KEJADIAN 4:2-12

KEJADIAN 4:2-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Hawa melahirkan seorang anak lelaki lagi yang diberi nama Habel. Habel menjadi gembala domba, tetapi Kain menjadi petani. Beberapa waktu kemudian, Kain mengambil sebahagian daripada hasil tuaiannya lalu mempersembahkannya kepada TUHAN. Kemudian Habel mengambil seekor anak domba sulung dan menyembelih anak domba itu, lalu memberikan potongan-potongan yang terbaik sebagai persembahan kepada TUHAN. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Maka Kain naik marah dan mukanya masam. Maka TUHAN berfirman kepada Kain, “Mengapa engkau marah? Mengapa mukamu masam? Jika engkau melakukan yang benar, pasti engkau tersenyum; tetapi jika engkau melakukan yang jahat, maka dosa menunggu untuk masuk ke dalam hatimu. Dosa hendak menguasai dirimu, tetapi engkau mesti mengalahkannya.” Kemudian Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke padang.” Apabila mereka sampai di situ, Kain menyerang adiknya lalu membunuh dia. TUHAN bertanya kepada Kain, “Di mana Habel, adikmu?” Kain menjawab, “Aku tidak tahu. Haruskah aku menjaga adikku?” Kemudian TUHAN berfirman, “Mengapa engkau melakukan perbuatan yang dahsyat itu? Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah, seperti suara yang berseru meminta pembalasan. Engkau terkutuk dan tidak boleh lagi mengusahakan tanah. Tanah itu sudah menyerap darah adikmu, seolah-olah tanah membuka mulut untuk menerima darah adikmu ketika engkau membunuh dia. Jika engkau bercucuk tanam, tanah tidak akan menghasilkan apa-apa; engkau akan menjadi pengembara yang tidak mempunyai tempat tinggal di bumi.”

KEJADIAN 4:2-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesudah itu, dia melahirkan Habel pula, adik lelaki kepada Kain. Habel menggembala haiwan ternakan manakala Kain bertani. Pada waktu yang ditetapkan, Kain membawa sebahagian daripada hasil bertani sebagai persembahan kepada TUHAN. Habel pun mempersembahkan beberapa ekor anak sulung daripada haiwan ternakannya, malah memilih antara yang paling mondok daripadanya. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Naik beranglah Kain dan masam sekali mukanya. Berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Mengapakah kamu marah, dan mengapakah mukamu masam? Bukankah benar jika kamu berbuat baik, kamu akan berkeadaan bagus? Tetapi jika kamu tidak berbuat baik, dosa memang mengintai peluang, menanti ketika untuk berleluasa, namun kamu perlu menguasainya.” Namun demikian, Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke ladang.” Semasa kedua-duanya berada di ladang, Kain menyerang Habel, adiknya, lalu membunuhnya. Maka berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Di manakah Habel, adikmu itu?” Jawabnya, “Aku tidak tahu! Adakah aku ini penjaga adikku?” Firman-Nya, “Apakah yang telah kamu lakukan? Dari bumi itu, darah adikmu itu berseru-seru kepada-Ku! Sekarang, terkutuklah kamu, terbuang jauh dari tanah yang telah membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu yang ditumpahkan tanganmu. Apabila engkau mengerjakan tanah itu, maka tanah itu tidak akan lagi memberikan hasil sepenuhnya kepadamu. Engkau akan menjadi seorang pengembara dan pelarian di bumi.”