IBRANI 12:18-28

IBRANI 12:18-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Kamu tidak datang untuk menghadapi sesuatu seperti yang dihadapi oleh umat Israel. Mereka datang kepada sesuatu yang dapat disentuh iaitu Gunung Sinai dengan apinya yang bernyala-nyala; mereka datang kepada kegelapan, kekelaman, angin ribut, bunyi trompet, dan suara Allah yang berfirman. Apabila umat Israel mendengar suara itu, mereka dengan sungguh-sungguh berkata bahawa mereka tidak mahu mendengar suara itu lagi. Mereka berkata demikian kerana mereka tidak tahan mendengar perintah yang mengatakan, “Baik manusia ataupun binatang yang menyentuh gunung ini, harus direjam sampai mati.” Apa yang dilihat oleh umat Israel sedemikian dahsyat sehingga Musa berkata, “Aku takut dan gementar.” Sebaliknya, kamu telah datang ke Bukit Sion dan ke kota Allah yang hidup, iaitu Yerusalem yang di syurga dengan beribu-ribu malaikatnya. Kamu telah datang ke perhimpunan yang meriah, perhimpunan anak-anak sulung Allah, yang nama mereka terdaftar di syurga. Kamu sudah datang kepada Allah yang menghakimi semua orang, dan kepada roh-roh orang baik yang sudah disempurnakan. Kamu sudah datang kepada Yesus, Pengantara yang mengadakan perjanjian baru itu, dan kepada darah percikan yang menjanjikan perkara-perkara yang jauh lebih baik daripada yang dijanjikan oleh darah Habel. Oleh itu, pastikanlah supaya kamu dengarkan Dia yang berfirman itu. Mereka yang tidak mahu mendengarkan Dia yang datang ke bumi dan menyampaikan berita daripada Allah, tidak dapat menyelamatkan diri. Jika kita meninggalkan Dia yang berfirman dari syurga, pastilah kita tidak akan dapat menyelamatkan diri. Pada masa itu, suara-Nya menggoncangkan bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji, “Sekali lagi bumi akan Aku goncangkan, dan bukan bumi sahaja tetapi langit juga.” Kata-kata “sekali lagi” menunjukkan bahawa seluruh alam yang diciptakan akan digoncangkan dan disingkirkan, supaya apa yang tidak dapat digoncangkan akan tertinggal. Oleh itu, hendaklah kita bersyukur, kerana kita menerima suatu kerajaan yang tidak dapat digoncangkan. Hendaklah kita bersyukur dan menyembah Allah dengan hormat dan takut, menurut cara yang diperkenankan oleh-Nya

IBRANI 12:18-28 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna tiadalah kamu mŭndapatkan bukit yang dapat dijabat itu, dan yang bŭrnyala nyala dŭngan api, atau bukannya pula kapada awan yang klam, dan kapada kabut, dan kapada taufan, Dan kapada bunyi nafiri, dan swara fŭrman; adapun swara yang didŭngar ulih marika itu, dipintanya supaya jangan fŭrman itu dikatakan padanya lagi. Kŭrna tiadalah marika itu dapat mŭnahani pŭrkara yang dititahkannya itu, Bahwa jikalau skiranya sa’ekor binatang skalipun mŭnyŭntok akan bukit itu, maka iya itu dirŭjam dŭngan batu, atau ditikam trus dŭngan limbing: Maka dŭmkianlah hiebat adanya pŭmandangan itu, sahingga bŭrkatalah Musa, maka aku tŭrsangatlah katakutan sŭrta gŭmantar. Tŭtapi kamu datang mŭndapatkan bukit Zion, dan akan nŭgri Allah yang hidop itu, iya itu Jerusalem yang dishorga itu, dan kapada pŭrhimpunan mŭliekat yang tiada tŭrkira kira. Dan kapada sidang jŭmaah kabanyakkan, dan kapada majŭlis deripada anak sulong, yang ada tŭrtulis dalam shorga, dan kapada Allah Hakim atas samŭsta skalian, dan kapada sagala Roh orang yang bŭnar yang tŭlah disampornakan. Dan kapada Isa yang pŭngantara dalam waad bahru, dan kapada darah yang tŭrpŭrchek, iya itu yang bŭrkata kata pŭrkara yang tŭrlebih baik deripada darah Habel. Maka ingat janganlah kamu ŭnggan akan dia yang bŭrkata kata itu, kŭrna jikalau kiranya tiada tŭrlŭpas marika itu yang ŭnggan akan dia yang bŭrkata kata diatas bumi ini skalipun, estimewa pula kami kŭlak bulih tŭrlŭpas, jikalau kita bŭrbalik deripadanya yang bŭrkata kata deri dalam shorga. Maka tŭtkala itu swaranya mŭnggrakkan bumi ini, tŭtapi skarang iya tŭlah bŭrjanji, katanya, Bahwa skali lagi tiadalah aku mŭnggrakkan bumi sahja, mŭlainkan langit pun. Adapun pŭrkataan yang skali lagi itu, iya itu mŭnandai derihal bŭrpindahan pŭrkara pŭrkara yang digrakkan, spŭrti pŭrkara yang tŭlah dijadikan, supaya pŭrkara pŭrkara yang tiada digrakkan itupun tinggallah tŭtap adanya. Maka sŭbab itu kami tŭlah mŭndapat satu krajaan yang tiada bulih digrakkan, maka biarlah kami mŭndapat anugrah, supaya dŭngan itu kami bulih bŭrbakti kapada Allah dŭngan pri yang dipŭrkŭnankan, sŭrta dŭngan hormat dan takot akan Allah.

IBRANI 12:18-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kamu tidak pernah datang ke gunung yang dapat disentuh dan menyala dengan api, ke dalam gelap-gelita serta ribut taufan, dan bunyi sangkakala bersama suara yang menuturkan kata-kata, sehingga sekalian yang mendengarnya merayu supaya kata-kata itu tidak dilafazkan lagi kepada mereka. Mereka tidak tahan mendengar apa yang diperintahkan: “Jika seekor binatang pun menyentuh gunung ini, ia mesti direjam dengan batu atau ditembusi dengan anak panah.” Penglihatan itu begitu menggerunkan sehingga Musa berkata, “Aku amat ketakutan dan menggeletar.” Tetapi kamu telah datang ke Gunung Sion dan ke kota Allah yang hidup, Yerusalem yang di syurga, kepada para malaikat yang tidak terkira banyaknya, kepada perhimpunan besar dan kepada jemaah anak sulung yang didaftarkan di syurga, kepada Allah Hakim ke atas sekaliannya, kepada roh-roh orang benar yang telah disempurnakan, kepada Yesus, Pengantara perjanjian baru, dan kepada darah renjisan yang menuturkan perkara-perkara yang lebih baik daripada darah Habel. Jangan sekali-kali kamu ingkar kepada Dia yang bersuara. Mereka yang ingkar kepada Dia yang bersuara di bumi tidak dapat lari daripada kebinasaan. Lebih-lebih lagi dengan kita, jika kita berpaling daripada Dia yang bersuara dari syurga. Dulu suara-Nya menggoncang bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji: “Sekali lagi Aku menggoncang bukan sahaja bumi tetapi juga syurga.” “Sekali lagi” ini bermaksud bahawa segala yang digoncang, iaitu semua benda buatan akan dihapuskan manakala segala yang tidak dapat digoncang akan tetap wujud. Oleh sebab kita menerima sebuah kerajaan yang tidak dapat digoncang, biarlah kita mendapat kasih kurnia, kerana dengannya kita dapat beribadat kepada Allah secara yang diredai-Nya, dengan penuh hormat dan takut akan Dia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami