IBRANI 12:1-12
IBRANI 12:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Sedangkan bagi kita, di sekeliling kita ada banyak saksi. Oleh itu, marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun. Hendaklah pandangan kita tertumpu kepada Yesus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir. Yesus tidak putus asa, walaupun Dia harus mati pada kayu salib. Sebaliknya, kerana kegembiraan yang menantikan-Nya, Yesus tidak peduli bahawa mati pada kayu salib adalah suatu hal yang memalukan. Sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. Fikirkanlah betapa beratnya penderitaan yang dialami oleh Yesus, kerana orang berdosa sangat membenci Dia! Oleh itu janganlah berkecil hati dan putus asa. Dalam perjuangan kamu melawan dosa, kamu belum pernah melawan sehingga dibunuh. Janganlah lupa akan nasihat Allah, yang diberikan kepada kamu sebagai anak-anak-Nya: “Hai anak-Ku, perhatikan baik-baik apabila Tuhan menunjukkan kesalahanmu, dan janganlah kecil hati apabila Dia menghukum kamu. Tuhan menunjukkan kesalahan setiap orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum setiap orang yang diakui-Nya sebagai anak.” Hendaklah penderitaan yang kamu tanggung dianggap sebagai hukuman daripada seorang bapa. Penderitaan kamu membuktikan bahawa Allah memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya. Pernahkah seorang anak tidak dihukum oleh bapanya? Jika kamu tidak dihukum seperti semua anak-Nya yang lain, hal ini bererti kamu bukan anak sah, tetapi anak haram. Di dunia ini kita mempunyai bapa. Mereka menghukum kita, dan kita menghormati mereka. Oleh itu, kita harus menerima hukuman yang dikenakan oleh Bapa kita yang di syurga, supaya kita hidup. Bapa kita yang di dunia menghukum kita hanya untuk masa pendek ketika kita masih anak-anak, menurut apa yang dirasakan baik oleh mereka. Tetapi Allah menghukum kita untuk kebaikan kita sendiri, supaya kita dapat menjadi suci seperti Dia. Pada masa kita dihukum, hukuman itu membuat kita susah hati, bukannya senang hati. Tetapi kemudian, orang yang dihukum untuk menunjukkan kesalahan mereka, akan hidup menurut kehendak Allah dan mengalami kesejahteraan. Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lemah dan lutut yang gementar!
IBRANI 12:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
ADAPUN sŭbab tampaknya kita skalian ini ada dikŭpong bŭrkliling dŭngan saksi saksi yang spŭrti awan awan ramienya, maka biarlah kami sŭblahkan sagala kabratan dan dosa, yang mŭnyŭmakkan kami dŭngan mudahnya, maka biarlah kami lari dŭngan sabar pada pŭrlumbaan yang tŭlah ditarohkan dihadapan kami ini, Sŭrta mŭmandanglah kakapada Isa yang pŭrmulaan dan kasudahan iman itu; dan ulih sŭbab kasukaan yang ditarohkan dihadapannya iya tŭlah mŭnanggong salib, dan tiada mŭngindahkan malu, maka iyalah juga yang dudok disŭblah kanan arash Allah. Maka timbanglah ulihmu akan halnya yang tŭlah mŭnanggong sakian pŭrsŭlŭsihan orang orang bŭrdosa yang mŭlawan akan dia, asal jangan jadi pŭnat dan lŭmah hatinya. Maka bŭlomlah kamu mŭlawan sampie kluar darah, tŭtkala bŭrpukol pukolan dŭngan dosa. Maka tŭrlupalah sudah angkau akan nasihat yang ada bŭrkata kata padamu spŭrti kapada kanak kanak, katanya, Anakku, janganlah kiranya angkau mŭmbŭnchikan sŭsah pŭngajaran Tuhan itu, atau bŭrlŭteh tŭtkala angkau ditŭgornya: Kŭrna kapada barang siapa yang dikasihi Tuhan itu disŭsahnya, danlagi dipukolnya tiap tiap anak yang ditrimanya. Shahadan jikalau kamu mŭnahani sŭsah pŭngajaran itu, maka Allah bŭrlaku pada kamu spŭrti kapada anak anak; kŭrna anak manakah yang tiada kŭna sŭsah ulih bapanya? Tŭtapi jikalau kamu dŭngan tiada disŭsah, kŭrna itulah pŭndapatan sagala kanak kanak, nŭschaya kamulah anak haram, dan bukannya anak halal. Tambahan pula, pada kami sudah ada bapa didunia yang sŭsah kami: maka kami mŭmbri hormat akan dia, bukankah brapa pula lagi grangan patut kami tundokkan diri kami kapada bapa sagala Roh, supaya kami hidop. Kŭrna sungguhlah bapa bapa dunia ini tŭlah munyŭsah kami dalam sŭdikit hari sahja mŭnurot kasukaannya; tŭtapi Allah itu kŭrna untong kami, iya itu supaya kami mŭndapat bahgian kasuchiannya. Adapun skarang tiadalah barang sŭsah itu tampaknya kasukaan, mŭlainkan kasusahan; kŭndatilah, kumdian kŭlak iya mŭndatangkan buah buahan sŭjahtralah deripada kabŭnaran kapada marika itu yang biasa dalam itu. Sŭbab itu tadahkanlah tangan yang tŭrgantong, dan lutot yang lŭmah
IBRANI 12:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita, dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita. Marilah kita mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. Fikirkanlah Dia yang tabah menderita apabila orang berdosa memusuhi-Nya, supaya kamu tidak berasa bosan dan tawar hati. Dalam perjuangan melawan dosa, kamu belum lagi bertahan sehingga tumpah darahmu. Kamu telah melupakan nasihat yang disampaikan kepadamu seperti kepada anak-anak sendiri: “Anakku, jangan pandang ringan pengajaran Tuhan, dan jangan tawar hati apabila Dia menegurmu, kerana Tuhan mengajari orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum sesiapa yang diterima-Nya sebagai anak.” Jika kamu tahan diajari, Allah memperlakukan kamu sebagai anak; kerana anak manakah yang tidak diajari oleh bapanya? Tetapi jika kamu tidak diajari, sedangkan orang lain menerima pengajaran, maka kamu ialah anak haram dan bukanlah anak yang sah. Tambahan pula, kita mempunyai bapa di dunia yang mengajari kita dan kita menghormati mereka. Tidakkah sepatutnya kita lebih rela lagi tunduk kepada Bapa segala roh untuk hidup? Bapa kita di dunia mengajari kita beberapa waktu menurut apa yang terasa baik bagi mereka. Tetapi Tuhan mengajari kita untuk menguntungkan kita, supaya kita mendapat sebahagian kesucian-Nya. Tiada pengajaran yang menggembirakan ketika dilaksanakan; semuanya terasa teruk. Tetapi kemudiannya pengajaran itu menghasilkan buah perbenaran yang mendatangkan rasa aman kepada mereka yang telah dididik dengannya. Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lesu dan lutut yang lemah