YESAYA 1:10-18

YESAYA 1:10-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Hai Yerusalem, pemimpin dan rakyat kamu sama seperti orang Sodom dan Gomora. Dengarlah firman TUHAN kepada kamu. Perhatikanlah ajaran Allah kita. TUHAN berfirman, “Jangan berfikir bahawa Aku mahu segala korban yang terus-menerus kamu persembahkan kepada-Ku! Aku sudah bosan dengan domba yang kamu persembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan lemak binatang yang digemukkan. Aku jemu dengan darah lembu jantan, domba, dan kambing. Siapakah yang menyuruh kamu membawa semua itu apabila kamu datang beribadat kepada-Ku? Jangan pijak halaman Rumah-Ku lagi. Sia-sia sahaja kamu membawa persembahan kamu. Aku muak dengan bau kemenyan yang kamu bakar. Aku tidak tahan lagi melihat kamu merayakan Bulan Baru, hari Sabat, dan pertemuan keagamaan kamu. Semuanya telah dinajiskan oleh dosa kamu. Aku benci akan perayaan Bulan Baru dan hari-hari suci itu, yang menjadi beban bagi-Ku, dan Aku lelah memikulnya. Apabila kamu mengangkat tangan untuk berdoa, Aku tidak akan memperhatikan kamu. Walaupun berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu telah banyak kali melakukan pembunuhan. Bersihkanlah diri kamu. Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku. Jangan berbuat jahat lagi, melainkan belajarlah berbuat baik. Lakukanlah yang adil: tolonglah mereka yang tertindas, berikanlah hak kepada anak yatim piatu, dan belalah perkara para balu.” TUHAN berfirman, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji. Walaupun dosa kamu banyak dan berat, kamu akan Aku ampuni sepenuhnya.

YESAYA 1:10-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengarlah firman TUHAN, wahai para pemimpin Sodom! Perhatikanlah hukum Allah kita, wahai penduduk Gomora! “Apakah ertinya bagi-Ku korban sembelihanmu yang banyak itu?” demikianlah firman TUHAN. “Aku jemu dengan korban bakaran berupa domba jantan dan lemak daripada ternakan yang tambun. Aku tidak berkenan kepada darah lembu, domba, dan kambing jantan. Apabila kamu datang menghadap hadirat-Ku, siapakah yang menuntut hal itu daripadamu sehingga kamu menginjak-injak halaman rumah-Ku? Jangan lagi membawa persembahan yang sia-sia. Dupamu itu keji bagi-Ku, begitu pula perayaan bulan baru, hari Sabat, dan penghimpunan jemaahmu. Aku tidak mahu terus melihat perayaanmu yang bergelumang dengan dosa itu. Hati-Ku membenci perayaan bulan-bulan baru dan hari-hari perayaanmu. Semua itu menyusahkan bagi-Ku, Aku tidak boleh bersabar lagi. Apabila kamu menadahkan tanganmu untuk berdoa, Aku akan mengalihkan pandangan-Ku daripadamu. Bahkan sekalipun kamu menggandakan doamu, Aku tidak mahu mendengar. Tanganmu berlumuran darah. Basuhlah, bersihkanlah dirimu! Jauhkanlah perbuatanmu yang jahat daripada pandangan-Ku. Berhentilah berbuat jahat, belajarlah berbuat baik. Tuntutlah keadilan, tegurlah orang yang zalim. Belalah hak anak-anak yatim, perjuangkanlah hak-hak balu. Marilah kita berperkara,” demikianlah firman TUHAN. “Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua, semuanya akan menjadi putih seperti salji; sekalipun merah seperti kesumba, semuanya akan menjadi seperti bulu domba.