IBRANI 10:1-14

IBRANI 10:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Taurat orang Yahudi bukanlah gambaran lengkap dan sempurna tentang perkara-perkara yang sebenarnya, tetapi hanya bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang. Tahun demi tahun korban yang sama dipersembahkan. Bagaimanakah Taurat, melalui korban-korban ini dapat menyempurnakan orang yang datang menyembah Allah? Jika orang yang menyembah Allah benar-benar telah disucikan daripada dosa, mereka tidak akan berasa bersalah lagi, dan korban tidak perlu dipersembahkan lagi. Tetapi nyatanya, korban-korban yang dipersembahkan tahun demi tahun itu mengingatkan orang akan dosa mereka. Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa. Itulah sebabnya pada masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku. Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, ataupun korban untuk menghapuskan dosa. Lalu Aku berkata, ‘Inilah Aku, ya Allah, Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku.’ ” Mula-mula Kristus berkata, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.” Dia berkata demikian meskipun segala korban itu dipersembahkan menurut Taurat. Setelah itu Dia berkata, “Inilah Aku, ya Allah. Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” Oleh itu, Allah meniadakan segala korban yang lama itu, lalu menggantikannya dengan korban Kristus. Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa. Setiap imam Yahudi menjalankan tugas tiap-tiap hari dan berulang kali mempersembahkan korban yang sama. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menghapuskan dosa. Sebaliknya, Kristus mempersembahkan hanya satu korban untuk pengampunan dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Setelah itu Dia duduk di sebelah kanan Allah. Sekarang Dia menantikan masanya Allah menjadikan musuh-musuh-Nya sebagai alas kaki-Nya. Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa.

IBRANI 10:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN tauret itu mŭnjadi bayang bayang sahja deri hal pŭrkara pŭrkara baik yang akan datang itu, bukannya rupa yang sungguh sungguh deripada sagala pŭrkara itu; maka tiada bulih skali kali dŭngan korban korban itu yang dipŭrsŭmbahkan pada tiap tiap tahun slalu bulih mŭnyampornakan orang yang datang kapadanya itu. Maka jikalau kiranya bulih, nŭschaya tiadalah dibŭrhŭntikan orang akan mŭmpŭrsŭmbahkan itu, kŭrna orang yang mŭnyŭmbahkan itu kalau skali sudah disuchikan, nŭchaya tiada bŭrangan angan dosa lagi. Akan tŭtapi korban korban itu, iya itu ada pŭringatan lagi dalamnya deri hal dosa pada tiap tiap tahun. Kŭrna mustahil adanya darah lŭmbu jantan atau kambing itu bulih mŭnghapuskan dosa. Maka sŭbab itu tŭtkala Isa masok kadalam dunia, katanya, Korban dan pŭrsŭmblihan itu tiadalah angkau kahandaki, mŭlainkan suatu tuboh angkau tŭlah sŭdiakan bagieku. Maka dalam pŭrsŭmbahan yang dibakar, dan korban yang kŭrna dosa itu tiadalah angkau relai. Sŭtlah itu jawabku, Bahwasanya aku ini datang, maka dalam gulongan kitab tŭlah tŭrtulis derihalku, akan bŭrbuat kahandakmu, ya Allah. Apabila iya bŭrkata yang tŭrsŭbut diatas itu, korban, dan pŭrsŭmbahan, dan pŭrsŭmbahan yang dibakar, dan pŭrsŭmbahan sŭbab dosa itu tiadalah angkau kahandaki, atau tiada rela akan dia, yang dipŭrsŭmbahkan ulih tauret. Sŭtlah itu jawabnya, Bahwasanya aku datang mŭmbuat kahandakmu, ya Allah. Iya mŭnolakkan yang pŭrtama itu, supaya iya mŭnŭtapkan yang kadua itu. Maka ulih kahandaknya itulah kami tŭlah disuchikan dŭngan bŭrkat pŭrsŭmbahan tuboh Isa Almasih skali gus sahja. Adapun tiap tiap imam itu iya bŭrdiri bŭrbuat ibadat sahari hari, dan mŭmpŭrsŭmbahkan korban korban srupa itu kŭrap kali, yang tiada skali kali bulih mŭnghapuskan dosa; Akan tŭtapi derihal imam ini, sŭtlah sudah iya mŭmpŭrsŭmbahkan suatu korban sŭbab dosa itu, maka dudoklah iya slama lamanya pada kanan Allah. Maka deripada waktu itulah dinantikannya sagala musoh musohnya itu mŭnjadi alas kakinya. Kŭrna dŭngan suatu pŭrsŭmbahan juga iya tŭlah mŭnyampornakan habis habis akan marika itu yang disuchikannya.

IBRANI 10:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Hukum hanya bayang-bayang perkara baik yang akan datang, bukan hakikat perkara itu sendiri. Dengan demikian hukum itu sekali-kali tidak akan dapat menyempurnakan orang yang mempersembahkan korban-korban yang demikian itu tahun demi tahun. Andainya dapat, tidakkah persembahan itu dihentikan? Sekiranya orang yang beribadat itu telah disucikan, mereka tidaklah berasa diri mereka berdosa lagi. Tetapi segala korban itu mengingatkan tentang adanya dosa setiap tahun. Tidaklah mungkin darah lembu jantan dan kambing dapat menghapuskan dosa. Oleh itu, apabila Kristus datang ke dunia, Dia berkata: “Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku. Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai. Kemudian Aku berkata, ‘Lihatlah, Aku telah datang — dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku — untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.’ ” Mula-mula Dia berkata, “Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai” (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum). Kemudian Dia berkata, “Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah.” Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua. Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Yesus Kristus, sekali untuk selama-lamanya. Setiap imam berdiri dan beribadat setiap hari serta mempersembahkan berkali-kali korban yang serupa, yang sampai bila-bila pun tidak akan dapat menghapuskan dosa. Tetapi Imam ini, setelah Dia mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa selama-lamanya, duduk di sebelah kanan Allah. Dari saat itu Dia menanti hingga musuh-musuh-Nya dijadikan alas kaki-Nya. Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami