KEJADIAN 47:2-12

KEJADIAN 47:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yusuf membawa lima orang daripada saudaranya, lalu menghadap raja. Yusuf berkata, “Bapa dan saudara-saudara hamba sudah datang bersama dengan kawanan kambing dan domba, lembu, dan segala kepunyaan mereka dari Kanaan. Sekarang mereka berada di daerah Gosyen.” Selepas itu, dia memperkenalkan saudara-saudaranya kepada raja. Raja bertanya kepada mereka, “Apakah pekerjaan kamu?” Mereka menjawab, “Hamba sekalian gembala ternakan seperti nenek moyang hamba sekalian. Hamba semua datang untuk tinggal di negeri ini kerana kebuluran di tanah Kanaan terlalu dahsyat, sehingga tiada lagi rumput untuk ternakan. Benarkanlah hamba sekalian tinggal di daerah Gosyen.” Lalu raja bertitah kepada Yusuf, “Sekarang bapa dan saudara-saudaramu telah tiba di sini. Anggaplah negeri Mesir sebagai negerimu sendiri. Biarlah mereka menetap di daerah Gosyen, daerah yang terbaik di negeri ini. Jika ada orang yang cekap antara mereka, tugaskanlah orang itu menjaga ternakan beta.” Yusuf juga membawa bapanya menghadap raja. Yakub memberkati raja, lalu raja bertanya kepadanya, “Berapakah umurmu?” Yakub menjawab, “Hamba sudah hidup seratus tiga puluh tahun sebagai pengembara. Hidup hamba ini singkat dan penuh dengan kesukaran, tidak seperti panjangnya umur nenek moyang hamba yang hidup sebagai pengembara.” Selepas itu Yakub memberkati raja, lalu meninggalkan tempat itu. Yusuf membantu bapa dan saudara-saudaranya menetap di Mesir. Dia memberi mereka tanah sebagai hak milik di kawasan yang terbaik di negeri itu, dekat kota Rameses, sebagaimana yang diperintahkan raja. Yusuf menyediakan makanan bagi bapanya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya, termasuk yang paling muda.

KEJADIAN 47:2-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yusuf membawa lima orang daripada para saudaranya untuk menghadap Firaun. Bertanyalah Firaun kepada para saudara Yusuf itu, “Apakah pekerjaanmu?” Jawab mereka kepada Firaun, “Hamba-hambamu ini gembala ternakan, seperti nenek moyang kami.” Kata mereka pula kepada Firaun, “Kami datang untuk tinggal di negeri ini sebagai pendatang, kerana bencana kebuluran di Tanah Kanaan itu begitu hebat sehingga tidak ada lagi padang rumput bagi kawanan domba hamba-hambamu ini. Sekarang, izinkanlah hamba-hambamu ini tinggal di Tanah Gosyen.” Lalu kata Firaun kepada Yusuf, “Ayahmu dan para saudaramu sudah datang. Tanah Mesir ini terbuka untukmu. Sediakanlah bagi ayahmu dan para saudaramu tempat menetap di daerah yang terbaik di negeri ini. Biarlah mereka tinggal di Tanah Gosyen. Selain itu, jika kamu tahu ada antara mereka yang berkebolehan, angkatlah mereka untuk menjadi pengawas ternakanku.” Kemudian Yusuf membawa Yakub, ayahnya, masuk menghadap Firaun, lalu Yakub mendoakan keberkatan bagi Firaun. Firaun bertanya kepada Yakub, “Berapakah umur kamu?” Jawab Yakub kepada Firaun, “Umur hamba sebagai pendatang di dunia ini sudah seratus tiga puluh tahun. Tempoh usia hamba singkat dan susah, tidak seperti tempoh kehidupan nenek moyang hamba ketika mereka menjadi pendatang di dunia ini.” Setelah itu, Yakub mendoakan keberkatan bagi Firaun lalu beredar dari situ di hadapan Firaun. Yusuf menyediakan tempat menetap bagi ayahnya dan para saudaranya. Dia memberikan kepada mereka tanah di daerah yang terbaik di Mesir, iaitu di Tanah Rameses, menurut perintah Firaun. Yusuf juga menyediakan keperluan makan secukupnya bagi ayahnya, para saudaranya, dan seisi rumah ayahnya, menurut bilangan anak-pinak masing-masing.