KEJADIAN 42:1-8
KEJADIAN 42:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Yakub mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir, dia berkata kepada anak-anak lelakinya, “Mengapa kamu tidak melakukan sesuatu? Aku mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir; pergilah ke sana untuk membeli gandum supaya kita tidak mati kebuluran.” Oleh itu sepuluh orang abang tiri Yusuf pergi membeli gandum di Mesir. Tetapi Yakub tidak membenarkan Benyamin, adik kandung Yusuf, pergi bersama dengan mereka, kerana Yakub takut jangan-jangan terjadi sesuatu kecelakaan kepada anaknya itu. Anak-anak Yakub bersama dengan orang lain datang membeli gandum di Mesir, kerana ada kebuluran di negeri Kanaan. Yusuf, sebagai gabenor di Mesir, menjual gandum kepada orang dari seluruh dunia. Oleh itu saudara-saudara Yusuf datang dan sujud di hadapannya. Apabila Yusuf nampak saudara-saudaranya, dia mengenali mereka tetapi dia pura-pura tidak kenal. Dengan kasar dia bertanya kepada mereka, “Kamu dari mana?” Mereka menjawab, “Kami dari Kanaan. Kami datang untuk membeli makanan.” Meskipun Yusuf mengenali abang-abangnya, mereka tidak mengenali dia.
KEJADIAN 42:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yakub mendengar khabar bahawa di Mesir ada gandum. Maka berkatalah Yakub kepada anak-anaknya, “Mengapa kamu berpandangan sesama sendiri sahaja?” Katanya lagi, “Aku mendengar bahawa di Mesir ada gandum. Pergilah ke sana dan belilah gandum untuk kita dari sana, supaya kita tetap hidup dan tidak mati.” Maka pergilah sepuluh orang saudara Yusuf ke Mesir untuk membeli gandum. Namun begitu, Yakub tidak membenarkan Benyamin, adik Yusuf, untuk pergi bersama-sama abang-abangnya kerana fikirnya, “Semoga tiada kemalangan menimpanya.” Maka para anak Israel adalah antara orang ramai yang datang untuk membeli gandum, kerana bencana kebuluran melanda Tanah Kanaan dengan teruk. Yusuf telah menjadi pembesar di bumi itu dan dialah yang menjual gandum kepada seluruh rakyat negeri itu. Jadi, setibanya para saudara Yusuf di sana, sujudlah mereka kepadanya memberi hormat. Ketika Yusuf melihat para saudaranya, dia memang mengenali mereka tetapi dia tetap berpura-pura sebagai seorang yang asing dan berkata-kata kepada mereka dengan kasar. Tanyanya kepada mereka, “Dari manakah kamu datang?” Jawab mereka, “Dari Tanah Kanaan, hendak membeli bahan makanan.” Meskipun Yusuf mengenali para saudaranya, mereka tidak mengenalinya.