IBRANI 13:1-25

IBRANI 13:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Sebagai saudara-saudara Kristian, hendaklah kita sentiasa saling mengasihi. Janganlah segan menyambut orang yang belum kamu kenal ke rumah. Pernah orang berbuat demikian dan menyambut malaikat tanpa menyedarinya. Ingatlah akan orang yang di dalam penjara, seolah-olah kamu juga di dalam penjara bersama-sama mereka. Ingatlah akan orang yang menderita, seolah-olah kamu juga menderita seperti mereka. Perkahwinan harus dihormati oleh semua orang. Suami isteri harus setia kepada satu sama lain. Allah akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina. Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Allah sudah berfirman, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.” Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata, “Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?” Janganlah lupa akan pemimpin-pemimpin kamu yang dahulu menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu. Ingatlah bagaimana mereka hidup dan mati, dan contohilah iman mereka. Yesus Kristus tetap sama, baik dahulu, sekarang, dan selama-lamanya. Janganlah biarkan segala macam ajaran ganjil menyesatkan kamu. Hati kita harus dikuatkan oleh rahmat Allah, bukan oleh ketaatan kepada peraturan tentang makanan. Orang yang mentaati peraturan itu tidak mendapat faedah daripadanya. Imam-imam yang bertugas di Khemah Tuhan tidak berhak untuk mendapat bahagian daripada korban di atas mazbah kita. Imam Agung Yahudi membawa darah binatang ke dalam Bilik Maha Suci untuk mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa, tetapi bangkai binatang itu dibakar di luar perkhemahan. Itulah sebabnya Yesus juga mati di luar pintu gerbang kota, untuk menyucikan umat-Nya daripada dosa dengan darah-Nya sendiri. Oleh itu, marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan tanggung hinaan bersama-sama Dia. Hal itu demikian, kerana di bumi tidak ada kota yang kekal untuk kita; kita mencari kota yang akan datang. Oleh itu, marilah kita sentiasa persembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Allah melalui Yesus. Kata-kata pujian itu persembahan kita, apabila kita mengaku Dia sebagai Tuhan kita. Jangan lupa berbuat baik dan saling menolong, kerana perkara itu seperti korban yang menyenangkan hati Allah. Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu, kerana mereka harus bertanggungjawab kepada Allah bagi pelayanan mereka. Jika kamu taat kepada mereka, mereka dapat bekerja dengan sukacita. Jika tidak, mereka akan bekerja dengan dukacita, dan hal ini tidak berfaedah bagi kamu. Teruslah berdoa untuk kami. Kami yakin bahawa hati nurani kami murni, kerana kami selalu ingin melakukan perkara yang benar. Khasnya aku memohon supaya kamu berdoa agar Allah segera menghantar aku kembali kepada kamu. Allah sudah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian. Oleh sebab kematian-Nya itu, Dia sekarang menjadi Gembala Agung kita, domba-domba-Nya. Kematian-Nya juga mengesahkan perjanjian kekal yang dibuat oleh Allah dengan kita. Semoga Allah sumber kesejahteraan itu melengkapi kamu dengan segala perkara baik yang kamu perlukan untuk melakukan kehendak-Nya. Semoga dengan perantaraan Yesus Kristus, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya dalam hidup kita. Hendaklah Kristus dimuliakan selama-lamanya! Amin. Aku memohon supaya kamu mendengarkan nasihat-nasihat yang menggalakkan dengan sabar, kerana suratku ini tidak terlalu panjang. Aku hendak memberitahu kamu bahawa saudara kita Timotius sudah dibebaskan dari penjara. Jika dia segera ke sini, aku akan melawat kamu bersama-sama dia. Sampaikanlah salam kami kepada semua pemimpin kamu dan semua umat Allah. Terimalah salam daripada saudara-saudara di Italia. Semoga Allah memberkati kamu semua.

IBRANI 13:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA biarlah jadi bŭrkasih kasihan saudara bŭrsaudara itu slalu. Dan janganlah kamu lupakan mŭmbri tumpangan kapada orang orang dagang, kŭrna dŭngan pŭrbuatan yang dŭmkianlah brapa orang tŭlah mŭnjamu mŭliekat mŭliekat dŭngan tiada dikŭtahuinya. Maka ingatlah akan orang yang tŭrblunggu itu, sa’olah olah angkau pun tŭrblunggu sŭrtanya; maka orang yang mŭrasai kasusahan itu sa’olah olah kamu sŭndiri pun dalam ka’adaan manusia. Adapun nikab itu kamuliaan bagie sagala orang, dan tŭmpat tidor itu bukannya nŭjis; akan tŭtapi orang orang yang bŭrsundal, dan orang yang bŭrzinah itu akan dihukumkan Allah adanya. Maka biarlah klakuan kamu itu dŭngan tiada loba, dan chukopkanlah dŭngan barang yang ada pada kamu; kŭrna Tuhan tŭlah bŭrfŭrman, Bahwa skali kali tiada aku mŭninggalkan dikau, atau tiada mŭlŭpaskan akan dikau. Maka sŭbab itu bulihlah kami bŭrkata dŭngan braninya, Bahwa Tuhanlah pŭnulonganku, dan tiadalah aku takot akan barang apa yang dibuat orang padaku. Maka ingatlah akan orang orang yang ada mŭmrentah akan dikau, dan yang mŭngajar akan dikau pŭrkataan Allah: ikotlah akan imannya, sŭrta timbangkanlah akan kasudahan klakuannya: Adapun Isa Almasih itu sama adanya, baik pada kalmarin, baik pada hari ini, hingga sampie slama lamanya. Maka janganlah kiranya kamu dianyut anyutkan dŭngan pŭngajaran yang bŭrbagie bagie dan yang dagang, kŭrna suatu pŭrkara yang baik adanya, kalu hati itu ditŭtapkan dŭngan anugrah, bukannya dŭngan makanan makanan, yang tiada mŭmbri fiedah kapada orang yang biasa dalam hal itu. Maka adalah bagie kami suatu tŭmpat pŭrsŭmbahan, tiadalah patut bagie orang orang makan akan dia yang bŭrbuat ibadat dalam khemah tŭmpat sŭmbahyang itu. Kŭrna tuboh sagala binatang yang ampunya darah, dibawa kadalam tŭmpat yang suchi ulih iman bŭsar itu sŭbab dosa, maka iya itu dibakar diluar tŭmpat tantara. Maka sŭbab itulah Isa pun, supaya iya bulih mŭnyuchikan kaum itu dŭngan darahnya sŭndiri, maka iya tŭlah mŭnanggong sangsara diluar pintu gŭrbang. Maka biarlah kami kluar pŭrgi kapadanya, diluar tŭmpat tantara, mŭnanggong kachelaanuya. Maka disini tiadalah bagie kami nŭgri yang tŭtap, mŭlainkan kami mŭncharilah sa’buah yang datang. Maka sŭbab itu dŭngan bŭrkatnya, biarlah kami mŭmpŭrsŭmbahkan korban pujian bagie Allah itu sŭntiasa, iya itulah buah mulot kami mŭnguchap shukor akan namanya, Tŭtapi janganlah kamu lupa akan bŭrbuat baik, sŭrta mŭnyampiekan kŭbajikan, kŭrna korban yang dŭmkian itulah yang direlai Allah sangat. Handaklah kamu mŭnurot akan orang orang yang mŭmrentah kamu, dan tundoklah dirimu kapadanya; kŭrna marika itu mŭnjagai akan jiwamu spŭrti orang yang akan mŭmbri kira kira itu, supaya marika itu bulih bŭrbuat itu dŭngan sukachita, bukannya dŭngan dukachita; kŭrna iya itu tiada mŭndatangkan fiedah bagie kamu. Mintalah doa akan kami, kŭrna kami harap, bahwa adalah kiranya pada kami angan angan hati yang baik, maka dalam sagala pŭrkara, kami bŭrkahandak hidop dŭngan tulos. Tŭtapi kupohonkan kapadamu, tŭrlebih baik buatlah dŭmkian, supaya dŭngan sŭgranya aku bulih dikumbalikan padamu. Maka handaklah kiranya Allah pohon slamat itu, yang tŭlah mŭmbangkitkan Isa Tuhan kami deripada matinya, iya itu gombala bŭsar brgie sagala domba dŭngan bŭrkat darah waad yang kŭkal, Mŭnjadikan kamu samporna dalam sagala pŭrkara yang baik, akan bŭrbuat kahandaknya, sŭrta bŭkŭrja dalammu pŭrkara yang mŭnyukakan sangat pada sŭblah fihaknya dŭngan bŭrkat Isa Almasih; maka kamulianlah kiranya bagienya slama lamanya: Amin. Tŭtapi kupohonkanlah kiranya kapadamu saudara saudaraku, maka junjonglah akan nasihatku ini, kŭrna kukirimkan surat ini kapadamu dŭngan rengkasnya. Kŭtahuilah ulihmu, bahwa saudara kami Timothius tŭlah sudah tŭrlŭpas pŭrgi, maka apabila iya datang kŭlak dŭngan sŭgranya, maka bulihlah aku pun datang bŭrsama sama bŭrjumpa kamu. Maka sŭlamku kapada sagala orang yang mŭmrentah kamu, dan kapada sagala orang salih. Maka orang orang yang diItali ampunya sŭlam pada kamu. Biarlah anugrah kiranya atas kamu skalian: Amin. ¶ Tŭrmaktob surat ini deri pada Timothius dinŭgri Itali, kapada orang Ibrani.

IBRANI 13:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pastikan kasih persaudaraan berpanjangan. Jangan lupa meraikan orang asing, kerana dengan berbuat demikian ada orang yang telah meraikan para malaikat tanpa mengetahuinya. Ingatlah kepada orang yang terpenjara seolah-olah kamu terantai bersama mereka; kenanglah orang yang dianiaya seolah-olah kamu juga dianiaya, kerana kamu dan mereka adalah satu. Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya. Jagalah hidupmu supaya jangan menjadi pencinta wang; kamu harus berasa cukup dengan apa yang ada padamu. Dia sendiri telah berjanji: “Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.” Oleh itu, kita boleh berkata dengan bersemangat: “Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut. Apa yang dapat dilakukan manusia kepadaku?” Ingatlah mereka yang menjadi ketuamu yang telah menyampaikan firman Allah kepadamu. Teladani iman mereka, perhatikan hasil jalan hidup mereka. Yesus Kristus tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya. Jangan terikut-ikut pelbagai ajaran yang berlainan daripada ajaran yang benar. Tetapkan hati dengan kasih kurnia Allah, bukan dengan makanan yang tidak menguntungkan mereka yang asyik dengannya. Kita mempunyai mazbah di mana orang yang menjalankan ibadat khemah tidak berhak makan sesuatu daripadanya. Bangkai semua binatang, yang darahnya dibawa masuk ke tempat suci oleh Imam Besar untuk menebus dosa, dibakar di luar perkhemahan. Oleh itu, Yesus juga, untuk menyucikan umat manusia dengan darah-Nya sendiri, menderita di luar pintu gerbang. Dengan demikian marilah kita pergi mendapatkan-Nya, di luar perkhemahan, dan menanggung celaan yang dideritai-Nya. Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang. Oleh itu, melalui-Nya marilah kita terus-menerus mempersembahkan korban iaitu pujian kepada Allah, sebagai buah-buahan hasil bibir kita, sambil bersyukur kepada nama-Nya. Tetapi jangan lupa berbuat baik dan berkongsi, kerana korban demikianlah yang diredai Allah. Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu. Doakanlah kami; kerana kami yakin hati nurani kami bersih, ingin hidup bermaruah dalam segala hal. Tetapi aku terutamanya mendesakmu berbuat demikian, supaya aku dikembalikan kepadamu lebih awal. Semoga Allah kesejahteraan yang telah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian, Gembala domba yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal, melengkapkan kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin. Aku merayu kepadamu, saudara-saudara, dengarlah nasihatku ini dengan sabar, kerana aku menulis ringkas sahaja kepadamu. Ketahuilah bahawa saudara kita Timotius telah dibebaskan. Aku akan menemui kamu bersamanya jika dia datang segera. Sampaikan salamku kepada semua ketuamu dan semua umat yang salih. Saudara-saudara dari Itali berkirim salam kepadamu. Semoga kasih kurnia menyertai kamu semua. Amin.