KEJADIAN 41:42-57

KEJADIAN 41:41-57 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu raja menanggalkan cincin yang berukir meterai kerajaan dari jarinya. Raja menyarungkan cincin itu pada jari Yusuf sambil bertitah, “Dengan ini beta melantik kamu menjadi gabenor seluruh Mesir.” Kemudian raja mengenakan sehelai jubah linen yang halus pada Yusuf, dan mengalungkan seutas rantai emas pada lehernya. Kemudian raja memberikan kereta kuda diraja yang kedua kepada Yusuf sebagai kenderaannya, dan pengawal kehormat diraja berjalan di hadapan kereta kuda itu sambil berseru-seru, “Beri jalan! Beri jalan!” Demikianlah Yusuf dilantik menjadi gabenor seluruh Mesir. Raja bertitah kepadanya, “Betalah raja – dan beta mengumumkan bahawa tanpa izinmu tiada seorang pun di seluruh Mesir boleh melakukan apa-apa.” Raja memberikan nama Mesir kepada Yusuf, iaitu Zafnat-Paaneah. Baginda juga memberikan seorang isteri kepada Yusuf. Isterinya itu bernama Asnat, anak Potifera yang menjadi imam di kota Heliopolis. Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia mula berkhidmat kepada raja Mesir. Yusuf meninggalkan istana raja lalu pergi ke seluruh negeri itu. Selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum itu, tanah menghasilkan tuaian yang banyak sekali. Gandum itu dikumpulkan oleh Yusuf lalu disimpan di kota-kota. Di setiap kota dia menyimpan gandum hasil ladang di sekitar kota itu. Gandum yang dikumpulkan begitu banyak sehingga Yusuf berhenti menyukatnya, kerana banyaknya seperti pasir di pantai. Sebelum masa kebuluran sampai, Asnat isteri Yusuf, melahirkan dua orang anak lelaki. Yusuf berkata, “Allah sudah membuat aku lupa akan segala penderitaanku dan akan kaum keluarga bapaku.” Oleh itu dia menamakan anaknya yang sulung “Manasye”. Dia berkata lagi, “Allah sudah memberikan anak kepadaku di negeri aku mengalami kesukaran,” lalu dia menamakan anaknya yang kedua “Efraim”. Tujuh tahun masa kelimpahan gandum, yang dinikmati negeri Mesir, berakhir. Kemudian datanglah tujuh tahun masa kebuluran, tepat seperti yang dikatakan Yusuf. Di setiap negeri lain ada kebuluran, tetapi di seluruh Mesir ada makanan. Apabila rakyat Mesir mula menderita kebuluran, mereka meminta makanan daripada raja. Oleh itu raja menyuruh mereka pergi kepada Yusuf dan mentaati segala sesuatu yang diperintahkannya. Apabila kebuluran itu semakin dahsyat dan meluas ke seluruh negeri, Yusuf membuka semua gudang lalu menjual gandum kepada orang Mesir. Orang dari seluruh dunia datang ke Mesir untuk membeli gandum daripada Yusuf, kerana kebuluran itu sangat dahsyat di merata tempat.

KEJADIAN 41:42-57 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Firaun mencabut cincin daripada jari tangannya dan memakaikannya di jari Yusuf. Dipakaikannya pula pakaian daripada kain linen yang halus pada Yusuf, serta dikalungkannya kalung emas di lehernya. Dia memerintahkan orang untuk menaikkan Yusuf atas ratanya yang kedua, dan di hadapan Yusuf orang berseru, “Berlutut!” Demikianlah Yusuf diberi kuasa pentadbiran atas seluruh Tanah Mesir. Firaun berkata kepada Yusuf, “Akulah Firaun, tetapi tanpa keizinanmu tiada seorang pun boleh melakukan sesuatu di seluruh Tanah Mesir.” Firaun mengurniakan gelaran Zafnat-Paaneah kepada Yusuf, serta memberikan kepadanya Asnat, anak gadis Potifera, imam di On, untuk menjadi isterinya. Maka berkuasalah Yusuf atas seluruh Tanah Mesir. Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia menghadap Firaun, raja Mesir. Kemudian Yusuf pergi dari hadapan Firaun dan menjelajah ke seluruh Tanah Mesir. Selama tujuh tahun kelimpahan itu, negeri itu mendapat hasil tuaian yang melimpah-ruah. Yusuf mengumpulkan semua bahan makanan berlebihan dalam tempoh tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir itu dan menimbunnya di kota-kota. Di setiap kota ditimbunnya bahan makanan, hasil daripada ladang-ladang di sekeliling kota itu. Demikianlah Yusuf menyimpan gandum sangat banyak sekali, sebanyak pasir di laut, hingga dia berhenti menghitungnya kerana memang tidak terhitung lagi. Sebelum munculnya tahun bencana kebuluran itu Yusuf dikurniai dua orang anak yang dilahirkan oleh Asnat, anak Potifera, imam di On itu. Yusuf menamai anak sulungnya Manasye, kerana katanya, “Allah telah membuat aku lupa akan segala kesusahanku dan akan seisi rumah ayahku.” Anaknya yang kedua pula dinamainya Efraim, kerana katanya, “Allah telah mengurniakan anak kepadaku di negeri aku ditimpa kesusahan.” Maka berakhirlah tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir itu dan muncullah tujuh tahun bencana kebuluran, seperti yang telah dikatakan oleh Yusuf. Bencana kebuluran melanda semua negeri kecuali Tanah Mesir yang tetap ada makanan. Ketika kebuluran juga menimpa seluruh penduduk Tanah Mesir, berserulah mereka kepada Firaun meminta makanan. Lalu kata Firaun kepada semua orang Mesir itu, “Pergilah kepada Yusuf. Lakukanlah apa yang dikatakannya kepadamu.” Apabila bencana kebuluran itu melanda seluruh muka bumi, Yusuf membuka semua jelapang lalu menjual gandum kepada orang Mesir, kerana hebatnya bencana kebuluran itu di Tanah Mesir. Maka warga setiap negeri juga datang ke Mesir untuk membeli gandum daripada Yusuf lantaran begitu hebat kebuluran yang melanda seluruh bumi.