YESAYA 1:1-4
YESAYA 1:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Kitab ini mengandungi perkhabaran tentang Yehuda dan Yerusalem yang dinyatakan oleh Allah kepada Yesaya anak Amos pada masa pemerintahan Raja Uzia, Raja Yotam, Raja Ahas, dan Raja Hizkia, iaitu raja-raja Yehuda. TUHAN berfirman, “Hai langit dan bumi, dengarlah firman-Ku! Anak-anak yang Aku besarkan telah memberontak terhadap Aku. Lembu kenal akan pemiliknya, dan keldai pun tahu akan tempat makanan yang disediakan oleh tuannya, tetapi umat-Ku Israel tidak tahu. Mereka tidak memahaminya sama sekali!” Alangkah malangnya kamu, hai bangsa yang berdosa, hai kaum yang keji dan jahat! Dosa kamu telah menjerumuskan kamu! Kamu telah menolak TUHAN, Allah yang suci, Allah Israel dan kamu telah meninggalkan Dia.
YESAYA 1:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Penglihatan tentang Yehuda dan Yerusalem yang disaksikan Yesaya anak Amos pada zaman pemerintahan Uzia, Yotam, Ahas, dan Hizkia, raja-raja Yehuda. Dengarlah, wahai langit, dan perhatikanlah, wahai bumi, kerana TUHAN berfirman, “Aku telah membesarkan anak-anak dan mengasuh mereka, tetapi mereka menderhaka terhadap Aku. Lembu mengenal pemiliknya dan keldai mengenal tuan pemilik kandangnya, tetapi Israel tidak tahu; umat-Ku tidak faham.” Wahai bangsa yang berdosa, umat yang sarat dengan kesalahan, keturunan yang berbuat jahat, anak-anak yang telah runtuh akhlak! Mereka meninggalkan TUHAN, menista Yang Maha Suci, Allah Israel, dan berpaling membelakangi Dia.