HAGAI 2:1-23

HAGAI 2:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari kedua puluh satu bulan ketujuh pada tahun itu juga, TUHAN berfirman lagi melalui Nabi Hagai. TUHAN menyuruh Hagai menyampaikan perkhabaran berikut kepada Zerubabel, gabenor Yehuda itu, Imam Agung Yosua, dan rakyat, “Adakah sesiapa antara kamu yang masih ingat betapa cantiknya Rumah-Ku dahulu? Sekarang bagaimana keadaannya, menurut pendapat kamu? Mungkin kelihatannya tidak menarik sama sekali. Tetapi janganlah seorang pun putus asa! Teruskanlah pekerjaan itu, kerana Aku menyertai kamu. Ketika kamu keluar dari Mesir, Aku telah berjanji untuk selalu menyertai kamu. Sekarang pun Aku masih menyertai kamu. Oleh itu, kamu tidak perlu takut. Tidak lama lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, darat dan laut. Aku akan menggulingkan semua kerajaan dan harta benda mereka akan dibawa ke sini, sehingga Rumah-Ku akan penuh dengan kekayaan. Segala emas dan perak di dunia ini milik-Ku. Rumah-Ku yang baru akan lebih cantik daripada yang dahulu, dan di situlah Aku memberi umat-Ku kemakmuran dan kedamaian.” Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa. Pada hari kedua puluh empat bulan kesembilan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, TUHAN berfirman lagi kepada Nabi Hagai. TUHAN berfirman, “Mintalah keputusan para imam tentang persoalan ini: Seandainya ada orang yang mengambil sepotong daging daripada korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, lalu membawanya pulang di dalam lipatan jubahnya, kemudian jubahnya itu tersentuh roti atau sesuatu masakan, atau wain, atau minyak zaitun, atau makanan apa sahaja, adakah semua itu menjadi suci juga?” Ketika Hagai mengemukakan pertanyaan itu, para imam menjawab, “Tidak.” Kemudian Hagai bertanya lagi, “Seandainya ada orang yang menjadi najis kerana dia menyentuh mayat, kemudian dia menyentuh salah satu daripada makanan itu, adakah makanan itu menjadi najis pula?” Para imam menjawab, “Ya.” Kemudian Hagai berkata, “TUHAN berfirman bahawa peraturan itu berlaku juga kepada umat Israel di negeri ini dan pada segala sesuatu yang dihasilkan oleh mereka. Oleh itu, apa yang dipersembahkan mereka di atas mazbah ini, menjadi najis.” TUHAN berfirman, “Perhatikanlah apa yang telah berlaku sebelum hari ini, pada masa Rumah-Ku belum diperbaiki! Bagaimanakah keadaan kamu pada masa itu? Kamu pergi melihat timbunan gandum dan menyangka akan mendapat 200 kilogram gandum, tetapi ternyata ada 100 kilogram sahaja. Kamu telah pergi mencedok 100 liter wain dari tong wain, tetapi yang ada hanya 40 liter. Aku sudah mendatangkan angin panas dan menurunkan hujan batu untuk menghancurkan segala hasil ladang kamu, tetapi kamu masih tidak mahu kembali kepada-Ku. Pada hari ini, hari kedua puluh empat bulan kesembilan, batu asas Rumah-Ku selesai diletakkan. Perhatikanlah apa yang akan berlaku mulai sekarang. Meskipun tiada lagi gandum yang tinggal, dan pokok anggur, pokok ara, pokok delima, serta pokok zaitun belum berbuah, tetapi mulai sekarang Aku akan memberkati kamu!” Pada hari itu juga, hari kedua puluh empat bulan kesembilan, TUHAN memberikan perkhabaran yang kedua kepada Hagai, untuk disampaikan kepada Zerubabel, gabenor Yehuda. TUHAN berfirman, “Tidak lama lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, menjatuhkan kerajaan, dan menghancurkan kuasa mereka. Aku akan menunggangbalikkan kereta-kereta kuda dengan pengemudinya; semua kuda akan mati dan penunggang-penunggangnya akan saling membunuh. Pada hari itu, hai Zerubabel, hamba-Ku, Aku akan melantik engkau untuk memerintah demi nama-Ku, kerana engkaulah yang sudah Aku pilih.” Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa.

HAGAI 2:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari kedua puluh satu dalam bulan ketujuh itu, datanglah firman TUHAN dengan perantaraan Nabi Hagai: “Katakanlah begini kepada pembesar Yehuda, Zerubabel anak Sealtiel, dan kepada imam besar, Yosua anak Yozadak, dan kepada warga bangsa itu yang selebihnya: Adakah antara kamu yang pernah melihat Bait ini dalam kemegahannya yang terdahulu? Pada pandangan kamu, bagaimanakah keadaannya sekarang? Bukankah di matamu, keadaannya sekarang langsung tidak bererti sebagaimana keadaan terdahulunya? Namun begitu, kuatkanlah hatimu, wahai Zerubabel, demikianlah firman TUHAN; kuatkanlah hatimu, wahai Yosua anak Yozadak, imam besar; kuatkanlah hatimu, wahai semua warga negeri sekalian, demikianlah firman TUHAN; berusahalah, kerana Aku menyertai kamu, demikianlah firman TUHAN alam semesta. Ini sejajar dengan ikatan perjanjian Aku dengan kamu sewaktu kamu keluar dari Mesir. Maka Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut! Sebabnya beginilah firman TUHAN alam semesta: Sekali lagi, dalam sedikit waktu lagi, Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, laut dan darat. Aku akan menggoncangkan segala bangsa, sehingga akan datang mengalir keinginan segala bangsa, maka akan Kupenuhi Bait ini dengan kemegahan, firman TUHAN alam semesta. Perak itu milik-Ku dan emas itu milik-Ku, demikianlah firman TUHAN alam semesta. Adapun bagi Bait ini, kemegahannya yang kemudian akan melebihi kemegahan terdahulunya, firman TUHAN alam semesta, dan di tempat ini akan Kuberikan damai sejahtera, demikianlah firman TUHAN alam semesta.” Pada hari kedua puluh empat dalam bulan kesembilan sewaktu tahun kedua pemerintahan Raja Darius, datanglah firman TUHAN seperti yang berikut kepada Nabi Hagai: “Beginilah firman TUHAN alam semesta: Tanyakan para imam apakah peraturannya. Jika seseorang membawa daging suci dalam lipatan bajunya, lalu lipatan itu pula menyentuh roti atau sesuatu masakan atau air anggur atau minyak atau sesuatu barang makanan, apakah suci jadinya barang yang disentuh itu?” Lalu para imam itu menjawab, kata mereka: “Tidak!” Berkatalah pula Hagai: “Jika seseorang yang terkena najis daripada mayat menyentuh semua barang yang tersebut itu, adakah menjadi najis barang yang disentuh itu?” Lalu para imam itu menjawab, kata mereka: “Tentunya menjadi najis semuanya.” Maka berbicaralah Hagai, katanya: “Begitu jugalah dengan umat ini dan dengan bangsa di hadapan-Ku ini, demikianlah firman TUHAN, dan begitu jugalah halnya segala yang dibuat tangan mereka; dan apa yang dipersembahkan mereka di sana ialah najis belaka.” “Maka sekarang, perhatikanlah bagaimana keadaan kamu mulai hari ini dan selanjutnya sebelum orang meletakkan batu demi batu untuk pembinaan Bait TUHAN! Semenjak itu dan seterusnya, satu timbunan hasil bijirin yang seharusnya sebanyak dua puluh sukatan, hanya ada sepuluh; dan ketika seseorang ke tempat pemerasan anggur untuk mencedok lima puluh sukatan air anggur, hanya ada dua puluh sukatan. Aku timpakan petaka ke atas segala daya usaha kamu, iaitu bala penyakit bijirin dan melalui hujan batu; namun kamu tidak berbalik berdoa memohon bantuan-Ku, demikianlah firman TUHAN. Perhatikanlah mulai hari ini dan selanjutnya iaitu dari hari kedua puluh empat bulan kesembilan, mulai hari peletakan asas Bait TUHAN ini, perhatikanlah. Adakah benih semaian masih tersimpan di dalam bangsal? Ya, setakat ini pokok anggur dan pokok ara, pokok delima dan pokok zaitun belum lagi mengeluarkan buah. Namun bermula dari hari ini, Aku akan memberkati kamu!” Maka datanglah firman TUHAN buat kali keduanya kepada Hagai pada hari kedua puluh empat dalam bulan itu yang berbunyi: “Katakanlah begini kepada Zerubabel, pembesar Yehuda: Aku akan menggoncangkan langit dan bumi. Dan Aku akan menggulingkan raja-raja dari takhta mereka; Aku akan memusnahkan kekuasaan kerajaan bangsa-bangsa dan akan menterbalikkan rata dan pengendalinya; kuda dan pengendalinya akan rebah dan mati, masing-masing oleh pedang temannya. Pada waktu itu, demikianlah firman TUHAN alam semesta, Aku akan mengambil engkau, wahai Zerubabel anak Sealtiel, hamba-Ku, demikianlah firman TUHAN, dan akan menjadikan engkau seperti cincin mohor; kerana Aku telah memilih kamu, demikianlah firman TUHAN alam semesta.”