KEJADIAN 49:22-33

KEJADIAN 49:22-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Yusuf umpama keldai muda, keldai liar dekat mata air, berlari-lari di lereng gunung. Musuh menyerangnya dengan sengit, mengejarnya dengan busur dan panah. Tetapi lengan Yusuf tetap kuat, dan busurnya kukuh, kerana kekuatan Allah Yakub yang Berkuasa, Gembala dan Pelindung Israel. Allah bapamu menolong engkau; Allah Yang Maha Kuasa memberkati engkau dengan hujan dari langit dan air dari bawah tanah, dengan anak dan lembu, dengan gandum dan bunga, dengan gunung-gunung purba, dengan kekayaan dari bukit-bukit yang abadi. Semoga semua berkat itu dicurahkan di atas kepala Yusuf, dan pada dahinya. Dialah yang teristimewa di kalangan saudara-saudaranya. Benyamin bagaikan serigala yang ganas. Pada pagi hari dia menerkam mangsanya. Pada malam hari dia mencarik-cariknya.” Itulah dua belas suku Israel, dan kata-kata bapa mereka ketika dia memberkati setiap anak lelakinya dengan berkat yang sesuai bagi masing-masing. Kemudian Yakub berpesan kepada anak-anak lelakinya, “Sebentar lagi aku akan meninggal seperti nenek moyangku. Kebumikanlah aku di tempat mereka dikebumikan, di dalam gua di Makhpela, di sebelah timur Mamre, di tanah Kanaan. Abraham sudah membeli gua dan ladang di sekitarnya untuk dijadikan perkuburan, daripada Efron orang Het. Di situlah Abraham dan Sara serta Ishak dan Ribka dikebumikan. Di situ juga aku mengebumikan Lea. Ladang dan gua yang ada di situ sudah dibeli daripada orang Het. Kebumikanlah aku di situ.” Selepas Yakub memberikan pesannya kepada anak-anak lelakinya, dia berbaring lalu meninggal.

KEJADIAN 49:22-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yusuf bagai cabang yang sarat berbuah, cabang sarat berbuah dekat mata air yang ranting-rantingnya berjulai melintasi tembok. Para pemanah memberikan kesusahan kepadanya, memanahnya, dan menganiayainya. Namun demikian, busurnya terus tegap bertahan, dan lengan kedua-dua belah tangannya tetap mahir membidik, dengan tangan Yang Maha Perkasa, Allah Yakub, kerana Sang Gembala, Batu Pejal Israel, kerana Allah ayahmu, yang akan menolong kamu, dan kerana Yang Maha Kuasa, yang akan memberkatimu dengan berkat daripada langit di atas, dengan berkat daripada samudera yang terhampar di bawah, dengan berkat daripada payudara dan rahim. Berkat ayahmu melebihi berkat nenek moyangku, mengatasi batas bukit-bukit yang malar hidup. Kesemuanya akan turun ke atas kepala Yusuf, ke atas ubun-ubun orang yang teristimewa antara saudaranya. Benyamin bagai seekor serigala yang rakus, pada pagi hari dia memakan mangsanya, dan pada petang hari dia membahagi-bahagikan hasil penjarahannya.” Itulah kesemua suku Israel, jumlahnya dua belas, dan itulah yang dikatakan ayah mereka kepada mereka ketika dia mendoakan keberkatan bagi mereka, iaitu berkat yang khusus dan sewajarnya bagi setiap orang. Setelah itu berpesanlah Yakub kepada mereka, “Tidak lama lagi aku akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurku. Makamkanlah aku di sisi nenek moyangku di dalam gua di ladang Efron, bani Het itu, iaitu gua di ladang Makhpela, sebelah timur Mamre, di Tanah Kanaan. Gua itu dibeli oleh Abraham sekali gus dengan ladangnya daripada Efron, bani Het, untuk dijadikan permakaman khusus miliknya. Di sanalah Abraham dan Sarah, isterinya dimakamkan, demikian pula Ishak dan Ribka isterinya. Di sana jugalah aku memakamkan Lea. Ladang dan gua yang ada di dalamnya sudah dibeli daripada bani Het.” Setelah Yakub selesai berpesan kepada anak-anaknya, dia pun menarikkan kedua-dua belah kakinya ke atas tempat tidur. Kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu terkumpullah dia bersama-sama para leluhurnya.