YESAYA 11:1-10

YESAYA 11:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Suatu tunas akan keluar daripada tunggul Isai suatu cabang daripada akarnya akan berbuah. Roh TUHAN akan diam padanya — roh kebijaksanaan dan pengertian, roh nasihat dan keperkasaan, roh pengetahuan dan takut kepada TUHAN — takut kepada TUHAN ialah kesukaannya. Dia tidak akan menghakimi menurut apa yang tampak di hadapan matanya, atau memutuskan perkara menurut apa yang didengar oleh telinganya, tetapi Dia akan menghakimi orang miskin dengan perbenaran, dan memutuskan perkara dengan keadilan bagi orang yang tertindas di bumi. Dia akan menghukum bumi dengan rotan daripada mulut-Nya, dan dengan nafas mulut-Nya Dia akan mematikan orang fasiq. Perbenaran adalah sabuk di pinggangnya dan kesetiaan adalah ikat pinggangnya. Serigala akan tinggal bersama-sama domba, harimau bintang akan berbaring dengan anak kambing. Anak lembu, anak singa, dan ternakan yang tambun akan tinggal bersama-sama, dan kesemuanya akan dipimpin oleh seorang anak kecil. Lembu betina dan beruang akan sama-sama meragut rumput, anak masing-masing akan berbaring bersama-sama, dan singa akan makan jerami seperti lembu. Anak yang masih menyusu akan bermain-main dekat lubang ular senduk, dan anak yang cerai susu akan menghulurkan tangannya ke dalam liang ular berbisa. Tidak ada yang akan berbuat jahat ataupun membinasakan di seluruh gunung-Ku yang suci, kerana bumi akan penuh dengan pengetahuan tentang TUHAN, seperti air meliputi laut. Pada waktu itu, Tunas Isai akan berdiri sebagai panji-panji bagi suku-suku bangsa. Dia akan dicari oleh bangsa-bangsa dan kediamannya akan menjadi mulia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami