YESAYA 1:15-20
YESAYA 1:15-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila kamu mengangkat tangan untuk berdoa, Aku tidak akan memperhatikan kamu. Walaupun berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu telah banyak kali melakukan pembunuhan. Bersihkanlah diri kamu. Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku. Jangan berbuat jahat lagi, melainkan belajarlah berbuat baik. Lakukanlah yang adil: tolonglah mereka yang tertindas, berikanlah hak kepada anak yatim piatu, dan belalah perkara para balu.” TUHAN berfirman, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji. Walaupun dosa kamu banyak dan berat, kamu akan Aku ampuni sepenuhnya. Jika kamu mahu taat kepada-Ku, kamu akan menikmati hasil tanah kamu. Tetapi jika kamu melawan Aku, kamu pasti mati. Aku, TUHAN telah berfirman.”
YESAYA 1:15-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila kamu menadahkan tanganmu untuk berdoa, Aku akan mengalihkan pandangan-Ku daripadamu. Bahkan sekalipun kamu menggandakan doamu, Aku tidak mahu mendengar. Tanganmu berlumuran darah. Basuhlah, bersihkanlah dirimu! Jauhkanlah perbuatanmu yang jahat daripada pandangan-Ku. Berhentilah berbuat jahat, belajarlah berbuat baik. Tuntutlah keadilan, tegurlah orang yang zalim. Belalah hak anak-anak yatim, perjuangkanlah hak-hak balu. Marilah kita berperkara,” demikianlah firman TUHAN. “Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua, semuanya akan menjadi putih seperti salji; sekalipun merah seperti kesumba, semuanya akan menjadi seperti bulu domba. Jika kamu ikhlas dan taat, kamu akan memakan hasil yang baik dari negeri ini. Tetapi jika kamu menolak dan menderhaka, kamu akan dimakan habis oleh pedang.” Sungguh, TUHAN sendiri telah berfirman.