KEJADIAN 41:14-44

KEJADIAN 41:14-44 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu raja menyuruh orang memanggil Yusuf datang menghadap, lalu Yusuf segera dikeluarkan dari penjara. Setelah Yusuf bercukur dan berganti pakaian, dia dibawa menghadap raja. Raja bertitah kepadanya, “Beta sudah bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat menjelaskan erti mimpi itu. Beta sudah diberitahu bahawa kamu dapat mentafsirkan mimpi.” Yusuf menjawab, “Tuanku, bukan hamba melainkan Allah yang dapat memberikan tafsiran yang baik bagi tuanku.” Raja bertitah, “Beta bermimpi bahawa beta sedang berdiri di tebing Sungai Nil. Kemudian tujuh ekor lembu yang gemuk dan yang kulitnya licin berkilat keluar dari sungai, lalu mula makan rumput di tebing sungai itu. Selepas itu, muncul pula tujuh ekor lembu lain yang kurus kering. Beta belum pernah nampak lembu yang sedemikian kurus di seluruh Mesir. Lembu-lembu yang kurus itu memakan habis ketujuh-tujuh ekor lembu yang gemuk. Tetapi lembu-lembu yang kurus itu masih tetap kurus. Lalu beta terjaga daripada tidur. Kemudian beta tertidur dan bermimpi lagi. Beta nampak tujuh bulir gandum yang berisi dan masak pada satu tangkai. Selepas itu ada pula tujuh bulir gandum yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun. Bulir gandum yang kempis itu menelan bulir yang berisi. Beta sudah menceritakan kedua-dua mimpi beta itu kepada para ahli sihir, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkan mimpi itu.” Kemudian Yusuf berkata kepada raja, “Kedua-dua mimpi itu mempunyai erti yang sama; Allah sudah memberitahu tuanku apa yang akan dilakukan-Nya. Tujuh ekor lembu yang gemuk itu melambangkan tujuh tahun. Tujuh bulir gandum yang berisi itu melambangkan tujuh tahun juga; kedua-duanya mempunyai erti yang sama. Tujuh ekor lembu yang kurus, yang muncul kemudian, serta tujuh bulir gandum yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun itu melambangkan masa kebuluran selama tujuh tahun. Sebagaimana hamba katakan kepada tuanku, Allah sudah menyatakan apa yang akan dilakukan-Nya. Seluruh negeri Mesir akan kelimpahan gandum selama tujuh tahun. Selepas itu kebuluran akan berlaku selama tujuh tahun. Masa kelimpahan gandum itu akan dilupakan sama sekali kerana kebuluran itu sangat dahsyat sehingga negeri ini menjadi tandus. Tuanku bermimpi dua kali; hal itu bermakna bahawa perkara itu telah ditetapkan oleh Allah, dan Allah akan melaksanakannya dengan segera. Oleh sebab itu, sebaiknya tuanku memilih seorang yang cerdas dan bijaksana lalu memberinya kuasa untuk mengurus negeri ini. Tuanku perlu juga melantik pegawai-pegawai lain, dan memberi mereka kuasa untuk memungut seperlima daripada segala tuaian gandum selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum, lalu menyimpannya di kota-kota dan menjaganya. Gandum itu akan menjadi simpanan makanan untuk masa kebuluran selama tujuh tahun di Mesir. Dengan demikian rakyat tidak akan mati kebuluran.” Raja dan para pegawainya menyetujui cadangan Yusuf itu. Kemudian raja bertitah kepada mereka, “Tidak mungkin kita mendapatkan orang lain yang lebih sesuai daripada Yusuf, kerana dia dipimpin oleh Roh Allah.” Oleh itu raja bertitah kepada Yusuf, “Allah sudah memberitahukan segala perkara ini kepadamu, kerana itu jelaslah bahawa kamu lebih cerdas dan bijaksana daripada sesiapa pun. Beta melantik kamu menjadi gabenor, dan segenap rakyat akan mentaati perintahmu. Hanya beta yang lebih berkuasa daripadamu.” Selepas itu raja menanggalkan cincin yang berukir meterai kerajaan dari jarinya. Raja menyarungkan cincin itu pada jari Yusuf sambil bertitah, “Dengan ini beta melantik kamu menjadi gabenor seluruh Mesir.” Kemudian raja mengenakan sehelai jubah linen yang halus pada Yusuf, dan mengalungkan seutas rantai emas pada lehernya. Kemudian raja memberikan kereta kuda diraja yang kedua kepada Yusuf sebagai kenderaannya, dan pengawal kehormat diraja berjalan di hadapan kereta kuda itu sambil berseru-seru, “Beri jalan! Beri jalan!” Demikianlah Yusuf dilantik menjadi gabenor seluruh Mesir. Raja bertitah kepadanya, “Betalah raja – dan beta mengumumkan bahawa tanpa izinmu tiada seorang pun di seluruh Mesir boleh melakukan apa-apa.”

KEJADIAN 41:14-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka Firaun memerintahkan orang untuk memanggil Yusuf, dan dengan segera dia dikeluarkan dari kurungan. Setelah bercukur dan berganti pakaian, masuklah dia menghadap Firaun. Kata Firaun kepada Yusuf, “Aku bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya. Lalu kudengar khabar tentang kamu yang mengatakan bahawa ketika kamu mendengar suatu mimpi, kamu dapat langsung mentafsirkannya.” Jawab Yusuf kepada Firaun, “Bukan hamba, melainkan Allah sajalah yang akan memberikan jawapan demi kesejahteraan Firaun.” Berkatalah Firaun kepada Yusuf, “Dalam mimpiku itu, aku sedang berdiri di tepi Sungai Nil. Tiba-tiba muncul tujuh ekor lembu yang elok bentuknya dan gemuk badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu meragut rumput di antara tumbuhan mensiang. Sesudah itu muncul pula tujuh ekor lembu lain, yang lemah lumpuh, sangat buruk bentuknya dan kurus kering badannya. Belum pernah aku melihat lembu seburuk itu di seluruh Tanah Mesir. Kemudian lembu-lembu yang kurus dan buruk itu makan tujuh ekor lembu gemuk yang mula-mula muncul tadi. Namun begitu sekalipun telah makan lembu-lembu yang gemuk itu, masih tiada tanda-tanda bahawa lembu-lembu gemuk itu sudah menjadi makanan kerana bentuk lembu-lembu yang kurus kering itu tetap buruk seperti pada mula-mulanya. Lalu aku pun terjaga. Dalam mimpiku selanjutnya kelihatan tujuh bulir gandum yang berisi dan baik tumbuh pada satu batang. Setelah itu, tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kering, kurus dan layu oleh bahang angin timur. Lalu bulir yang kurus itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang baik. Semua ini telah kuceritakan kepada para ahli ilmu ghaib, tetapi tiada seorang pun yang dapat memberitahu ertinya kepadaku.” Maka berkatalah Yusuf kepada Firaun, “Mimpi-mimpi Firaun itu sama. Allah memberitahu Firaun apa yang hendak dilakukan oleh-Nya. Tujuh ekor lembu yang baik itu ertinya tujuh tahun, dan tujuh bulir gandum yang baik itu pun ertinya tujuh tahun. Jadi, kedua-dua mimpi itu sama. Tujuh ekor lembu kurus dan buruk yang muncul kemudian ertinya tujuh tahun, demikian juga tujuh bulir gandum yang kering, kurus dan layu oleh bahang angin timur itu. Itulah tanda akan berlaku tujuh tahun bencana kebuluran. Inilah maksud dari apa yang hamba sampaikan tadi kepada Firaun, iaitu bahawa Allah telah menyatakan kepada Firaun apa yang hendak dilakukan-Nya. Sesungguhnya, akan datang tujuh tahun kelimpahan besar di seluruh Tanah Mesir, tetapi sesudah itu akan muncul tujuh tahun bencana kebuluran. Segala kelimpahan sebelumnya di Tanah Mesir akan dilupakan, dan bencana kebuluran itu akan memusnahkan negeri ini. Kelimpahan yang pernah dialami di negeri ini tidak akan diingat lagi, kerana bencana kebuluran yang datang sesudahnya sangatlah dahsyat. Mimpi itu diulang sampai dua kali untuk Firaun kerana hal itu sudah ditetapkan Allah dan Allah akan melaksanakannya dengan seberapa segera. Maka sekarang, sebaiknya Firaun mencari seorang yang arif dan bijaksana, dan mengangkatnya untuk mengetuai Tanah Mesir. Selanjutnya hendaklah Firaun melantik para pengawas atas negeri ini untuk mengambil satu perlima bahagian daripada hasil Tanah Mesir dalam tujuh tahun kelimpahan itu. Mereka harus mengumpulkan semua bahan makanan dalam tahun-tahun baik yang akan datang itu dan menyimpan gandum di bawah kekuasaan Firaun sebagai bahan makanan di kota-kota, serta menjaganya. Bahan makanan itu akan menjadi persediaan untuk negeri ini menghadapi tujuh tahun bencana kebuluran yang akan terjadi di Tanah Mesir, supaya negeri ini tidak binasa akibat bencana kebuluran itu kelak.” Usul itu dipandang baik oleh Firaun dan semua pegawainya. Lalu kata Firaun kepada para pegawainya, “Bolehkah kita mencari orang seperti itu, yang dipenuhi kehadiran roh Allah?” Lalu Firaun berkata kepada Yusuf, “Kerana Allah telah menyatakan kepadamu semua hal ini, tentunya tidak ada orang yang sedemikian arif dan bijaksana seperti kamu. Kamu akan mengetuai istanaku, dan seluruh rakyatku harus tunduk kepada pentadbiranmu. Hanya takhta ini yang membuat aku lebih besar daripada kamu.” Kata Firaun lagi kepada Yusuf, “Dengan ini aku mengangkat kamu untuk mentadbir seluruh Tanah Mesir.” Kemudian Firaun mencabut cincin daripada jari tangannya dan memakaikannya di jari Yusuf. Dipakaikannya pula pakaian daripada kain linen yang halus pada Yusuf, serta dikalungkannya kalung emas di lehernya. Dia memerintahkan orang untuk menaikkan Yusuf atas ratanya yang kedua, dan di hadapan Yusuf orang berseru, “Berlutut!” Demikianlah Yusuf diberi kuasa pentadbiran atas seluruh Tanah Mesir. Firaun berkata kepada Yusuf, “Akulah Firaun, tetapi tanpa keizinanmu tiada seorang pun boleh melakukan sesuatu di seluruh Tanah Mesir.”