KEJADIAN 6:1-8
KEJADIAN 6:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila manusia sudah bertambah banyak sehingga tercerai-cerai di seluruh dunia, dan anak-anak perempuan dilahirkan, makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik. Makhluk-makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka. Kemudian TUHAN berfirman, “Aku tidak membenarkan manusia hidup selama-lamanya; mereka makhluk fana yang harus mati. Mulai sekarang umur mereka tidak akan lebih daripada 120 tahun.” Pada zaman itu, dan juga selepas zaman itu, ada raksasa di bumi. Mereka keturunan gadis-gadis manusia yang berkahwin dengan makhluk-makhluk ilahi. Raksasa-raksasa itu pahlawan handalan dan termasyhur pada zaman dahulu kala. TUHAN nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan. Oleh itu TUHAN menyesal kerana sudah menjadikan manusia dan menempatkan mereka di bumi. TUHAN begitu kecewa sehingga Dia berfirman, “Aku akan membinasakan manusia yang sudah Kuciptakan itu, dan juga semua binatang serta burung, kerana Aku menyesal menciptakan semuanya.” Tetapi Nuh menyenangkan hati TUHAN.
KEJADIAN 6:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika manusia mula menjadi semakin ramai di muka bumi, dan mereka melahirkan anak-anak perempuan, anak-anak Allah melihat betapa elok paras rupa anak perempuan manusia itu. Lalu mereka memperisteri sesiapa sahaja perempuan yang dipilih mereka. Maka TUHAN berfirman, “Roh-Ku tidak selama-lamanya akan menyertai manusia yang fana fitrahnya. Umur mereka akan cuma 120 tahun sahaja.” Orang Nefilim juga menghuni bumi pada zaman itu, dan juga pada zaman sesudahnya, iaitu ketika anak-anak Allah meniduri anak perempuan manusia yang seterusnya melahirkan anak untuk para manusia itu. Golongan manusia itulah para wira gagah perkasa pada zaman purba yang termasyhur nama mereka. Namun begitu, TUHAN melihat kejahatan manusia besar di bumi, dan segala hasrat dan kecenderungan hati mereka sentiasa tertumpu pada kejahatan sahaja. Maka menyesallah TUHAN kerana Dia telah menjadikan manusia di bumi dan hal itu mendukakan hati-Nya. Berfirmanlah TUHAN, “Aku akan menghapuskan manusia yang telah Kuciptakan itu dari muka bumi — manusia dan juga haiwan, termasuk haiwan yang melata, dan burung-burung di udara — kerana hati-Ku kesal bahawa Aku telah menjadikan kesemuanya.” Tetapi Nuh mendapat rahmat di mata TUHAN.