KEJADIAN 45:3-11
KEJADIAN 45:3-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku ini Yusuf. Adakah bapaku masih hidup?” Tetapi saudara-saudaranya sangat takut sehingga tidak dapat menjawab. Oleh itu Yusuf berkata kepada mereka, “Marilah dekat aku.” Mereka mendekati Yusuf, lalu dia berkata lagi, “Aku Yusuf, saudara kamu yang kamu jual ke Mesir. Jangan takut atau salahkan diri kerana kamu menjual aku. Sebenarnya, Allah sendiri yang menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan banyak orang. Sekarang baru tahun kedua masa kebuluran, dan ada lima tahun lagi orang tidak akan membajak atau menuai. Allah telah menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan kamu dengan cara yang menakjubkan ini, supaya kamu selamat dan keturunan kamu tidak pupus. Oleh itu, sebenarnya bukan kamu yang menyebabkan aku berada di sini, melainkan Allah. Dia sudah menjadikan aku pegawai tertinggi raja Mesir. Aku diberi kuasa mengurus segenap rumah tangganya dan seluruh negeri Mesir. Sekarang, kembalilah dengan segera kepada bapaku dan katakanlah kepadanya bahawa Yusuf, anaknya, berkata begini, ‘Allah sudah menjadikan saya penguasa seluruh Mesir; datanglah kepada saya dengan segera. Ayah dapat tinggal di daerah Gosyen, berhampiran dengan saya – ayah, bersama dengan anak cucu, domba, kambing, lembu, dan segala kepunyaan ayah. Jika ayah berada di Gosyen, saya dapat menjaga ayah. Kebuluran masih akan berlaku lima tahun lagi, dan akan saya usahakan agar ayah, keluarga, serta ternakan ayah tidak kekurangan apa-apa pun.’ ”
KEJADIAN 45:3-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Akulah Yusuf! Adakah ayah masih hidup?” Tetapi para saudaranya yang terkejut dan gementar di hadapannya tidak dapat menjawabnya. Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Datanglah lebih dekat kepadaku.” Lalu mereka pun mendekatinya. Kata Yusuf, “Akulah Yusuf, saudaramu, yang kamu jual ke Mesir. Tetapi sekarang, janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku untuk mendahului kamu supaya kehidupan dipelihara. Selama dua tahun ini bencana kebuluran melanda negeri ini dan masih ada lima tahun lagi tempoh orang tidak akan membajak atau menuai. Maka Allah mengirimku mendahului kamu untuk menjamin kelanjutan keturunanmu di bumi dan untuk memelihara hidupmu melalui suatu penyelamatan yang besar. Oleh itu, bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah. Dia mengangkat aku sebagai bapa bagi Firaun dan yang dipertuan atas seisi istananya, bahkan pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir. Segeralah kembali kepada ayah dan katakan kepadanya, ‘Beginilah kata anakmu Yusuf, “Allah telah mengangkat aku untuk menjadi tuan atas seluruh Mesir. Datanglah kepadaku, jangan berlengah lagi! Ayah akan tinggal di Tanah Gosyen, dekat dengan aku — ayah, anak-anak dan cucu-cucu ayah, segala kawanan ternakan ayah, serta segala harta benda ayah. Aku akan mengadakan segala keperluan ayah di sana, kerana tempoh berlakunya kebuluran ini masih ada lima tahun lagi. Jangan sampai kemiskinan dan ketandusan menimpa ayah dan seluruh keluarga ayah serta segala harta benda ayah.” ’