HABAKUK 3:13-19
HABAKUK 3:13-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Engkau keluar untuk menyelamatkan umat-Mu, untuk menyelamatkan raja pilihan-Mu. Engkau menjatuhkan pemimpin orang jahat, dan memusnahkan semua pengikutnya. Anak panah-Mu menembusi panglima tenteranya, apabila tenteranya datang seperti angin ribut untuk menyebabkan kami lari bertempiaran. Mereka berasa seronok seperti orang yang dengan sembunyi-sembunyi menindas orang miskin. Engkau memijak-mijak lautan dengan kuda-Mu, lalu air laut yang bergelora membuih. Aku mendengar semuanya itu dan aku gementar; bibirku bergetar kerana aku ketakutan. Tubuhku lemah tidak bermaya, kakiku tersandung ketika berjalan. Dengan tenang aku akan menanti waktunya Engkau menghukum orang yang menyerang kita. Walaupun pokok ara tidak berbunga, dan pokok anggur tidak berbuah, walaupun hasil pokok zaitun menyedihkan, dan ladang gandum mengecewakan, walaupun domba mati semuanya, dan kandang lembu kosong belaka, aku akan bersukacita dan bergembira selalu, kerana Engkau TUHAN Allah yang menyelamatkan aku. Engkaulah TUHAN Raja yang memberi aku kekuatan, seperti kaki rusa, kakiku Engkau kukuhkan, dan keselamatanku Engkau jaga di pergunungan.
HABAKUK 3:13-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Engkau maju untuk menyelamatkan umat-Mu, untuk menyelamatkan orang yang Kaulantik. Engkau meremukkan bumbung rumah orang fasiq dan membongkar dasarnya sampai bahagian teratasnya. Sela Engkau menikam ketua pasukannya dengan tombaknya sendiri. Mereka datang seperti badai untuk mencerai-beraikan kami, yang bergembira seolah-olah hendak melahap orang yang tertindas secara tersembunyi. Dengan kuda-kuda-Mu Engkau menginjak laut, maka membuihlah limpahan air itu. Ketika aku mendengarnya, gementarlah jiwa ragaku, bergetar bibirku mendengar bunyinya. Kereputan menulari seluruh anggotaku tewas kakiku lalu kurebah di tempatku. Namun dengan tenang akan kunantikan hari kesesakan, yang akan mendatangi bangsa yang bergerombol menyerang kami. Sekalipun pokok ara tidak berbunga dan pokok anggur tidak berbuah, biarpun hasil pokok zaitun mengecewakan dan ladang tidak menghasilkan bahan makanan, sekalipun domba ghaib daripada kurungannya dan tidak ada lembu di dalam kandang, aku akan bersuka ria kerana TUHAN dan bergembira kerana Allah yang menyelamatkan aku. ALLAH Tuhan kekuatanku. Dia membuat kakiku melangkah seperti kaki rusa, dan melancarkan jejakku di tempat-tempatku yang tinggi. (Untuk pemimpin biduan dengan alat muzik bertali).