IBRANI 11:1-6,13-16
IBRANI 11:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat. Kerana beriman, nenek moyang kita diperkenankan oleh Allah. Kerana beriman, kita mengerti bahawa alam ini diciptakan oleh firman Allah, maka apa yang dapat dilihat dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat. Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban yang lebih baik daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain kepada Allah. Dengan imannya itu, Habel diterima oleh Allah sebagai orang yang baik, oleh sebab Allah menerima persembahannya. Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata sampai sekarang, meskipun dia sudah meninggal. Kerana beriman, Henokh tidak mati. Sebaliknya dia diangkat dan dibawa kepada Allah. Tidak seorang pun dapat menjumpainya, kerana dia sudah diangkat oleh Allah. Di dalam Alkitab tertulis, bahawa sebelum Henokh diangkat, dia menyenangkan hati Allah. Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya.
IBRANI 11:13-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini. Orang yang berkata demikian menunjukkan dengan jelas bahawa mereka sedang mencari negeri yang akan menjadi tanah air mereka. Mereka tidak selalu memikirkan negeri yang sudah ditinggalkan. Jika mereka selalu memikirkannya, mereka berpeluang kembali ke negeri itu. Sebaliknya, mereka merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga. Itulah sebabnya Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka.
IBRANI 11:1-6 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA adapun iman itulah akar umbi pŭrkara yang diharapkan, dan saksi sagala pŭrkara yang tiada kŭlihatan. Kŭrna deri sŭbabnya itulah juga orang dahulu dahulu kala itu tŭlah mŭndapat nama yang baik. Kŭrna dŭngan iman itulah juga kita mŭngatahui, bahwa sagala alam ini diatorkan dŭngan pŭrkataan Allah, maka dŭmkianlah barang pŭrkara yang klihatan itu, bukannya dijadikan deripada barang pŭrkara yang nyata. Maka deri sŭbab iman itulah juga, Habil tŭlah mŭmpŭrsŭmbahkan kapada Allah suatu korban yang tŭrlebih indah deripada korban Kain, maka deri sŭbabnya itu juga iya tŭlah mŭndapat kanyataan dirinya bŭnar adanya, Allah mŭmbri nyata akan pŭrsŭmbahannya itu: maka deri sŭbab itulah juga sungguh pun iya tŭlah mati akan tŭtapi sŭrasa bŭrkata kata juga iya. Maka deri sŭbab iman itu juga, maka Inok tŭlah dipindahkan kadalam shorga, supaya jangan iya mŭrasai mati; dan tiadalah iya klihatan lagi, kŭrna Allah tŭlah mŭmindahkan dia: kŭrna dahulu deripada kapindahannya itu iya tŭlah bŭrulih kanyataan, bahwa iya mŭmpŭrkŭnankan Allah. Tŭtapi jikalau tiada dŭngan iman itu mustahil orang bulih mŭmpŭrkŭnankan Allah: kŭrna orang yang mŭnghampiri kapada Allah itu dapatiada patut pŭrchaya ada Tuhan, maka iyalah itu pŭmbalas orang yang mŭnchari dia dŭngan rajin.
Ibrani 11:13-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka skaliannya itu tŭlah mati dŭngan iman, tŭtkala sŭbŭlom marika itu bŭrulih pŭrjanjian itu, mŭlainkan sŭbab ditileknya deri jauh, maka dŭngan yakinnya dipŭgangnya akan dia, sŭrta mŭngaku bahwasanya iyalah orang orang dagang, dan orang pŭrjalanan diatas bumi. Kŭrna orang yang bŭrkata yang dŭmkian itu mŭngatakan dŭngan trangnya, bahwasanya iya mŭnchari sa’buah nŭgri. Maka sŭsungguhnya jikalau marika itu tŭlah mŭnaroh kŭnangan akan nŭgri yang tŭlah ditinggalkannya itu, maka adalah waktu yang bulih marika itu kŭmbali pula. Tŭtapi skarang dikahandaki ulih marika itu sa’buah nŭgri yang tŭrlebih baik, iya itu shorga; maka sŭbab itu tiadalah Allah malu akan disŭbutkan Allahnya, kŭrna iya tŭlah mŭnyŭdiakan sa’buah nŭgri bagie marika itu.
IBRANI 11:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat. Melalui iman nenek moyang kita telah dipuji. Melalui iman kita mengerti bahawa semesta alam dibentuk dengan firman Allah. Nyatalah bahawa segala yang dilihat sekarang tidak dicipta daripada benda yang dapat dilihat. Melalui iman Habel telah mempersembahkan kepada Allah korban yang lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh Kain. Dengan demikian dia mendapat kesaksian bahawa dia seorang yang benar; Allah memberikan kesaksian tentang persembahannya. Oleh itu, setelah Habel mati pun, dia masih berkata-kata. Melalui iman Henokh dipindahkan supaya dia tidak mengalami kematian, dan tidak dapat dijumpai kerana Allah telah memindahkannya; kerana sebelum dia dipindahkan, dia telah menerima kesaksian, bahawa dia mendapat keredaan Allah. Tetapi tanpa iman, mustahil didapati keredaan-Nya. Sesiapa yang datang kepada Allah mestilah beriman bahawa Allah wujud dan Dia memberikan ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk mencari-Nya.
Ibrani 11:13-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Semua mereka ini telah mati dalam iman. Mereka belum menerima janji itu. Akan tetapi, setelah melihatnya pada masa yang akan datang mereka yakin terhadapnya, dan mengakui mereka orang asing dan musafir di muka bumi ini. Mereka yang berkata demikian menyatakan terang-terang bahawa mereka sedang mencari tempat untuk dijadikan tanah air mereka. Sesungguhnya, kalaulah mereka teringat akan negeri yang telah ditinggalkan mereka dahulu, mereka akan mendapat peluang untuk kembali. Tetapi kini mereka inginkan tempat yang lebih baik, iaitu di syurga. Oleh itu, Allah tidak malu disebut sebagai Allah mereka; Dia telah menyediakan sebuah kota untuk mereka.