KEJADIAN 4:3-16

KEJADIAN 4:3-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Beberapa waktu kemudian, Kain mengambil sebahagian daripada hasil tuaiannya lalu mempersembahkannya kepada TUHAN. Kemudian Habel mengambil seekor anak domba sulung dan menyembelih anak domba itu, lalu memberikan potongan-potongan yang terbaik sebagai persembahan kepada TUHAN. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Maka Kain naik marah dan mukanya masam. Maka TUHAN berfirman kepada Kain, “Mengapa engkau marah? Mengapa mukamu masam? Jika engkau melakukan yang benar, pasti engkau tersenyum; tetapi jika engkau melakukan yang jahat, maka dosa menunggu untuk masuk ke dalam hatimu. Dosa hendak menguasai dirimu, tetapi engkau mesti mengalahkannya.” Kemudian Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke padang.” Apabila mereka sampai di situ, Kain menyerang adiknya lalu membunuh dia. TUHAN bertanya kepada Kain, “Di mana Habel, adikmu?” Kain menjawab, “Aku tidak tahu. Haruskah aku menjaga adikku?” Kemudian TUHAN berfirman, “Mengapa engkau melakukan perbuatan yang dahsyat itu? Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah, seperti suara yang berseru meminta pembalasan. Engkau terkutuk dan tidak boleh lagi mengusahakan tanah. Tanah itu sudah menyerap darah adikmu, seolah-olah tanah membuka mulut untuk menerima darah adikmu ketika engkau membunuh dia. Jika engkau bercucuk tanam, tanah tidak akan menghasilkan apa-apa; engkau akan menjadi pengembara yang tidak mempunyai tempat tinggal di bumi.” Kemudian Kain berkata kepada TUHAN, “Hukuman itu terlalu berat, aku tidak dapat menanggungnya. Engkau mengusir aku dari tanah ini dan dari hadirat-Mu. Aku akan menjadi pengembara yang tidak mempunyai tempat tinggal di bumi, dan aku akan dibunuh oleh sesiapa sahaja yang menjumpai aku.” Tetapi TUHAN berfirman, “Tidak. Jika engkau dibunuh, maka sebagai pembalasan, tujuh orang termasuk pembunuhmu itu akan dibunuh juga.” Kemudian TUHAN membubuhkan suatu tanda pada Kain supaya sesiapa sahaja yang menjumpai dia tidak membunuhnya. Maka Kain pergi dari hadirat TUHAN, lalu tinggal di tanah yang bernama “Pengembaraan” di sebelah timur Eden.

KEJADIAN 4:3-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu yang ditetapkan, Kain membawa sebahagian daripada hasil bertani sebagai persembahan kepada TUHAN. Habel pun mempersembahkan beberapa ekor anak sulung daripada haiwan ternakannya, malah memilih antara yang paling mondok daripadanya. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Naik beranglah Kain dan masam sekali mukanya. Berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Mengapakah kamu marah, dan mengapakah mukamu masam? Bukankah benar jika kamu berbuat baik, kamu akan berkeadaan bagus? Tetapi jika kamu tidak berbuat baik, dosa memang mengintai peluang, menanti ketika untuk berleluasa, namun kamu perlu menguasainya.” Namun demikian, Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke ladang.” Semasa kedua-duanya berada di ladang, Kain menyerang Habel, adiknya, lalu membunuhnya. Maka berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Di manakah Habel, adikmu itu?” Jawabnya, “Aku tidak tahu! Adakah aku ini penjaga adikku?” Firman-Nya, “Apakah yang telah kamu lakukan? Dari bumi itu, darah adikmu itu berseru-seru kepada-Ku! Sekarang, terkutuklah kamu, terbuang jauh dari tanah yang telah membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu yang ditumpahkan tanganmu. Apabila engkau mengerjakan tanah itu, maka tanah itu tidak akan lagi memberikan hasil sepenuhnya kepadamu. Engkau akan menjadi seorang pengembara dan pelarian di bumi.” Kata Kain kepada TUHAN, “Hukumanku itu terlalu berat dan tidak tertanggung olehku. Sesungguhnya, pada hari ini Engkau mengusir aku dari tanah ini maka aku perlu bersembunyi daripada hadirat-Mu dan akan menjadi seorang pengembara serta pelarian di bumi. Kelak sesiapa yang bertemu denganku akan membunuhku.” Firman TUHAN kepadanya, “Tidak demikian! Sesiapa yang membunuh Kain akan menerima balasan tujuh kali lipat ganda.” Lantas TUHAN meletakkan tanda khusus pada Kain supaya dia tidak dibunuh oleh sesiapa pun yang bertemu dengannya. Maka pergilah Kain dari hadirat TUHAN lalu tinggal di Tanah Nod, di sebelah timur Eden.