HAGAI 1:1-15

HAGAI 1:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada tahun kedua pemerintahan Darius sebagai raja Persia, pada hari pertama bulan keenam, TUHAN berfirman melalui Nabi Hagai. Perkhabaran TUHAN itu ditujukan kepada Zerubabel anak Sealtiel, gabenor Yehuda, dan juga kepada Imam Agung Yosua anak Yozadak. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada Hagai, “Bangsa ini berkata bahawa belum masanya untuk membina semula Rumah-Ku.” Kemudian dengan perantaraan Nabi Hagai, TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Hai umat-Ku, mengapa kamu tinggal di dalam rumah mewah, sedangkan Rumah-Ku masih reruntuhan? Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kamu! Kamu sudah menabur banyak benih, namun tuaian kamu sedikit. Kamu mempunyai makanan, tetapi tidak cukup untuk mengenyangkan kamu. Kamu mempunyai wain, tetapi tidak cukup untuk memuaskan hati. Kamu mempunyai pakaian, tetapi tidak cukup untuk memanaskan badan. Upah yang diterima kaum buruh tidak cukup untuk menyara hidup mereka. Tidakkah kamu sedar mengapa segala perkara itu berlaku? Sekarang, naiklah ke bukit-bukit untuk mengambil kayu balak, lalu binalah semula Rumah-Ku. Maka Aku akan berkenan kepada kamu, dan Aku akan disembah lagi dengan cara yang sepatutnya. Kamu mengharapkan tuaian banyak, tetapi yang kamu dapat sedikit sekali. Apabila kamu membawa tuaian itu pulang, Aku meniupnya sehingga habis dibawa angin. Mengapa Aku melakukan hal itu? Aku melakukannya kerana Rumah-Ku masih reruntuhan, sedangkan kamu semua sibuk membina rumah masing-masing. Itulah sebabnya hujan tidak turun sehingga tiada tanaman yang dapat tumbuh. Aku sudah mendatangkan kemarau ke negeri ini sehingga bukit, ladang gandum, ladang anggur, kebun zaitun dan segala tumbuhan di negeri ini menjadi kering. Manusia, haiwan, dan segala tanaman kamu ditimpa kemarau.” Kemudian Zerubabel dan Yosua serta segenap umat Israel yang sudah kembali dari pembuangan di Babilonia, mentaati kata-kata Nabi Hagai, utusan TUHAN itu. Mereka melakukan apa yang diperintahkan TUHAN kepada mereka, kerana mereka takut akan TUHAN. Kemudian Hagai menyampaikan firman TUHAN kepada mereka bahawa TUHAN sudah berjanji akan menyertai mereka. Demikianlah TUHAN menggerakkan hati Zerubabel, gabenor Yehuda itu, Imam Agung Yosua, dan semua orang yang sudah kembali dari pembuangan supaya membina Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah mereka. Mereka mula bekerja pada hari kedua puluh empat bulan keenam dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius.

HAGAI 1:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari pertama bulan keenam dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, datanglah firman TUHAN menerusi Nabi Hagai sebagai perantaraan kepada pembesar negeri Yehuda iaitu Zerubabel anak Sealtiel, dan kepada imam besar iaitu Yosua anak Yozadak seperti begini: “Beginilah firman TUHAN alam semesta: Bangsa ini berkata: Sekarang belum lagi waktu untuk membina semula Bait TUHAN!” Maka datanglah firman TUHAN dengan perantaraan Nabi Hagai: “Sudah tibakah waktunya kamu mendiami rumah-rumah yang berpapan dengan baik walhal Bait ini terus usang dan terbiar dalam kerosakan? Lalu, beginilah firman TUHAN alam semesta: Perhatikanlah keadaanmu! Kamu menabur banyak, tetapi hasil tuaianmu sedikit sahaja. Kamu makan namun tidak berasa kenyang, dan kamu minum, tetapi tidak berasa puas. Kamu berpakaian namun badanmu tidak terasa panas. Orang yang menerima upah pula menyimpan upahnya dalam karung yang berlubang-lubang! Beginilah firman TUHAN alam semesta: Perhatikanlah keadaanmu! Naiklah ke gunung, bawalah kayu dan bangunkan semula Bait itu; agar Aku bersukacita dengannya dan Aku dimuliakan, firman TUHAN. Kamu mengharapkan banyak, tetapi lihatlah betapa sedikit sahaja hasilnya. Ketika kamu membawanya ke rumah, Aku yang menghembuskannya. Mengapa? Demikianlah firman TUHAN alam semesta. Sebabnya bait-Ku terus usang dan terbiar dalam kerosakan, walhal kamu sibuk menguruskan rumah masing-masing. Oleh itu, langit menahan pengeluaran embunnya dan bumi menahan hasilnya. Aku mengundang kemarau untuk melanda ke atas negeri, ke atas pergunungan, ke atas hasil bijirin, ke atas air anggur baru, ke atas minyak, ke atas segala yang dihasilkan oleh tanah, ke atas manusia dan haiwan dan ke atas segala daya usaha dan hasil kerja kamu.” Lalu Zerubabel anak Sealtiel dan Yosua anak Yozadak, imam besar, dan semua saki-baki umat bangsa itu mematuhi seruan TUHAN, Allah mereka, dan juga perkhabaran Nabi Hagai, sebagaimana beliau diutus serta diperintahkan oleh TUHAN, Allah mereka; dan bangsa itu pun takut kepada TUHAN. Maka berkatalah Hagai, utusan TUHAN itu yang menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada bangsa itu, yang berbunyi: “Aku menyertai kamu, demikianlah firman TUHAN.” Lalu TUHAN mendorong semangat pembesar Yehuda iaitu Zerubabel anak Sealtiel, dan imam besar iaitu Yosua anak Yozadak, dan semangat seluruh saki-baki umat bangsa itu. Seterusnya mereka pun pergi untuk bekerja menyempurnakan Bait TUHAN alam semesta, Allah mereka, pada hari kedua puluh empat dalam bulan keenam sewaktu tahun kedua pemerintahan Raja Darius.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami