KEJADIAN 40:8-15,20-23
KEJADIAN 40:8-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka menjawab, “Kami bermimpi semalam, dan tiada sesiapa pun yang mengetahui ertinya.” Yusuf berkata, “Hanya Allah yang membolehkan orang mentafsirkan mimpi. Cuba ceritakan mimpi itu.” Pengurus minuman itu berkata, “Dalam mimpi itu aku nampak pokok anggur di hadapanku. Pokok itu bercabang tiga. Sebaik saja cabang-cabangnya mula berdaun, segera bunga-bunganya berkembang, lalu buahnya masak. Pada waktu itu aku sedang memegang cawan minuman raja; oleh itu aku mengambil buah anggur itu dan memerah airnya ke dalam cawan raja, lalu aku menghidangkannya kepada raja.” Yusuf berkata, “Inilah ertinya. Tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, tuan akan dibebaskan oleh raja, diampuni dan dikembalikan kepada pekerjaan yang dahulu. Tuan akan menghidangkan cawan minuman kepada raja seperti dahulu. Tetapi ingatlah akan saya apabila keadaan tuan sudah baik. Tolong sampaikan masalah saya kepada raja supaya saya dibebaskan dari penjara ini. Sebenarnya, dahulu saya diculik dari negeri orang Ibrani. Di sini, di Mesir pun, tidak pernah saya melakukan apa-apa kejahatan sampai harus dimasukkan ke dalam penjara.”
KEJADIAN 40:20-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Tiga hari kemudian, pada hari keputeraan raja, raja mengadakan jamuan besar bagi semua pegawainya. Raja memerintahkan supaya pengurus minuman dan pengurus roti dikeluarkan dari penjara, lalu dibawa ke hadapan semua pegawai istana. Raja mengembalikan pengurus minuman kepada pekerjaannya yang dahulu, tetapi pengurus roti dihukum mati. Semua hal itu berlaku tepat seperti yang dikatakan Yusuf. Namun pengurus minuman itu tidak ingat lagi akan Yusuf. Dia sama sekali lupa akan Yusuf.
KEJADIAN 40:8-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jawab mereka kepadanya, “Kami bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya.” Kata Yusuf kepada mereka, “Bukankah tafsiran mimpi itu adalah daripada Allah? Ceritakanlah mimpi itu kepadaku.” Lalu ketua jururasa santapan menceritakan mimpinya kepada Yusuf, katanya, “Dalam mimpiku itu kelihatan sebuah pokok anggur di hadapanku. Pokok anggur itu bercabang tiga. Begitu pokok itu bertunas, bunganya langsung tumbuh dan tandan-tandannya pun mengeluarkan buah anggur yang masak. Pada waktu itu cawan Firaun ada di tanganku. Lalu buah anggur itu kuambil dan kuperah ke dalam cawan Firaun. Lalu kupersembahkan cawan itu kepada tangan Firaun.” Kata Yusuf kepadanya, “Inilah tafsir bagi mimpimu: tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam masa tiga hari ini, Firaun akan membebaskan kamu dan mengembalikan pangkatmu yang dahulu kepada kamu. Lalu kamu akan kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun, seperti yang biasa kamu lakukan sebelumnya ketika kamu menjadi jururasa santapannya. Tetapi ingatlah aku apabila keadaanmu sudah baik nanti dan berbuat baiklah kepadaku. Ceritakanlah perihalku kepada Firaun dan tolong keluarkan aku dari rumah ini, kerana sebenarnya aku ini diculik dari negeri orang Ibrani, dan di sini pun aku tidak pernah berbuat sesuatu pun yang menyebabkan aku patut dimasukkan ke dalam kurungan.”
Kejadian 40:20-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada hari ketiga ternyata hari itu hari ulang tahun kelahiran Firaun. Maka Firaun mengadakan jamuan untuk meraikan kesemua pegawainya. Dia membebaskan ketua jururasa santapan serta kepala pembuat roti di hadapan para pegawainya. Kemudian dia memulihkan kedudukan ketua jururasa santapan, maka dapatlah dia kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun. Akan tetapi, kepala pembuat roti digantungnya, seperti yang ditafsirkan Yusuf kepada mereka. Namun begitu, ketua jururasa santapan tidak teringat akan Yusuf, malah dia melupakannya.