KEJADIAN 43:23-28
KEJADIAN 43:23-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Dia menjawab, “Jangan takut. Jangan khuatir. Allah kamu, yang disembah bapa kamu, sudah memasukkan wang itu ke dalam karung kamu. Aku sudah menerima pembayaran kamu untuk gandum itu.” Kemudian dia membawa Simeon kepada mereka. Lalu dia menghantar mereka ke dalam rumah. Dia memberikan air kepada mereka untuk membasuh kaki, dan juga makanan untuk keldai mereka. Selepas itu mereka menyediakan hadiah untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan bersama dengan Yusuf. Apabila Yusuf sampai di rumah, mereka memberikan hadiah-hadiah itu kepada Yusuf sambil bersujud. Yusuf bertanya tentang keadaan mereka, lalu berkata, “Apa khabar bapa kamu yang sudah tua itu, yang pernah kamu ceritakan kepadaku? Adakah dia masih hidup dan sihat?” Mereka menjawab, “Bapa kami, hamba tuan, masih hidup dan sihat.” Mereka pun bersujud di hadapannya.
KEJADIAN 43:23-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata pengawas itu, “Tenanglah, jangan takut! Allahmu dan Allah ayahmu telah mengurniakan kepadamu harta karun di dalam karungmu. Wangmu dahulu telah kuterima.” Kemudian dia mengeluarkan Simeon dan membawanya kepada mereka. Setelah itu, dia membawa mereka masuk ke rumah Yusuf lalu memberi mereka air supaya mereka dapat membasuh kaki. Kemudian dia memberi keldai-keldai mereka makan. Mereka menyiapkan persembahan mereka sambil menantikan kedatangan Yusuf pada tengah hari, kerana mereka mendengar bahawa mereka akan dijamu makan di situ. Sesudah Yusuf pulang ke rumah, mereka pun menyerahkan kepada Yusuf segala persembahan yang dibawa masuk oleh mereka lalu mereka sujud di hadapannya memberi hormat. Yusuf bertanyakan keadaan mereka, lalu katanya, “Baikkah keadaan ayahmu, orang tua yang kamu ceritakan itu? Masih hidupkah dia?” Jawab mereka, “Hambamu, ayah kami, baik-baik dan masih hidup.” Lalu mereka membongkok dan sujud memberi hormat.