KEJADIAN 50:1-20

KEJADIAN 50:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Yusuf merebahkan diri ke atas badan bapanya sambil menangis dan mencium muka bapanya. Kemudian Yusuf memberikan perintah kepada pakar pengawet jenazah untuk mengawet jenazah Yakub. Pengawetan itu memakan masa empat puluh hari, masa yang diperlukan untuk mengawetkan jenazah. Orang Mesir berkabung bagi Yakub selama tujuh puluh hari. Apabila selesai masa berkabung, Yusuf berkata kepada para pegawai raja, “Sampaikanlah pesan ini kepada raja. ‘Ketika bapa hamba hampir meninggal, beliau menyuruh hamba berjanji mengebumikan beliau di dalam kubur yang sudah disediakannya di tanah Kanaan. Oleh sebab itu, benarkanlah hamba pergi untuk mengebumikan bapa hamba. Selepas itu hamba akan kembali.’ ” Oleh itu raja bertitah, “Pergilah kebumikan bapamu seperti yang kamu janjikan.” Kemudian Yusuf pergi untuk mengebumikan bapanya. Semua pegawai raja, orang atasan istana dan semua pembesar Mesir, pergi bersama dengan Yusuf. Keluarganya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya yang lain pergi juga. Hanya anak-anak kecil dan ternakan mereka ditinggalkan di daerah Gosyen. Orang yang berkereta kuda dan berkuda juga ikut, sehingga kumpulan mereka sangat besar. Apabila mereka sampai di tempat orang mengirik gandum di Atad, di sebelah timur Sungai Yordan, mereka meratap dengan sedih dan nyaring. Yusuf mengadakan upacara perkabungan selama tujuh hari. Apabila penduduk Kanaan melihat perkabungan di Atad, mereka berkata, “Betapa pilunya upacara perkabungan orang Mesir!” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Abel-Mizraim. Demikianlah anak-anak lelaki Yakub melakukan apa yang dipesankan Yakub kepada mereka. Mereka membawa jenazah Yakub ke Kanaan dan mengebumikannya di dalam gua Makhpela, di sebelah timur Mamre, di ladang yang dibeli oleh Abraham daripada Efron orang Het, untuk dijadikan tanah perkuburan. Selepas Yusuf mengebumikan bapanya, dia kembali ke Mesir bersama dengan saudara-saudaranya, dan semua orang yang mengikuti dia untuk pengebumian bapanya. Setelah bapa mereka meninggal, saudara-saudara Yusuf berkata, “Bagaimanakah sekiranya Yusuf masih berdendam dan mahu membalas kejahatan kita dahulu?” Oleh itu mereka mengirim pesan ini kepada Yusuf, “Sebelum bapa kita meninggal, dia menyuruh kami mengatakan hal ini kepadamu, ‘Ampunkanlah kesalahan yang dahulu dilakukan saudara-saudaramu terhadapmu.’ Oleh itu, sebagai hamba-hamba Allah yang disembah oleh bapa kita, kami mohon, ampunkanlah kesalahan yang sudah kami lakukan.” Yusuf menangis ketika menerima pesan itu. Kemudian saudara-saudaranya sendiri datang dan sujud di hadapannya. Mereka berkata, “Kami ini hamba tuan.” Tetapi Yusuf berkata kepada mereka, “Jangan takut, kerana aku tidak dapat bertindak sebagai Allah. Kamu sudah bermuafakat untuk melakukan kejahatan kepadaku, tetapi Allah mengubah kejahatan itu menjadi kebaikan, supaya banyak orang dapat diselamatkan seperti yang terbukti sekarang.

KEJADIAN 50:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Yusuf mendakap kepala ayahnya lalu menangisinya dan menciuminya. Yusuf memerintahkan para tabib bawah perkhidmatannya untuk mengawet dan mengabadikan jenazah ayahnya. Maka para tabib itu pun mengawet dan mengabadikan jenazah Israel iaitu Yakub. Mereka menyempurnakan pengawetan jenazah itu dalam masa sepenuhnya untuk pengawetan iaitu selama empat puluh hari. Lalu warga Mesir berkabung selama tujuh puluh hari. Setelah berakhir tempoh perkabungan, berkatalah Yusuf kepada seisi istana Firaun, “Jika kamu semua berkenan menolongku, tolong sampaikan kepada Firaun demikian, ‘Ayah hamba telah menyuruh hamba bersumpah, katanya, “Sesungguhnya, ajalku hampir tiba. Kamu harus memakamkan aku di dalam makam yang kugali sendiri di Tanah Kanaan.” Maka sekarang izinkanlah hamba pergi memakamkan ayah hamba, selepas itu hamba akan kembali.’ ” Kata Firaun, “Pergilah, makamkanlah ayahmu menurut apa yang disuruhnya kamu bersumpah.” Maka pergilah Yusuf untuk memakamkan ayahnya. Seluruh pegawai Firaun pergi menyertainya, iaitu para pegawai kanan istana Firaun dan semua golongan ketua di Tanah Mesir, dan begitu jugalah seisi rumah Yusuf, para saudaranya, dan anggota keluarga ayahnya. Yang ditinggalkan mereka di Tanah Gosyen hanyalah kalangan kanak-kanak kecil serta semua kawanan ternakan mereka. Pasukan rata serta pasukan berkuda juga pergi bersama-sama sehingga tersangat besarlah rombongan itu. Apabila mereka tiba di tempat pembantingan Atad, yang terletak di seberang Sungai Yordan, merataplah mereka dengan suara yang kuat lagi memilukan. Lalu Yusuf menetapkan tujuh hari perkabungan untuk ayahnya. Apabila penduduk negeri itu, iaitu bani Kanaan melihat perkabungan di tempat pembantingan Atad itu, berkatalah mereka, “Ini perkabungan yang besar bagi orang Mesir.” Itulah sebabnya tempat di seberang Yordan itu dinamai Abel-Mizraim. Para anak Yakub melaksanakan apa yang dipesan oleh Yakub kepada mereka. Mereka mengangkat jenazahnya ke Tanah Kanaan lalu memakamkannya di dalam gua di ladang Makhpela, di sebelah timur Mamre, yang sekali gus dengan ladangnya dibeli oleh Abraham daripada bani Het iaitu Efron, untuk dijadikan pemakaman persendirian keluarganya. Setelah ayahnya dimakamkan, pulanglah Yusuf ke Mesir bersama-sama para saudaranya dan kesemua orang yang turut serta dalam upacara pemakaman ayahnya. Saudara-saudara Yusuf sedar bahawa ayah mereka telah meninggal. Lalu berkatalah mereka, “Mungkin Yusuf berdendam terhadap kita dan akan membalas sepenuhnya semua kejahatan yang kita lakukan terhadapnya.” Maka mereka menyuruh orang menemui Yusuf dengan pesan, “Sebelum ayah tuan meninggal, dia berpesan, ‘Beginilah harus kamu katakan kepada Yusuf: Ampunilah segala kesalahan dan dosa para saudaramu yang pernah berbuat jahat terhadapmu.’ Jadi, sekarang ampunkanlah kesalahan hamba-hamba Allah ayahmu.” Ketika Yusuf mendengar pesan itu, dia pun menangis. Kemudian datanglah para saudaranya lalu mereka sujud memberi hormat di hadapannya. Kata mereka, “Kami datang untuk menjadi hamba tuan.” Tetapi kata Yusuf kepada mereka, “Jangan takut. Adakah diri aku ini Allah? Memang dahulu kamu berniat melakukan kejahatan terhadapku, tetapi Allah memaksudkan perbuatan kamu untuk tujuan yang baik sehingga wujud apa yang terjadi sehingga hari ini, iaitu dengan terpeliharanya kelangsungan hidup ramai manusia.