IBRANI 10:32-39
IBRANI 10:32-39 Alkitab Berita Baik (BM)
Ingatlah keadaan kamu pada masa lampau. Pada masa itu, setelah cahaya Allah menyinari kamu, sering kali kamu menderita, namun kamu tetap berjuang dengan gigih. Ada kalanya kamu dihina dan dianiaya di hadapan umum. Ada kalanya juga kamu rela menderita bersama-sama mereka yang diperlakukan demikian. Kamu ikut merasakan penderitaan orang yang dipenjarakan. Apabila segala milik kamu dirampas, kamu menanggungnya dengan gembira, kerana kamu tahu bahawa kamu masih mempunyai sesuatu yang lebih baik dan yang akan tahan selama-lamanya. Oleh itu, janganlah putus harapan, kerana besar balasannya jika kamu tetap berharap. Kamu perlu bersabar supaya dapat melakukan kehendak Allah, dan dengan demikian menerima apa yang dijanjikan-Nya. Hal ini demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Hanya sebentar lagi, lalu Dia yang akan datang itu akan segera tiba; Dia tidak akan berlambat. Umat-Ku yang melakukan kehendak-Ku akan percaya kepada-Ku dan hidup; tetapi jika ada antara mereka yang tidak lagi percaya kepada-Ku, Aku tidak berkenan kepadanya.” Kita ini bukanlah umat yang tidak lagi percaya kepada Allah, dan bukan umat yang sesat. Sebaliknya, kita beriman dan diselamatkan.
IBRANI 10:32-39 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi ingatlah kamu akan masa yang dahulu itu, tŭtkala kumdian deripada kamu tŭlah ditrangkan, kamu tŭlah mŭnahani suatu pŭprangan kasusahan yang bŭsar; Maka sŭtŭngahnya, sŭbab kamu dijadikan pandang pandangan orang juga, baik derihal kachŭlaan kamu, atau kasusahan kamu, dan sŭtŭngahnya pula ulih sŭbab kamu bŭrtaulan dŭngan orang yang kŭna sama hal itu. Kŭrna kamu tŭlah mŭnaroh kasihan padaku dalam hal blungguku, dan kamu tŭlah mŭnahani dŭngan suka chita tŭtkala dirampas hartamu; kŭrna kamu mŭngatahui, bahwa adalah pada kamu pŭrulihan yang lebih baik, dan yang kŭkal dalam shorga. Maka janganlah kiranya kamu buangkan yakinmu yang mŭndatangkan balasan bŭsar akan fahalanya itu. Kŭrna mahulah ada kapada kamu sabar, supaya kŭmdian deripada kamu sudah mŭlakukan kahandak Allah itu kŭlak, maka kamu akan mŭnŭrima pŭrjanjian itu. Kŭrna hanya sŭkutika juga lagi, iya yang handak datang itu, kŭlak akan datang, dan tiada iya bŭrlambatan lagi. Adapun orang bŭnar itu akan hidop ulih iman: tŭtapi jikalau barang sa’orang undur, maka tiadalah juga hatiku mŭrelai akan dia. Tŭtapi bukannya kami ini deripada orang yang undur sampie kapada kabinasaan: mŭlainkan deripada orang yang pŭrchaya juga hingga mŭndapat slamat jiwa adanya.
IBRANI 10:32-39 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi ingatlah masa silam, ketika kamu diberi cahaya kebenaran, kemudian kamu dengan ketetapan yang gigih menanggung penderitaan yang hebat; sebahagiannya apabila kamu sendiri diaibkan di khalayak ramai dengan celaan serta seksaan, dan sebahagiannya apabila kamu menjadi teman mereka yang diperlakukan demikian. Kamu telah merasakan belas kasih terhadap mereka yang terpenjara. Kamu telah menerima dengan sukacita apabila hartamu dirampas, kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai milik yang lebih baik dan kekal di syurga. Oleh itu, janganlah buangkan keyakinanmu, yang akan diberikan ganjaran besar. Kamu perlu tabah menderita. Dengan demikian, setelah kamu melakukan kehendak Allah, kamu dapat menerima janji itu: “Seketika sahaja lagi, Dia yang akan datang itu akan sampai tanpa berlengah-lengah. Sekarang orang yang benar akan hidup dengan iman; Tetapi jika sesiapa undur, jiwa-Ku tidak meredainya.” Tetapi kita bukanlah antara mereka yang undur ke arah kebinasaan, tetapi antara mereka yang beriman dan diselamatkan.