IBRANI 10:19-39

IBRANI 10:19-39 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu, saudara-saudara-ku, dengan kematian Yesus kita mempunyai kebebasan penuh untuk masuk ke Bilik Maha Suci. Yesus sudah membuka satu jalan baru bagi kita, jalan yang memberikan kehidupan. Jalan itu melalui tirai, iaitu tubuh Yesus sendiri. Sekarang kita mempunyai imam agung, yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah. Oleh itu, marilah kita hampiri Allah dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, dengan hati yang sudah disucikan daripada perasaan bersalah, dan dengan tubuh yang sudah dibersihkan oleh air bersih. Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya. Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang. Tidak ada lagi korban yang dapat menghapuskan dosa, jika kita dengan sengaja terus berdosa, setelah ajaran benar tentang Berita Baik sudah disampaikan kepada kita. Satu-satunya yang masih tinggal bagi kita adalah dengan takut menantikan pengadilan Allah dan api dahsyat yang akan membinasakan orang yang melawan Allah. Seseorang yang tidak mentaati Taurat Musa dihukum mati tanpa kasihan, jika dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi, dia terbukti bersalah. Lebih berat lagi hukuman yang harus dijatuhkan kepada seseorang yang menginjak-injak Anak Allah, yang menganggap hina darah perjanjian Allah yang sudah menyucikan dia daripada dosa, dan yang menista Roh Allah yang mengasihinya! Hal itu demikian kerana kita mengenal Dia yang berfirman, “Aku akan membalas dendam! Aku akan menghukum!” Dia juga berfirman, “Tuhan akan menghakimi umat-Nya.” Alangkah ngerinya jika jatuh ke tangan Allah yang hidup! Ingatlah keadaan kamu pada masa lampau. Pada masa itu, setelah cahaya Allah menyinari kamu, sering kali kamu menderita, namun kamu tetap berjuang dengan gigih. Ada kalanya kamu dihina dan dianiaya di hadapan umum. Ada kalanya juga kamu rela menderita bersama-sama mereka yang diperlakukan demikian. Kamu ikut merasakan penderitaan orang yang dipenjarakan. Apabila segala milik kamu dirampas, kamu menanggungnya dengan gembira, kerana kamu tahu bahawa kamu masih mempunyai sesuatu yang lebih baik dan yang akan tahan selama-lamanya. Oleh itu, janganlah putus harapan, kerana besar balasannya jika kamu tetap berharap. Kamu perlu bersabar supaya dapat melakukan kehendak Allah, dan dengan demikian menerima apa yang dijanjikan-Nya. Hal ini demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Hanya sebentar lagi, lalu Dia yang akan datang itu akan segera tiba; Dia tidak akan berlambat. Umat-Ku yang melakukan kehendak-Ku akan percaya kepada-Ku dan hidup; tetapi jika ada antara mereka yang tidak lagi percaya kepada-Ku, Aku tidak berkenan kepadanya.” Kita ini bukanlah umat yang tidak lagi percaya kepada Allah, dan bukan umat yang sesat. Sebaliknya, kita beriman dan diselamatkan.

IBRANI 10:19-39 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Shahadan sŭbab itulah saudara saudaraku, kami mŭndapat brani masok kadalam tŭmpat tŭmpat yang suchi itu dŭngan bŭrkat darah Isa, Ulih jalan bahru, dan yang slamat yang dibahrui bagie kami, mŭnŭrusi tirie, iya itulah tubohnya; Dan lagi sŭbab kami mŭndapat sa’orang imam bŭsar atas orang isi rumah Allah. Maka biarlah kami mŭnghampiri akan dia dŭngan hati yang bŭnar, dŭngan iman yang yakin, sŭbab hati kami tŭlah dipŭrchekkan deripada angan angan yang jahat, dan tuboh kami disuchikan dŭngan ayer yang pŭrsih. Maka handaklah kami bŭrpŭgang tŭgoh tŭgoh akan pŭngakuan iman kami dŭngan tiada bŭrgoyang; kŭrna sŭtiawanlah iya yang tŭlah bŭrjanji itu. Maka biarlah kami mŭngingat ingatkan sa’orang akan sa’orang, sŭrta mŭnggalak galakkan akan jalan bŭrkasih kasihan, dan pŭrbuatan yang baik. Dan janganlah mŭninggalkan pŭrkampongan kami sama sŭndiri, spŭrti adat stŭngah orang, mŭlainkan handaklah kami mŭmbri nasihat sa’orang akan sa’orang; bŭtapa lagi, sŭbab kamu tŭlah mŭngatahui, bahwa hari kiamat itu adalah mŭnghampiri. Kŭrna jikalau kami bŭrbuat dosa juga dŭngan sŭngaja kumdian deripada kami tŭlah bŭrulih pŭngatahuan derihal kabŭnaran itu, maka tiadalah lagi korban sŭbab dosa, Mŭlainkan nyatalah suatu katakotan, iya itu hari hukum yang dinantikan, dan morka yang mŭnghanguskan kŭlak, akan mŭnŭlan sŭtru sŭtru itu. Maka orang yang tŭlah mŭlalui tauret Musa itu, iya itu mati dŭngan tiada mŭndapat kasihan dihadapan dua atau tiga orang saksi itu. Maka pada sangkamu, brapakah pula lebih bratnya seksa yang patut dikŭnakan kiranya kapada orang yang mŭmijakkan anak Allah dibawah kakinya, dan yang tŭlah mŭmbilangkan darah waad itu, suatu pŭrkara tiada suchi, tŭtapi dŭngan itulah juga iya disuchikan, dan tŭlah mŭnghinakan Roh anugrah itu? Kŭrna kami mŭngatahui akan dia yang tŭlah bŭrfŭrman katanya, Bahwa akulah yang ampunya pŭnuntotan bela, maka akulah kŭlak akau mŭmbalaskan. Dan lagi pula, Tuhanlah kŭlak akan mŭnghukumkan kaumnya. Maka dashatlah adanya kalau jatoh katangan Allah yang hidop itu, Tŭtapi ingatlah kamu akan masa yang dahulu itu, tŭtkala kumdian deripada kamu tŭlah ditrangkan, kamu tŭlah mŭnahani suatu pŭprangan kasusahan yang bŭsar; Maka sŭtŭngahnya, sŭbab kamu dijadikan pandang pandangan orang juga, baik derihal kachŭlaan kamu, atau kasusahan kamu, dan sŭtŭngahnya pula ulih sŭbab kamu bŭrtaulan dŭngan orang yang kŭna sama hal itu. Kŭrna kamu tŭlah mŭnaroh kasihan padaku dalam hal blungguku, dan kamu tŭlah mŭnahani dŭngan suka chita tŭtkala dirampas hartamu; kŭrna kamu mŭngatahui, bahwa adalah pada kamu pŭrulihan yang lebih baik, dan yang kŭkal dalam shorga. Maka janganlah kiranya kamu buangkan yakinmu yang mŭndatangkan balasan bŭsar akan fahalanya itu. Kŭrna mahulah ada kapada kamu sabar, supaya kŭmdian deripada kamu sudah mŭlakukan kahandak Allah itu kŭlak, maka kamu akan mŭnŭrima pŭrjanjian itu. Kŭrna hanya sŭkutika juga lagi, iya yang handak datang itu, kŭlak akan datang, dan tiada iya bŭrlambatan lagi. Adapun orang bŭnar itu akan hidop ulih iman: tŭtapi jikalau barang sa’orang undur, maka tiadalah juga hatiku mŭrelai akan dia. Tŭtapi bukannya kami ini deripada orang yang undur sampie kapada kabinasaan: mŭlainkan deripada orang yang pŭrchaya juga hingga mŭndapat slamat jiwa adanya.

IBRANI 10:19-39 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, saudara-saudara, kita telah mempunyai keberanian untuk masuk ke Tempat Yang Maha Suci melalui darah Yesus, melalui jalan yang baru dan hidup, yang dibukakan-Nya untuk kita, menerusi tirai, iaitu tubuh-Nya. Kita mempunyai Imam Besar di atas isi Rumah Allah. Maka marilah kita hampir dengan hati yang tulus dan iman yang teguh sepenuhnya. Hati nurani kita telah direnjis sehingga suci daripada kejahatan dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang bersih. Marilah kita berpegang teguh pada pengakuan harapan kita tanpa berganjak, kerana Dia yang berjanji sentiasa setia. Marilah kita saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik. Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri, terutamanya setelah kamu sedar Hari Tuhan itu kian hampir. Jika kita sengaja melakukan dosa setelah kita mengenal kebenaran, tiada lagi korban untuk menebus dosa. Yang ada hanyalah ketakutan menanti hukuman, dan api kemurkaan yang akan memusnahkan semua yang ingkar. Sesiapa yang menolak hukum Musa mati tanpa belas kasihan atas kesaksian dua atau tiga orang saksi. Pada hematmu, betapakah lebih dahsyatnya hukuman yang dianggap setimpal bagi orang yang telah melanyak Anak Allah di bawah kakinya, memandang ringan kepada darah perjanjian yang telah menyucikannya, dan menghina Roh kasih kurnia? Kita mengenal Dia yang berfirman, “Pembalasan adalah hak-Ku, Aku akan membalas, demikian firman Tuhan.” Dan juga, “Tuhan akan menghakimi umat-Nya.” Sungguh dahsyatnya jatuh ke tangan Allah yang hidup. Tetapi ingatlah masa silam, ketika kamu diberi cahaya kebenaran, kemudian kamu dengan ketetapan yang gigih menanggung penderitaan yang hebat; sebahagiannya apabila kamu sendiri diaibkan di khalayak ramai dengan celaan serta seksaan, dan sebahagiannya apabila kamu menjadi teman mereka yang diperlakukan demikian. Kamu telah merasakan belas kasih terhadap mereka yang terpenjara. Kamu telah menerima dengan sukacita apabila hartamu dirampas, kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai milik yang lebih baik dan kekal di syurga. Oleh itu, janganlah buangkan keyakinanmu, yang akan diberikan ganjaran besar. Kamu perlu tabah menderita. Dengan demikian, setelah kamu melakukan kehendak Allah, kamu dapat menerima janji itu: “Seketika sahaja lagi, Dia yang akan datang itu akan sampai tanpa berlengah-lengah. Sekarang orang yang benar akan hidup dengan iman; Tetapi jika sesiapa undur, jiwa-Ku tidak meredainya.” Tetapi kita bukanlah antara mereka yang undur ke arah kebinasaan, tetapi antara mereka yang beriman dan diselamatkan.