IBRANI 11:1-13

IBRANI 11:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat. Kerana beriman, nenek moyang kita diperkenankan oleh Allah. Kerana beriman, kita mengerti bahawa alam ini diciptakan oleh firman Allah, maka apa yang dapat dilihat dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat. Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban yang lebih baik daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain kepada Allah. Dengan imannya itu, Habel diterima oleh Allah sebagai orang yang baik, oleh sebab Allah menerima persembahannya. Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata sampai sekarang, meskipun dia sudah meninggal. Kerana beriman, Henokh tidak mati. Sebaliknya dia diangkat dan dibawa kepada Allah. Tidak seorang pun dapat menjumpainya, kerana dia sudah diangkat oleh Allah. Di dalam Alkitab tertulis, bahawa sebelum Henokh diangkat, dia menyenangkan hati Allah. Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya. Kerana beriman, Nuh mendengarkan amaran Allah tentang perkara-perkara pada masa depan, yang belum dilihat olehnya. Nuh taat kepada Allah, lalu membina sebuah bahtera yang kemudian menyelamatkan dia dan keluarganya. Dengan demikian dunia dihukum, dan kerana imannya Nuh dinyatakan oleh Allah sebagai orang yang baik. Kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi. Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Allah. Hal itu demikian kerana Abraham sedang menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina oleh Allah. Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Allah akan menepati janji-Nya. Meskipun Abraham pada masa itu sudah mati pucuk, tetapi dia mendapat keturunan sebanyak bintang di langit dan pasir di pantai. Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini.

IBRANI 11:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA adapun iman itulah akar umbi pŭrkara yang diharapkan, dan saksi sagala pŭrkara yang tiada kŭlihatan. Kŭrna deri sŭbabnya itulah juga orang dahulu dahulu kala itu tŭlah mŭndapat nama yang baik. Kŭrna dŭngan iman itulah juga kita mŭngatahui, bahwa sagala alam ini diatorkan dŭngan pŭrkataan Allah, maka dŭmkianlah barang pŭrkara yang klihatan itu, bukannya dijadikan deripada barang pŭrkara yang nyata. Maka deri sŭbab iman itulah juga, Habil tŭlah mŭmpŭrsŭmbahkan kapada Allah suatu korban yang tŭrlebih indah deripada korban Kain, maka deri sŭbabnya itu juga iya tŭlah mŭndapat kanyataan dirinya bŭnar adanya, Allah mŭmbri nyata akan pŭrsŭmbahannya itu: maka deri sŭbab itulah juga sungguh pun iya tŭlah mati akan tŭtapi sŭrasa bŭrkata kata juga iya. Maka deri sŭbab iman itu juga, maka Inok tŭlah dipindahkan kadalam shorga, supaya jangan iya mŭrasai mati; dan tiadalah iya klihatan lagi, kŭrna Allah tŭlah mŭmindahkan dia: kŭrna dahulu deripada kapindahannya itu iya tŭlah bŭrulih kanyataan, bahwa iya mŭmpŭrkŭnankan Allah. Tŭtapi jikalau tiada dŭngan iman itu mustahil orang bulih mŭmpŭrkŭnankan Allah: kŭrna orang yang mŭnghampiri kapada Allah itu dapatiada patut pŭrchaya ada Tuhan, maka iyalah itu pŭmbalas orang yang mŭnchari dia dŭngan rajin. Adapun ulih sŭbab iman itu juga, tŭtkala diingatkan Allah akan Noh deri hal pŭrkara pŭrkara yang bŭlom klihatan, tŭrgraklah iya dŭngan katakutan, lalu disŭdiakannya sa’buah bahtra akan mŭmliharakan isi rumahnya; maka ulih sŭbab itulah juga iya mŭnyalahkan orang isi dunia, sŭrta iya mŭnjadi warith kabŭnaran ulih iman. Adapun ulih sŭbab iman itu juga, maka Ibrahim apabila iya disuroh kluar pŭrgi kapada suatu tŭmpat yang iya akan mŭmpusakai kŭlak, diturutnya; maka kluarlah iya dŭngan tiada dikŭtahuinya kamana grangan pŭrginya. Dan ulih iman itu juga Ibrahim tŭlah mŭnumpang dalam tanah pŭrjanjian spŭrti dalam sa’buah nŭgri dagang, sŭrta dudoklah iya dalam khemah dŭngan Isahak dan Yakob, warith warith juga dŭngan dia akan sama pŭrjanjian itu: Kŭrna Ibrahim mŭnilek sa’buah nŭgri yang ada tŭralas, yang mŭmbangunkan dia, dan tukangnya, iya itu Allah adanya. Adapun ulih sŭbab iman itu juga Sarah pun tŭlah mŭndapat kuat badan akan mŭngandong, lalu dipranakkannyalah sa’orang anak, iya itu tŭtkala lalulah umornya, sŭbab pada fikirannya sŭtiawanlah kiranya Tuhan yang tŭlah bŭrjanji itu. Maka sŭbab itu tŭlah tŭrbitlah bŭnih deripada sa’orang spŭrti sa’orang yang sudah mati, maka sŭbanyak bintang dilangit, dan spŭrti kŭrsek ditŭpi laut, yang tiada dapat tŭrbilang adanya. Maka skaliannya itu tŭlah mati dŭngan iman, tŭtkala sŭbŭlom marika itu bŭrulih pŭrjanjian itu, mŭlainkan sŭbab ditileknya deri jauh, maka dŭngan yakinnya dipŭgangnya akan dia, sŭrta mŭngaku bahwasanya iyalah orang orang dagang, dan orang pŭrjalanan diatas bumi.

IBRANI 11:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat. Melalui iman nenek moyang kita telah dipuji. Melalui iman kita mengerti bahawa semesta alam dibentuk dengan firman Allah. Nyatalah bahawa segala yang dilihat sekarang tidak dicipta daripada benda yang dapat dilihat. Melalui iman Habel telah mempersembahkan kepada Allah korban yang lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh Kain. Dengan demikian dia mendapat kesaksian bahawa dia seorang yang benar; Allah memberikan kesaksian tentang persembahannya. Oleh itu, setelah Habel mati pun, dia masih berkata-kata. Melalui iman Henokh dipindahkan supaya dia tidak mengalami kematian, dan tidak dapat dijumpai kerana Allah telah memindahkannya; kerana sebelum dia dipindahkan, dia telah menerima kesaksian, bahawa dia mendapat keredaan Allah. Tetapi tanpa iman, mustahil didapati keredaan-Nya. Sesiapa yang datang kepada Allah mestilah beriman bahawa Allah wujud dan Dia memberikan ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk mencari-Nya. Melalui iman Nuh, yang diberi amaran tentang perkara-perkara yang belum dilihat, telah bertindak dengan rasa takut akan Allah. Nuh telah menyediakan bahtera untuk menyelamatkan seisi rumahnya. Dengan demikian dia telah menghukum dunia dan mewarisi perbenaran menurut iman. Melalui iman Abraham taat apabila disuruh pergi ke tempat yang kemudian diterimanya sebagai warisannya. Dia pergi tanpa mengetahui ke mana dia pergi. Melalui iman dia tinggal di tanah yang dijanjikan itu seperti di negeri asing. Dia tinggal di khemah-khemah dengan Ishak dan Yakub, yang bersamanya menjadi waris janji itu; kerana dia menanti kota yang berasas, yang dibina dan dicipta oleh Allah. Melalui iman Sarah juga mendapat kekuatan untuk mengandungkan benih lalu melahirkan anak padahal usianya sudah lanjut; kerana dia yakin bahawa Dia yang berjanji itu setia. Oleh itu, daripada seorang lelaki yang dianggap hampir dengan maut, telah lahir keturunan sebanyak bintang-bintang di langit, tidak terkira bilangannya seperti butir-butir pasir di pantai. Semua mereka ini telah mati dalam iman. Mereka belum menerima janji itu. Akan tetapi, setelah melihatnya pada masa yang akan datang mereka yakin terhadapnya, dan mengakui mereka orang asing dan musafir di muka bumi ini.

IBRANI 11:1-13

IBRANI 11:1-13 BMIBRANI 11:1-13 BMIBRANI 11:1-13 BM