YESAYA 27:3-13

YESAYA 27:3-13 Alkitab Berita Baik (BM)

“Aku menjaga ladang itu dan selalu menyiramnya. Aku menjaganya siang malam supaya tiada seorang pun dapat mengganggunya. Aku tidak murka lagi terhadap ladang itu. Jika terdapat duri dan belukar di situ, Aku akan membakarnya habis-habis. Tetapi jika musuh umat-Ku menghendaki perlindungan-Ku, biarlah mereka berdamai dengan Aku. Ya, biarlah mereka berdamai dengan Aku.” Pada masa hadapan, umat Israel iaitu keturunan Yakub akan berakar seperti sebatang pokok, dan mereka akan bertunas serta berbunga. Bumi akan dipenuhi buah-buah mereka. Israel belum pernah dihukum oleh TUHAN seberat musuh mereka. Mereka juga belum pernah kehilangan begitu banyak rakyat seperti musuh mereka. TUHAN menghukum umat-Nya dengan membuang mereka ke negeri orang. Dia mengusir mereka dengan angin kejam dari timur. Dosa Israel hanya dapat diampunkan apabila batu mazbah dewa-dewa telah dihancurkan sehingga menjadi seperti kapur, dan tiada lagi mazbah untuk membakar kemenyan, dan tiada lagi lambang-lambang Dewi Asyera. Kota berkubu itu sudah menjadi sepi dan ditinggalkan sehingga tidak berpenghuni seperti padang gurun. Kawanan lembu merumput dan berehat di situ sambil menghabiskan daun dari dahan-dahan pokok. Apabila dahan pokok telah kering dan patah, dahan-dahan itu dikumpulkan oleh kaum wanita untuk dijadikan kayu api. Kerana bangsa itu tidak mengerti apa-apa, Allah Pencipta mereka tidak menyayangi ataupun mengasihani mereka. Pada masa itu, dari Sungai Efrat sampai ke sempadan negeri Mesir, TUHAN akan mengumpulkan umat-Nya seorang demi seorang, seperti orang memisahkan gandum daripada sekam. Pada hari itu, trompet akan ditiup untuk memanggil pulang semua orang Israel dalam pembuangan di Asyur dan Mesir. Mereka akan datang ke Yerusalem dan menyembah TUHAN di atas bukit-Nya yang suci.

YESAYA 27:3-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku, TUHAN, penjaganya. Aku menyiraminya setiap saat. Aku menjaganya siang dan malam supaya tidak ada yang mengusiknya. Tidak ada murka pada-Ku. Sekiranya ada duri dan onak, Aku akan maju untuk membasminya, Aku akan membakar semuanya. Kalau tidak mahu begitu, biarlah mereka mencari perlindungan daripada-Ku, biarlah mereka mengadakan perdamaian dengan-Ku, ya, biarlah mereka mengadakan perdamaian dengan-Ku.” Pada masa yang akan datang Yakub akan berakar, Israel akan berbunga dan bertunas. Mereka akan memenuhi permukaan bumi dengan buah. Adakah Dia menghukum mereka seperti Dia menghukum orang yang memusnahkan mereka? Adakah mereka dibunuh seperti terbunuhnya orang yang membunuh mereka? Dengan menghalau dan dengan mengusir mereka Engkau telah melawan mereka. Dia memindahkan mereka dengan angin-Nya yang kencang pada waktu angin timur bertiup. Demikianlah melalui hal ini kesalahan Yakub akan dihapuskan, dan inilah hasil sepenuhnya kalau dia menyingkirkan dosa-dosanya: apabila dia membuat semua batu mazbah jadi seperti batu-batu kapur yang dipecah-pecahkan, maka patung-patung Asyera dan tugu-tugu mazbah dupa tidak akan berdiri lagi. Kota yang berkubu itu sudah terpencil, suatu tempat kediaman yang ditinggalkan dan terbiar seperti gurun. Di sana anak lembu meragut, di sana lembu-lembu itu berbaring dan menghabiskan dahan-dahan pokok. Apabila ranting-rantingnya sudah kering, semuanya dipatahkan, lalu datanglah para perempuan menyalakan api dengan ranting-ranting itu. Inilah bangsa yang tidak berpengertian, sebab itulah Yang Menjadikan mereka tidak menyayangi mereka, dan Yang Membentuk mereka tidak berbelas kasihan kepada mereka. Pada waktu itu TUHAN akan membanting mulai aliran Sungai Efrat sampai ke Wadi Mesir. Kamu akan dikumpulkan satu demi satu, wahai orang Israel. Pada waktu itu sangkakala yang besar akan ditiup. Orang yang hampir binasa di Tanah Asyur dan orang yang terbuang di Tanah Mesir akan datang menyembah TUHAN di gunung yang suci di Yerusalem.