HABAKUK 2:4-20

HABAKUK 2:4-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah perkhabaran itu: ‘Orang yang melakukan kejahatan akan binasa, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan hidup kerana mereka setia kepada Allah.’ ” Kekayaan menipu orang. Orang yang tamak itu angkuh dan gelisah. Seperti maut, mereka juga tidak pernah puas. Itulah sebabnya mereka menaklukkan bangsa demi bangsa. Penakluk akan dicemuh dan dihina oleh orang yang ditakluk. Mereka akan berkata, “Malanglah kamu kerana mengambil barang yang bukan milik kamu! Berapa lama lagi kamu memperkaya diri dengan memaksa orang yang berhutang kepada kamu untuk membayar hutang?” Tetapi tanpa kamu sedari, kamu yang telah menaklukkan orang lain akan berhutang juga dan dipaksa untuk membayar faedah. Musuh akan datang dan menyebabkan kamu gementar ketakutan. Mereka akan merampas harta kamu! Kamu telah merampas harta banyak bangsa. Tetapi kini bangsa-bangsa yang terselamat akan merampas harta kamu kerana pembunuhan yang telah kamu lakukan dan kerana kekejaman kamu terhadap penduduk dunia serta kota-kota di dunia. Malang menimpa kamu! Kamu memperkaya keluarga kamu dengan apa yang kamu peroleh dengan keganasan. Kamu telah membina rumah yang selamat untuk melindungi keluarga kamu daripada malapetaka. Tetapi rancangan kamu itu mempermalukan keluarga kamu; dengan memusnahkan banyak bangsa, kamu mendatangkan kehancuran diri sendiri. Bahkan batu-batu tembok pun berteriak menyalahkan kamu dan kasau-kasau menggemakan teriakan itu. Malang menimpa kamu kerana kamu mendirikan kota yang berasaskan kejahatan dan membinanya dengan pembunuhan. Bangsa-bangsa yang kamu taklukkan menghabiskan tenaga dengan sia-sia; segala sesuatu yang dibina oleh mereka habis dimakan api. TUHAN Yang Maha Kuasa telah melakukan hal ini. Tetapi sebagaimana lautan penuh dengan air, demikianlah bumi pun akan penuh dengan orang yang mengenal TUHAN dan kuasa-Nya. Malang menimpa kamu kerana dengan berang kamu menghina dan mempermalukan jiran-jiran kamu; kamu menyebabkan mereka terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Sekarang tibalah giliran kamu untuk dipermalukan dan bukan untuk dihormati. Kehormatan kamu akan berubah menjadi kehinaan. TUHAN akan memaksa kamu minum dari cawan yang berisi hukuman; kamu akan meminumnya dan terhuyung-hayang. Kamu menebang pokok-pokok di hutan Lebanon, tetapi sekarang kamu sendiri akan ditebang. Kamu membunuh binatang di situ, tetapi sekarang binatang akan menakutkan kamu. Semuanya ini berlaku kerana pembunuhan dan keganasan yang telah kamu lakukan terhadap penduduk dunia serta kota-kota di dunia. Apakah gunanya berhala? Berhala hanya buatan manusia dan yang kamu dapat daripadanya hanya dusta belaka. Apakah keuntungan yang diperoleh pembuat berhala dengan berhala? Berhala tidak dapat bercakap! Malang menimpa kamu kerana kamu berkata kepada sepotong kayu, “Bangunlah!” atau kepada sebuah batu besar, “Bangkitlah!” Dapatkah berhala menyatakan sesuatu kepadamu? Mungkin berhala dilapisi perak dan emas, tetapi berhala itu tidak bernyawa. TUHAN ada di dalam Rumah-Nya yang suci; hendaklah setiap orang di bumi berdiam diri di hadirat-Nya.

HABAKUK 2:4-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesungguhnya, orang yang meninggikan diri tidak lurus hatinya, tetapi orang benar akan hidup dengan imannya. Apatah lagi khianat memang sifat air anggur, si sombong yang tidak pernah tenang. Besar sungguh nafsu serakahnya bak alam kubur, bak maut yang tidak kenyang-kenyang, yang terus mengumpulkan dan menghimpunkan segala bangsa dan suku bangsa.” Bukankah kesemua itu akan mengejeknya dengan ibarat dan teka-teki cemuhan terhadapnya yang berbunyi, ‘Malangnya orang yang memperkaya diri dengan apa-apa yang bukan miliknya dan yang membebankan diri dengan barang gadaian! Berapa lama lagikah sedemikian?’ Bukankah dalam sekejap mata akan bangkit para pemiutang yang menggigit engkau dan akan terjaga kalangan yang membuat engkau gementar? Engkau akan menjadi jarahan bagi mereka! Atas engkau yang telah menjarah banyak bangsa, segala suku bangsa yang tersisa akan menjarah engkau, atas sebab darah manusia yang tertumpah itu dan lantaran keganasan terhadap negeri, kota, dan seluruh penduduknya itu. Malangnya dia yang mengejar laba haram bagi isi rumahnya! Orang itu bermaksud meninggikan kedudukan sarangnya agar terlepas daripada jangkauan malapetaka. Engkau telah menetapkan keaiban atas isi rumahmu dengan memangkas banyak suku bangsa. Engkau telah berdosa terhadap dirimu sendiri. Batu daripada tembok akan berseru-seru dan alang daripada rangka rumah akan menyahut jawapannya. Malangnya orang yang mendirikan kota dengan penumpahan darah dan yang mengasaskan kota berdasarkan kezaliman! Sesungguhnya, bukankah atas penentuan TUHAN alam semesta, bahawa bangsa-bangsa melelahkan diri untuk sesuatu yang akan dimakan api sahaja dan suku-suku bangsa meletihkan diri untuk sesuatu yang sia-sia sahaja? Sememangnya bumi akan dipenuhi dengan pengetahuan tentang kemuliaan TUHAN seperti air meliputi lautan. Malangnya orang yang memberikan sesamanya minuman bercampur bisa amarah demi memabukkan dia agar dapat melihat auratnya! Engkau akan kenyang dengan keaiban yang menggantikan kehormatan. Minumlah juga engkau dan jadilah seperti orang yang tidak bersunat! Cawan di tangan kanan TUHAN akan beralih kepadamu dan aib besar akan menimpa kehormatanmu. Keganasan yang dilakukan terhadap Lebanon akan meliputi engkau dan pemusnahan binatang-binatang akan mengejutkan engkau, kerana darah manusia yang tertumpah itu dan kerana keganasan terhadap bumi, kota, dan seluruh penduduknya itu. Apa faedahnya berhala walhal si pembentuknya yang mengukirnya atau patung tuangan yang mengajarkan dusta itu? Pembentuknya percaya kepada barang yang dibentuknya sendiri, padahal yang dibuatnya hanyalah berhala-berhala yang bisu. Malangnya orang yang berkata kepada kayu, “Bangkitlah!” atau kepada batu bisu, “Bertindaklah!” Itukah pengajaranmu? Lihat, benda itu hanya bersalut emas dan perak. Tidak ada roh sama sekali di dalamnya! Tetapi TUHAN hadir di dalam Bait-Nya yang suci. Biarlah seluruh bumi berdiam diri di hadirat-Nya!