KEJADIAN 4:3-8
KEJADIAN 4:3-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa waktu kemudian, Kain mengambil sebahagian daripada hasil tuaiannya lalu mempersembahkannya kepada TUHAN. Kemudian Habel mengambil seekor anak domba sulung dan menyembelih anak domba itu, lalu memberikan potongan-potongan yang terbaik sebagai persembahan kepada TUHAN. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Maka Kain naik marah dan mukanya masam. Maka TUHAN berfirman kepada Kain, “Mengapa engkau marah? Mengapa mukamu masam? Jika engkau melakukan yang benar, pasti engkau tersenyum; tetapi jika engkau melakukan yang jahat, maka dosa menunggu untuk masuk ke dalam hatimu. Dosa hendak menguasai dirimu, tetapi engkau mesti mengalahkannya.” Kemudian Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke padang.” Apabila mereka sampai di situ, Kain menyerang adiknya lalu membunuh dia.
KEJADIAN 4:3-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada waktu yang ditetapkan, Kain membawa sebahagian daripada hasil bertani sebagai persembahan kepada TUHAN. Habel pun mempersembahkan beberapa ekor anak sulung daripada haiwan ternakannya, malah memilih antara yang paling mondok daripadanya. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Naik beranglah Kain dan masam sekali mukanya. Berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Mengapakah kamu marah, dan mengapakah mukamu masam? Bukankah benar jika kamu berbuat baik, kamu akan berkeadaan bagus? Tetapi jika kamu tidak berbuat baik, dosa memang mengintai peluang, menanti ketika untuk berleluasa, namun kamu perlu menguasainya.” Namun demikian, Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke ladang.” Semasa kedua-duanya berada di ladang, Kain menyerang Habel, adiknya, lalu membunuhnya.