KEJADIAN 48:8-16
KEJADIAN 48:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Yakub nampak anak-anak lelaki Yusuf itu, dia bertanya, “Siapakah anak-anak ini?” Yusuf menjawab, “Inilah anak-anakku yang diberikan Allah kepadaku di sini, di Mesir.” Yakub berkata, “Bawalah mereka mendekati aku supaya aku memberkati mereka.” Yakub kabur mata kerana sudah tua, dan dia tidak dapat melihat dengan jelas. Yusuf mendekatkan anak-anak itu kepada Yakub, lalu Yakub memeluk dan mencium mereka. Kemudian Yakub berkata kepada Yusuf, “Aku tidak sangka dapat berjumpa dengan kamu lagi, tetapi kini Allah mengizinkan aku nampak anak-anakmu juga.” Selepas itu Yusuf mengambil mereka dari pangkuan Yakub, lalu Yusuf bersujud di hadapan bapanya. Kemudian Yusuf menempatkan anak-anaknya dekat Yakub. Efraim, yang bongsu ditempatkannya di sebelah kiri, dan Manasye yang sulung di sebelah kanan. Tetapi Yakub menyilangkan lengannya dan meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, sedangkan tangan kirinya diletakkannya di atas kepala Manasye. Kemudian Yakub memberkati Yusuf, “Semoga Allah yang disembah oleh nenek moyangku Abraham dan Ishak, memberkati anak-anak ini. Semoga Allah yang membimbing aku sampai sekarang, memberkati mereka. Semoga malaikat yang sudah melepaskan aku daripada segala bahaya, memberkati mereka. Semoga namaku dan nama nenek moyangku, Abraham dan Ishak tetap hidup kerana anak-anak ini! Semoga mereka mempunyai anak cucu dan keturunan yang banyak di bumi ini.”
KEJADIAN 48:8-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila Israel melihat anak Yusuf, dia bertanya, “Siapakah mereka ini?” Jawab Yusuf kepada ayahnya, “Inilah anakku, yang dikurniakan Allah kepadaku di sini.” Kata Yakub, “Bawalah mereka dekat denganku, supaya aku dapat mendoakan keberkatan bagi mereka.” Ketika itu, atas sebab usianya yang lanjut, penglihatan kedua-dua belah mata Israel sudah kabur. Jadi, dia tidak dapat melihat dengan jelas. Yusuf mendekatkan mereka kepada Yakub, lalu Yakub mencium serta memeluk mereka. Kata Israel kepada Yusuf, “Aku tidak menyangka aku akan melihat wajahmu lagi, tetapi kini Allah malah mengizinkan aku melihat keturunanmu.” Yusuf menarik mereka dari celah lutut Yakub, lalu dia bersujud memberi hormat. Lalu Yusuf memegang kedua-duanya. Efraim dipegang dengan tangan kanannya di sebelah kiri Israel, dan Manasye dipegang dengan tangan kirinya di sebelah kanan Israel. Lalu dia mendekatkan mereka dengan Yakub. Tetapi Israel menghulurkan tangan kanannya dan meletakkannya di atas kepala Efraim, anak yang bongsu, dan tangan kirinya di atas kepala Manasye. Dia sengaja menyilangkan tangannya meskipun Manasye anak yang sulung. Lalu dia mendoakan keberkatan bagi Yusuf, katanya, “Semoga Allah, yang di hadirat-Nya para bapa pendahuluku, Abraham dan Ishak, menjalani hidup mereka, Allah yang telah menjadi gembalaku sepanjang hidupku sampai hari ini, Malaikat yang telah menebus aku daripada segala yang jahat, memberkati para anak muda ini. Semoga namaku dan nama para bapa pendahuluku, Abraham dan Ishak, disebut-sebut oleh mereka. Semoga mereka bertambah ramai di bumi ini.”