KEJADIAN 7:13-24

KEJADIAN 7:13-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari itu juga, Nuh berserta anak-anaknya, iaitu Sem, Ham, dan Yafet, juga isterinya dan ketiga-tiga orang menantu perempuannya, masuk ke dalam bahtera. Mereka diiringi segala jenis makhluk yang hidup mengikut jenisnya yakni segala jenis haiwan liar dan haiwan ternakan, segala jenis binatang melata yang merayap di bumi, dan segala jenis burung, iaitu segala unggas yang bersayap. Kesemuanya, daripada segala makhluk hidup yang bernyawa, berpasang-pasangan datang kepada Nuh dan masuk ke dalam bahtera. Semua yang masuk ke dalam bahtera itu ialah jantan dan betina seperti yang diperintahkan Allah kepada Nuh. Kemudian TUHAN menutup pintu bahtera itu setelah Nuh masuk. Empat puluh hari lamanya banjir melanda bumi dan air itu terus naik sehingga mengangkat bahtera itu tinggi dari bumi. Air semakin tinggi dan melonjak di atas bumi, dan bahtera itu pun terapung-apung di permukaan air. Begitu kuatnya pelimpahan air di muka bumi sehingga mengatasi gunung-ganang yang tinggi yang ada lantas tertutuplah seluruh kolong langit. Air itu terus berlimpahan hingga melitupi lima belas hasta di atas segala gunung. Maka tamatlah hayat semua makhluk yang bergerak di muka bumi iaitu burung-burung, haiwan ternakan, binatang liar, segala kawanan binatang kecil di bumi serta semua manusia. Matilah semua yang ada di darat, iaitu semua yang bernafas dengan hidungnya. Begitulah bagaimana TUHAN menghapuskan segala makhluk hidup yang ada di muka bumi, baik manusia, haiwan, binatang yang melata, mahupun burung-burung iaitu makhluk di udara. Kesemuanya dihapuskan dari muka bumi. Hanya Nuh serta semua yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu selamat. Jadi, selama 150 hari banjir berleluasa di muka bumi.