah kerajaan Mesir. Oleh itu, mereka mengharapkan perlindungan daripada raja Mesir. Tetapi raja Mesir tidak berdaya menolong mereka, dan perlindungan yang diharapkan daripada Mesir akan menjadi sia-sia. Walaupun duta-duta Yehuda telah tiba di Zoan dan Hanes, kota-kota Mesir, namun penduduk Yehuda akan menyesal kerana bersandar kepada bangsa yang tidak boleh diharap, bangsa yang mengecewakan mereka pada masa mereka memerlukan pertolongan.”
YESAYA 30:15-18 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN Raja, Allah Israel, Allah yang suci, berfirman kepada umat-Nya, “Kembalilah kepada-Ku dan percayalah kepada-Ku dengan hati yang tenteram. Maka kamu akan Kukuatkan dan Kuselamatkan.” Tetapi kamu tidak mahu. Sebaliknya kamu merancang untuk lari daripada musuh dengan menunggang kuda yang laju. Memang kamu perlu lari! Pada sangka kamu kuda kamu cukup laju, tetapi pengejar-pengejar kamu lebih cepat! Seribu orang akan lari apabila melihat seorang musuh, dan lima orang musuh cukup untuk menyebabkan kamu semua lari. Tentera kamu akan lenyap, dan yang tinggal hanya sebatang tiang bendera di atas bukit. Namun TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Allah yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN.
YESAYA 30:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Malangnya kanak-kanak yang memberontak!” demikianlah firman TUHAN, “Mereka melaksanakan rancangan, tetapi bukan rancangan-Ku, mereka membentuk persekutuan, tetapi bukan atas dorongan roh-Ku, sehingga mereka menambah dosa demi dosa. Mereka pergi ke Mesir tanpa mendapatkan petunjuk-Ku, untuk memperkuat kedudukan di bawah kuasa Firaun dan untuk berlindung di bawah naungan Mesir. Oleh sebab itu kuasa Firaun hanya akan membawa keaiban buatmu, dan perlindungan di bawah naungan Mesir akan membuatmu menanggung malu. Sekalipun para penguasanya sudah ada di Zoan dan para utusannya sudah sampai ke Hanes, mereka semua akan malu kerana bangsa yang tidak dapat memberikan faedah kepada mereka — tidak dapat memberi pertolongan atau faedah, malah mendatangkan malu dan juga cela.”
Yesaya 30:15-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beginilah firman Tuhan ALLAH, Yang Maha Suci, Allah Israel, “Dengan bertaubat dan bertenang, kamu akan diselamatkan. Dengan berdiam diri dan percaya, terdapatnya kekuatanmu.” Tetapi kamu tidak mahu! Sebaliknya, kamu berkata, “Tidak, kami akan lari menaiki kuda.” Oleh sebab itu kamu akan melarikan diri! “Kami akan menunggang kuda yang tangkas.” Oleh sebab itu para pengejarmu pun memang tangkas! Seribu orang akan lari kerana gertakan seorang. Dengan gertakan lima orang kamu semua akan melarikan diri, sampai kamu ditinggalkan seperti tiang di puncak gunung dan seperti panji-panji di atas bukit. Itulah sebabnya TUHAN menanti-nantikan saat untuk mengasihani kamu, itulah sebabnya Dia bangkit untuk menyayangi kamu, kerana TUHAN sememangnya Allah yang adil. Berbahagialah semua orang yang menanti-nantikan Dia!