YESAYA 22:15-20,22-25
YESAYA 22:15-20 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyuruh aku pergi kepada Sebna, pengurus istana, dan berkata kepadanya, “Pada sangkamu engkau ini siapa? Apa hakmu sehingga engkau memahat lubang kuburmu sendiri di bukit batu? Mungkin engkau seorang pembesar, tetapi TUHAN akan mencekam dan membuang engkau. Dia akan menggulung-gulung engkau lalu melontarkan engkau seperti bola ke sebuah negeri yang besar. Engkau akan mati di sana, di samping kereta kuda yang engkau bangga-banggakan itu. Engkau telah memalukan keluarga tuanmu. TUHAN akan memecat engkau daripada jawatanmu dan menurunkan engkau daripada kedudukan yang tinggi.” TUHAN berfirman kepada Sebna, “Pada waktu itu, Aku akan memanggil hamba-Ku, Elyakim anak Hilkia.
YESAYA 22:22-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku akan memberikan kuasa penuh kepadanya di bawah raja keturunan Raja Daud. Dia akan memegang kunci kerajaan. Apa-apa yang dibukanya, tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun; dan apa-apa yang ditutupnya, tidak dapat dibuka oleh sesiapa pun. Aku akan mengukuhkan kedudukannya seperti pasak penyangkut yang dipasang kuat. Seluruh keluarganya akan dihormati kerana dia. Tetapi semua anggota keluarga dan tanggungannya akan menjadi beban baginya. Mereka akan bergantung kepadanya seperti periuk belanga bergantung pada sebuah pasak penyangkut. Pada waktu itu pasak penyangkut yang telah dipasang kuat-kuat itu akan terlepas dan jatuh. Maka itulah kesudahan segala sesuatu yang bergantung kepadanya.” TUHAN telah berfirman.
YESAYA 22:15-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beginilah firman Tuhan, ALLAH alam semesta, “Pergilah kepada pegawai ini, kepada Sebna yang mengepalai istana, dan katakanlah, Apa urusanmu di sini dan kamu ada siapa di sini sehingga kaugali kubur bagimu di sini, wahai orang yang menggali kuburnya di tempat tinggi, yang memahat tempat baginya bersemadi di bukit batu? Sesungguhnya, TUHAN akan melempar engkau jauh-jauh, wahai manusia! Dia akan memegang engkau kuat-kuat, dan menggulung engkau rapat-rapat menjadi satu gulungan, lalu menggolekkan engkau seperti bola ke tanah yang lapang. Di sanalah engkau akan mati, di sanalah jugalah adanya rata-rata kemuliaanmu, wahai engkau yang menjadi aib bagi keluarga tuanmu! Aku akan memecat engkau daripada jawatanmu, dan engkau akan diturunkan daripada kedudukanmu. Pada waktu itu, Aku akan memanggil hamba-Ku, Elyakim anak Hilkia.
Yesaya 22:22-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan meletakkan kunci istana Daud di atas bahunya. Jika dia membuka, tidak ada yang dapat menutup, jika dia menutup, tidak ada yang dapat membuka. Aku akan mengukuhkan kedudukannya seperti pasak di tempat yang teguh, dan dia akan menjadi takhta kemuliaan bagi kaum keluarganya. Padanya akan digantungkan segala kemuliaan kaum keluarganya, anak cucu dan keturunannya — berserta dengan segala kelengkapan kecil, dari kelengkapan mangkuk sampai segala kelengkapan periuk belanga. Pada waktu itu,” demikianlah firman TUHAN alam semesta, “pasak yang telah ditancap di tempat yang teguh tadi akan kehilangan kekuatan. Paku itu akan dipotong lalu jatuh, dan segala tanggungan dan beban yang digantungkan kepadanya akan hancur, kerana TUHAN telah berfirman.”