KEJADIAN 48:14-22

KEJADIAN 48:13-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yusuf menempatkan anak-anaknya dekat Yakub. Efraim, yang bongsu ditempatkannya di sebelah kiri, dan Manasye yang sulung di sebelah kanan. Tetapi Yakub menyilangkan lengannya dan meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, sedangkan tangan kirinya diletakkannya di atas kepala Manasye. Kemudian Yakub memberkati Yusuf, “Semoga Allah yang disembah oleh nenek moyangku Abraham dan Ishak, memberkati anak-anak ini. Semoga Allah yang membimbing aku sampai sekarang, memberkati mereka. Semoga malaikat yang sudah melepaskan aku daripada segala bahaya, memberkati mereka. Semoga namaku dan nama nenek moyangku, Abraham dan Ishak tetap hidup kerana anak-anak ini! Semoga mereka mempunyai anak cucu dan keturunan yang banyak di bumi ini.” Yusuf tidak suka melihat bapanya meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, lalu dia memegang tangan bapanya untuk memindahkannya dari atas kepala Efraim ke atas kepala Manasye. Dia berkata kepada bapanya, “Jangan begitu, ayah. Inilah anak yang sulung; letakkanlah tangan kanan ayah ke atas kepalanya.” Tetapi bapanya membantah dan berkata, “Aku tahu, anakku, aku tahu. Manasye juga akan berkuasa dan keturunannya pun akan menjadi bangsa yang besar. Tetapi adiknya akan lebih berkuasa daripada dia, dan keturunan adiknya akan menjadi bangsa-bangsa yang besar.” Yakub memberkati anak-anak itu pada hari itu, katanya, “Orang Israel akan menyebut nama kamu apabila mereka memberkati orang. Mereka akan berkata, ‘Semoga Allah menjadikan kamu seperti Efraim dan Manasye.’ ” Dengan demikian Yakub mendahulukan Efraim daripada Manasye. Selepas itu Yakub berkata kepada Yusuf, “Lihatlah, tidak lama lagi aku akan menghembuskan nafas yang terakhir, tetapi Allah akan menyertai kamu dan membawa kamu kembali ke negeri nenek moyang kamu. Aku memberikan Sikhem kepadamu dan bukan kepada saudara-saudaramu; kawasan yang subur yang kurebut daripada orang Amori dengan pedang dan panahku.”

KEJADIAN 48:14-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tetapi Israel menghulurkan tangan kanannya dan meletakkannya di atas kepala Efraim, anak yang bongsu, dan tangan kirinya di atas kepala Manasye. Dia sengaja menyilangkan tangannya meskipun Manasye anak yang sulung. Lalu dia mendoakan keberkatan bagi Yusuf, katanya, “Semoga Allah, yang di hadirat-Nya para bapa pendahuluku, Abraham dan Ishak, menjalani hidup mereka, Allah yang telah menjadi gembalaku sepanjang hidupku sampai hari ini, Malaikat yang telah menebus aku daripada segala yang jahat, memberkati para anak muda ini. Semoga namaku dan nama para bapa pendahuluku, Abraham dan Ishak, disebut-sebut oleh mereka. Semoga mereka bertambah ramai di bumi ini.” Yusuf yang terlihat bahawa ayahnya meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, menganggap hal itu tidak baik. Lalu dia memegang tangan ayahnya untuk memindahkannya dari atas kepala Efraim ke atas kepala Manasye. Kata Yusuf kepada ayahnya, “Janganlah begitu, ayah, kerana Manasye inilah yang sulung. Letakkanlah tangan kanan ayah ke atas kepalanya.” Tetapi ayahnya menolak dan berkata, “Aku tahu, anakku, aku tahu. Dia juga akan kelak menjadi sebuah bangsa, dan dia juga akan menjadi besar. Meskipun begitu, adiknya akan menjadi lebih besar daripadanya dan keturunannya akan menjadi segolongan bangsa.” Lalu dia mendoakan keberkatan bagi mereka pada hari itu juga, katanya, “Dengan menyebut namamulah orang Israel akan saling memohonkan berkat, sedemikian, ‘Semoga Allah menjadikan kamu seperti Efraim dan seperti Manasye!’ ” Demikianlah Yakub menempatkan Efraim lebih dahulu daripada Manasye. Kemudian Israel berkata kepada Yusuf, “Ketahuilah, ajalku hampir tiba, tetapi Allah akan menyertai kamu dan membawa kamu kembali ke negeri nenek moyangmu. Untukmu kuberikan satu bahagian lebih besar daripada bahagian para saudaramu, iaitu lereng gunung yang telah kurebut daripada tangan bani Amori dengan pedangku dan panahku.”