IBRANI 5:1-14

IBRANI 5:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Tiap-tiap imam agung dipilih daripada kalangan umat, dan dilantik untuk mengabdikan diri kepada Allah sebagai wakil mereka. Tugasnya mempersembahkan pemberian dan korban untuk pengampunan dosa. Oleh sebab dia sendiri lemah dalam banyak perkara, dia dapat berlaku lemah lembut terhadap orang yang sesat kerana tidak tahu apa-apa. Oleh sebab dia sendiri lemah, dia mesti mempersembahkan korban bukan sahaja untuk dosa umat, tetapi juga untuk dosanya sendiri. Tiada seorang pun mempermuliakan dirinya sendiri dengan menjadi imam agung. Hanya dengan panggilan Allah, seseorang dapat menjadi imam agung, seperti yang berlaku kepada Harun. Demikian juga, Kristus tidak mempermuliakan diri-Nya sendiri dengan menjadi Imam Agung. Sebaliknya Allah berfirman kepada-Nya, “Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Dalam ayat lain Allah berfirman juga, “Engkau akan menjadi Imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.” Semasa Yesus hidup di bumi ini, Dia berdoa dan memohon dengan seruan dan tangisan kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan Dia daripada kematian. Oleh sebab Yesus merendahkan diri dan taat kepada Allah, Allah mendengarkan permintaan-Nya. Tetapi meskipun Yesus Anak Allah, Dia belajar menjadi taat melalui penderitaan-Nya. Oleh itu, sesudah Dia menjadi penyelamat yang sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua orang yang taat kepada-Nya. Allah pun mengisytiharkan Dia menjadi Imam Agung seperti Imam Melkisedek. Masih banyak lagi yang perlu kami katakan tentang hal ini, tetapi susah kami hendak menerangkannya kerana kamu lambat sekali mengerti. Sebenarnya sudah waktunya bagi kamu untuk menjadi guru, tetapi sehingga sekarang kamu masih perlu menerima ajaran asas tentang perkhabaran Allah. Kamu masih belum dapat menerima makanan keras, tetapi masih minum susu sahaja. Sesiapa yang minum susu sebagai makanan utama masih kanak-kanak; dia tidak faham akan apa yang benar dan apa yang salah. Sebaliknya, makanan keras untuk orang dewasa, yang sudah terlatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat.

IBRANI 5:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN tiap tiap Imam yang bŭsar yang dipileh deripada manusia itu, maka iya itulah ditŭntukan kŭrna manusia atas pŭrkara yang mŭnuju kapada Allah, supaya iya mŭmpŭrsŭmbahkan baik sagala pŭmbrian, baik sagala korban kŭrna dosa. Dan bulihlah iya mŭnaroh kasihan kapada orang bodoh, dan kapada orang yang sŭsat; kŭrna iya sŭndiri pun tŭlah dikŭpongi ulih kalŭmahan. Dan ulih sŭbab itulah, maka patutlah iya mŭmpŭrsŭmbahkan korban dosa itu, spŭrti pada orang lain, dŭmkianlah juga pada dirinya sŭndiri. Maka tiada sa’orang jua pun mŭngambil jawatan itu bagie dirinya sŭndiri, mŭlainkan orang yang tŭlah dipileh Allah spŭrti Harun. Maka dŭmkianlah juga Almasih itupun tiada mŭmuliakan dirinya akan dijadikan sa’orang Imam bŭsar, mŭlainkan Tuhan yang bŭrfŭrman kapadanya, Angkaulah anakku yang kupranakkan pada hari ini. Spŭrti lagi fŭrmannya pada tŭmpat lain, Bahwa angkaulah sa’orang Imam slama lamanya, mŭnurot mŭrtabat Malkussedik. Pada masa iya dalam pri manusia, tŭtkala iya mŭminta doa dan mŭmohonkan dŭngan mŭraung, sŭrta ayer matanya pun bŭrchuchuran kapada Allah yang bŭrkwasa mŭmliharakan dia deripada mati, maka tŭlah dipŭrkŭnankan Allah akan pŭrkara yang ditakotinya itu. Maka sungguh pun iya anak, akan tŭtapi dipŭlajarinya juga akan mŭna’lok deri kŭrna pŭrkara pŭrkara yang dirasainya. Maka sŭtlah sudah disampornakannya akan dia, maka iya tŭlah mŭnjadi asal slamat kŭkal bagie sagala orang yang mŭnurot akan dia. Tŭlah tŭrpileh ulih Allah sa’orang Imam yang bŭsar mŭnurot mŭrtabat Malkussedik. Maka deri halnyalah banyak pŭrkara yang handak kami chŭrtrakan, dan sukar dikatakan, sŭbab tampaknya pŭnŭngaran kamu brat. Kŭrna sŭdang pada masa patut kamu mŭnjadi guru, maka kamu bŭrkahandak sa’orang mŭngajar kamu pula derihal pŭrkara alif ba ta pŭrkataan Allah itu, dan kamu tŭlah mŭnjadi spŭrti orang yang bŭrkahandaklah akan ayer susu, dan bukannya makanan yang kras. Kŭrna masing masing orang yang mŭminum ayer susu itu iyalah tiada chŭrdek dalam pŭrkataan kabŭnaran, kŭrna iyalah sa’orang anak mŭnyusu adanya. Tŭtapi makanan yang kras itulah bagie orang yang sudah sampie umor, iya itu orang yang sudah tŭrbuka akalnya ulih kŭrna mŭmbiasakan dirinya deri hal mŭmbethakan antara baik dŭngan jahat.

IBRANI 5:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setiap imam besar daripada kalangan manusia dilantik untuk mewakili manusia dalam hal-hal yang berkaitan dengan Allah, supaya dia dapat memberikan persembahan dan korban untuk menghapuskan dosa. Dia dapat merasakan belas kasih kepada mereka yang jahil dan sesat, kerana dia sendiri menghadapi kelemahan diri. Oleh itu, dia dikehendaki membuat persembahan bukan sahaja untuk menghapuskan dosa orang lain tetapi juga dosanya sendiri. Tiada sesiapa pun mengambil kehormatan ini untuk dirinya, kecuali yang dipanggil oleh Allah, seperti Harun. Demikian jugalah Kristus, Dia tidak memuliakan diri-Nya untuk menjadi Imam Besar, tetapi Allah telah berfirman kepada-Nya: “Engkau Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Allah berfirman juga di suatu tempat lagi: “Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.” Ketika Yesus hidup sebagai manusia, Dia telah berdoa dan merayu dengan ratap tangis kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan-Nya daripada kematian, dan Allah telah mendengar-Nya kerana kesalihan-Nya. Sungguhpun Dia Anak, namun Dia belajar taat melalui segala penderitaan-Nya. Setelah Dia dijadikan sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua yang mematuhi-Nya. Dia dipanggil Allah menjadi Imam Besar menurut peraturan Melkisedek. Tentang ini kami ada banyak untuk dikatakan, namun sukar hendak diterangkan, kerana pendengaranmu sudah tumpul. Sepatutnya sekarang ini kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang asas-asas pertama firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal. Orang yang hanya boleh minum susu itu tidak mahir dalam ajaran tentang perbenaran, kerana dia masih bayi. Makanan pepejal adalah untuk orang yang sudah dewasa, iaitu mereka yang telah membiasakan akal mereka membezakan baik dengan buruk.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami