KEJADIAN 39:1-23

KEJADIAN 39:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Yusuf telah dibawa ke Mesir oleh orang Ismael, lalu dijual kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana. TUHAN menolong Yusuf sehingga dia selalu berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. Tuannya melihat bahawa TUHAN menolong Yusuf dan memberi dia kejayaan dalam segala yang dilakukannya. Potifar suka kepada Yusuf dan melantik dia sebagai pelayan peribadinya; lalu Potifar memberikan tugas kepada Yusuf untuk mengurus rumah tangganya dan segala kepunyaannya. Sejak itu, demi Yusuf, TUHAN memberkati rumah tangga orang Mesir itu dan segala sesuatu yang dimilikinya, baik yang di rumah mahupun yang di ladang. Segala sesuatu yang dimiliki Potifar dipercayakannya kepada Yusuf. Dengan demikian Potifar sama sekali tidak risau tentang urusan rumahnya, kecuali makanannya. Yusuf berbadan segak dan kacak. Beberapa lama kemudian, isteri Potifar mula berahi terhadap Yusuf. Lalu dia mengajak pemuda itu tidur bersama dengan dia. Yusuf tidak mahu dan berkata kepadanya, “Maaf, puan, Tuan Potifar sudah mempercayakan segala miliknya kepada saya. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Kuasa saya sama besar dengan kuasanya di dalam rumah ini. Tiada sesuatu pun yang tidak dipercayakannya kepada saya kecuali puan. Bagaimana mungkin saya melakukan perbuatan sejahat itu dan berdosa terhadap Allah?” Meskipun isteri Potifar membujuk Yusuf setiap hari, pemuda itu tetap tidak mahu tidur bersama dengan dia. Pada suatu hari, ketika Yusuf masuk ke dalam rumah untuk melakukan pekerjaannya, tiada seorang pelayan pun berada di situ. Kemudian isteri Potifar menarik jubah Yusuf dan berkata, “Marilah kita tidur bersama.” Yusuf meronta hingga dapat lepas, lalu lari ke luar, tetapi jubahnya tertinggal di tangan perempuan itu. Apabila isteri Potifar sedar bahawa Yusuf sudah lari dan jubahnya tertinggal, dia memanggil pelayan-pelayannya dan berkata, “Lihatlah! Orang Ibrani yang dibawa suamiku ke rumah ini menghina kita. Dia masuk ke dalam bilikku dan cuba merogol aku, tetapi aku menjerit. Apabila dia mendengar jeritanku, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.” Isteri Potifar menyimpan jubah itu sehingga suaminya pulang. Apabila suaminya pulang, dia segera memberitahukan cerita yang sama kepadanya. Dia berkata, “Hamba Ibrani itu yang kaubawa ke sini, masuk ke dalam bilik untuk menghina aku. Namun apabila aku menjerit, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.” Potifar sangat marah. Dia memerintahkan supaya Yusuf segera ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, tempat orang tahanan raja dikurung, maka di situlah Yusuf tinggal. Tetapi TUHAN menolong Yusuf dan tetap mengasihinya, sehingga ketua penjara suka kepadanya. Dia mempercayakan orang tahanan yang lain kepada Yusuf. Dia juga memberikan tanggungjawab kepada Yusuf atas segala pekerjaan yang dilakukan di dalam penjara. Ketua penjara itu tidak lagi mengawasi segala yang dipercayakannya kepada Yusuf, kerana TUHAN menyertai Yusuf sehingga dia berjaya dalam semua pekerjaannya.

KEJADIAN 39:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sementara itu, Yusuf dibawa ke Mesir lalu seorang Mesir, Potifar, pegawai istana Firaun dan ketua pengawal diraja, membelinya daripada tangan bani Ismael yang membawanya ke sana. TUHAN menyertai Yusuf sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dalam pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. Tuannya melihat betapa TUHAN menyertai Yusuf dan bahawa TUHAN membuat segala sesuatu yang dikerjakannya berjaya. Maka dia berkenan kepada Yusuf dan menjadikan Yusuf khadam peribadi yang melayaninya. Dia menugaskan Yusuf untuk menjadi pengawas di dalam rumahnya. Segala harta bendanya diserahkannya kepada kuasa tadbir Yusuf. Semenjak Yusuf ditugaskan untuk mentadbir urusan di dalam rumahnya dan atas segala harta bendanya, TUHAN memberkati rumah tangga warga Mesir itu atas sebab Yusuf. Berkat TUHAN melimpah atas segala harta bendanya, baik yang ada di dalam rumah mahupun yang ada di ladang. Lalu dia menyerahkan segala harta bendanya untuk ditadbir urus oleh Yusuf, dan dengan bantuan Yusuf dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi selain makanan yang hendak dimakannya. Yusuf seorang yang berbadan tegap dan tampan parasnya. Setelah beberapa waktu lamanya, isteri tuannya mengerlingkan mata kepada Yusuf dan berkata, “Mari, tidurlah dengan aku.” Tetapi Yusuf menolaknya. Katanya kepada isteri tuannya itu, “Sesungguhnya, dengan bantuanku tuanku itu tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Segala sesuatu yang dimilikinya telah diserahkannya ke dalam kuasa tadbir urusku. Di dalam rumah ini tidak ada seorang pun yang lebih besar kuasanya daripada aku, dan tuanku tidak menahan apa-apa pun daripada aku kecuali cik puan, kerana cik puan isterinya. Bagaimanakah mungkin aku melakukan kejahatan yang besar ini dan berdosa terhadap Allah?” Jadi, meskipun hari demi hari dia memujuk Yusuf namun Yusuf tidak mengendahkan pujukannya untuk tidur di sisinya, ataupun sekadar bersama-samanya. Pada suatu hari, Yusuf masuk ke dalam rumah untuk menjalankan tugasnya. Tiada seorang pun ada di dalam rumah pada saat itu. Lalu perempuan itu memegang jubah Yusuf sambil berkata, “Mari, tidurlah dengan aku!” Tetapi Yusuf meninggalkan jubahnya di tangan perempuan itu lalu lari keluar. Apabila perempuan itu melihat bahawa Yusuf lari keluar dengan meninggalkan jubahnya di dalam tangannya, dia pun memanggil seisi rumahnya. Katanya kepada mereka, “Lihat, suamiku membawa kepada kita seorang Ibrani untuk mempermainkan kita! Dia masuk untuk tidur dengan aku, tetapi aku berteriak dengan suara nyaring. Apabila dia mendengar aku berteriak dengan kuat, dia meninggalkan jubahnya denganku lalu lari keluar.” Lalu perempuan itu menyimpan jubah Yusuf di sisinya sehingga tuannya pulang ke rumah. Lalu perempuan itu berkata demikian kepada Potifar, katanya, “Hamba Ibrani yang kaubawa untuk kita itu datang kepadaku untuk mempermainkan aku. Tetapi ketika aku berteriak dengan suara nyaring, dia meninggalkan jubahnya padaku lalu dia lari keluar.” Setelah Potifar mendengar kata-kata yang disampaikan isterinya kepadanya, “Begitulah hambamu memperlakukan aku,” dia menjadi amat marah sekali. Lalu dia membawa Yusuf lalu dimasukkannya ke dalam penjara, tempat para tahanan raja ditahan. Maka terpenjaralah Yusuf di situ. Akan tetapi, TUHAN menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih-Nya kepadanya lalu Dia membuat kepala penjara itu berkenan kepada Yusuf. Lalu ketua penjara itu menyerahkan semua tahanan di dalam penjara itu kepada pengawasan Yusuf. Segala sesuatu yang harus dikerjakan di situ, Yusuflah yang mengerjakannya. Ketua penjara itu tidak perlu lagi untuk mengurus segala sesuatu yang sudah dijalankan oleh Yusuf, kerana TUHAN menyertainya dan TUHAN membuat apa yang dikerjakannya berhasil.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami